kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menjadi ejen perisik kepada Rosli Dhoby

PERNAH dahulu, semasa menelaah sejarah penentangan Rosli Dhoby ke atas penjajah British di Sarawak, imaginasi saya menerobos 'terowong masa’. Saya terfikir apakah agaknya berlaku seandainya saya dilahirkan pada zaman pejuang kemerdekaan ini?

Imaginasi ini terus pantas bertukar ke filem hitam putih. Tahun 1949. Baharu empat tahun Jepun menyerah kalah. British kembali ke tanah kolonial masing-masing termasuk Sarawak. Agak tipis juga peluang saya untuk dimasukkan ke dalam skuad penyerang diketuai Rosli. Ini kerana format imaginasi ialah realiti anda hendaklah seberapa dekat yang boleh. Misalnya jika anda seorang pemandu Uber, layaklah berimaginasi memandu kereta api berkuasa arang besi dahulu kala.



ASTANA di Kuching, Sarawak yang dibina oleh Rajah Charles Brooke pada 1870, hanya sempat didiami Duncan Stewart beberapa hari sebelum menemui ajal di tangan Rosli Dhoby di Sibu.

Kalau anda askar, boleh bayangkan diri anda Rambo. Kalau anda peminat Neelofa, bayangkan anda seorang juruterbang atau pemborong tudung.

Jadi agak sukar sebagai wartawan saya berimaginasi menjadi skuad penyerang Rosli. Kalau anda kata ini imaginasi saya, suka hati sayalah hendak bayangkan – anda mungkin betul. Tapi kita mahu ada elemen logik dan realistik.

Jadi paling logik watak saya pada zaman Rosli ialah sebagai perisik dengan menyampaikan maklumat pergerakan Gabenor Sarawak, Sir Duncan Stewart dan lokasi dia berada pada 3 Disember 1949 di Sibu.

Laporan perisikan saya pada zaman tiada Internet dan WhatsApp ini antara lain akan menggariskan Stewart adalah orang Scotland dan menjadi wakil Ratu Elizabeth menggantikan gabenor pertama Sarawak, Charles Arden-Clarke. Stewart pernah bertugas di Palestin – yang bergolak ketika itu kesan keputusan British membenarkan puak Zionis bertapak secara haram di situ (sampai sekarang!).

Jadi, apalah yang hendak ditakuti di Sarawak. Kawalan keselamatan terhadap Stewart tidak akan ketat kerana British percaya bandar kecil Sibu di Borneo tidak akan memberi ancaman. Malah keramaian yang dirancang akan memberi gambaran Stewart disukai penduduk Sibu.

Semangat

Maklumat ini saya salurkan kepada Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS). Di dalam kumpulan pejuang ini, diwujudkan skuad penyerang dikenali sebagai Rukun 13 terdiri daripada Rosli dan tiga lagi iaitu Morsidi Sidek, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong. Rukun 13 adalah merujuk kepada rukun dalam mendirikan solat.

Bukan senang hendak menyertai GPMS ini. Imaginasi saya kini memasuki bahagian rasional. Mungkin takdir menemukan saya dengan Rosli yang sebenarnya belum genap pun 17 tahun. Kalau zaman sekarang baru lepas tingkatan 4.

'Takdir’ kerana kami memiliki beberapa persamaan. Bukan sahaja seagama tetapi juga sama keturunan Melanau. Sama tebal jiwa patriotik dan sama-sama sayangkan Sarawak. Tetapi Rosli sentiasa memiliki karisma untuk memimpin generasi muda di zaman itu. Dia banyak membaca yang menjadikan hujah-hujahnya sarat dengan fakta sahih yang pasti membakar semangat kami yang lain. Lagipun, mukanya lebih tampan daripada kami semua.

Pada pagi 3 Disember 1949, Stewart kelihatan gembira melihat ribuan penduduk menyambutnya. Selepas memeriksa perbarisan hormat polis Sikh di tapak yang kini berdirinya kompleks bangunan Lembaga Pelabuhan Sibu, Stewart dikerumuni murid-murid sekolah yang riang.

Ketika itu Morsidi tampil bersama kamera dan meminta Stewart untuk bergambar bersama kanak-kanak tersebut. Semasa mempersiapkan kedudukannya di tengah-tengah kanak-kanak itu, Rosli muncul dengan senjata 'badik’ lalu menikam Stewart.

Stewart tidak mati serta-merta. Dia dibawa ke Singapura untuk rawatan lanjut tetapi bisa besi badik, pisau kaum Melanau sudah meresap ke seluruh badannya.

Bermulalah detik membalas dendam kuasa British. Undang-undangnya yang mengecualikan remaja berusia 16 tahun dihukum bunuh telah dimanipulasi apabila polis Sikh memalsukan surat beranak Rosli yang menjadikannya berusia 18 tahun.

Dalam perbicaraan yang begitu pantas, Rosli dan tiga lagi dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 15 Disember 1949 iaitu 12 hari sahaja dari hari Stewart diserang. Rosli dan Morsidi digantung pada 2 Mac 1950 manakala Awang Rambli dan Bujang pada 23 Mac 1950. Sila sedekahkan al-Fatihah kepada kesemua pejuang negara ini.

Maka apa terjadi kepada saya sebagai perisik dalam imaginasi di atas? Entahlah. Belum habis lagi imaginasi saya. Maka belum ada dalam skrip. Yang di atas adalah fakta. Tidak boleh dipesongkan. Mungkin ini terjadi dalam drama televisyen Warkah Terakhir lakonan Beto Kusyairy yang dikritik kerana memaparkan adegan Rosli melarikan diri selepas menikam Stewart.

Faktanya, Rosli setelah berjaya menikam Stewart, mahu terus menikam lagi Gabenor British itu tetapi dihalang oleh polis Sikh. Rosli tidak pernah berganjak selangkah pun. Dia adalah sebenar-benar manifestasi ketokohan seorang pejuang kemerdekaan.

Bab adegan ini sahajalah jadi kritikan. Adegan lain dan skrip secara umumnya adalah 'bagus’. Drama lapan episod itu kali pertama disiarkan di Astro pada 2009, dan berikutan permintaan ramai, diulang siar beberapa kali. Malah, pertama kali menonton aksi Beto bertutur bahasa Melayu Sarawak menyebabkan saya menyangka beliau adalah anak Sarawak. Kamek kena bulak Beto, rupa-rupanya. Syabas!

-
Tags: ejen, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “ejen” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments