?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Sejarah Malaysia berpaksikan Melayu

Apa Yang Dipertikaikan

Semenjak Tanah Melayu dan kemudian Malaysia merde;ka dan pakar-pakar sejarah Malaysia mula menulis kembali sejarah nasional negara, telah berlaku bantahan tentang sejarah Malaysia apabila ada tuduhan dalam kalangan orang bukan Melayu yang mengatakan sejarah Malaysia adalah sejarah tafsiran orang Melayu sahaja, satu sejarah yang dikatakan Malay-centric (berpaksikan orang Melayu). Malah, dikatakan orang Melayu telah sengaja memutarbelitkan sejarah negara.

Tuduhan-tuduhan tersebut muncul di akhbar, me­dia baru dan media sosial, malah dalam kalangan ahli akademik ju­ga, dan merupakan tuduhan be­rat. Tetapi, apakah tudu­han-tu­du­han tersebut berasas, yakni ber­dasarkan kefa­haman yang betul tentang apa itu ilmu sejarah, dan kefa­haman yang betul akan fakta-fak­ta sebenarnya dalam seja­rah ne­ga­ra kita.

Mereka yang membantah sejarah Ma­lay­sia ini seba­lik­nya mahukan satu sejarah Malaysia yang ‘sama rata dan mengambil kira semua kaum, adil dan saksama’. Ini ber­maksud, pembantah-pembantah ini mahu ditetapkan spe­sifikasi (ukuran) tertentu dalam penulisan sejarah Malaysia.

Ini pastinya satu sikap yang salah dalam mengenali dan mempelajari ilmu sejarah. Sikap mereka yang membantah ini sebenarnya memperlekehkan ilmu sejarah itu sendiri kerana dengan meletakkkan spesifikasi tertentu dalam penu­lisan sejarah, mereka sebenarnya mahu ‘mencipta’ atau mereka bentuk sejarah, yakni satu sejarah yang tidak lagi asli dan sejarah palsu (artificial history).

Kenapa tidak asli dan palsu ? Kerana, dengan meletakkan spesifikasi tertentu untuk penulisan sejarah, mereka yang menentang ini memperlakukan sejarah seolah-olah ia satu produk kilang, kerana sepertimana kita semua ketahui cuma kilang sahaja yang menghasilkan produk mengikut spesifikasi-spesifikasi tertentu.

Umpamanya, sabun diha­silkan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan mengenai saiz, berat, warna, dan sebagainya. Apakah kita mahukan juga sejarah negara kita diperkilangkan sedemikian, dan satu produk ‘sejarah kilang’ dihasilkan. Apakah kita setuju sejarah Malaysia dihasilkan sebegini, mengikut satu acuan kilang?

Walhal, yang sebenarnya ilmu sejarah adalah sua­tu yang berlaku secara semula jadi, tanpa direka letak oleh sesiapa pun. Sejarah Malaysia sebe­ginilah yang harus kita bangunkan dengan kaedah mengumpul segala maklumat dengan cermat, dan meneliti dan menyelidik dengan teliti dan tanpa sebarang prasangka. Yang tidak eloknya adalah dengan menghendaki spesi­fikasi tertentu ditetapkan untuk penulisan sejarah Malaysia, mereka yang membantah ini membawa prasangka tertentu, dan mahukan satu sejarah Malaysia yang mengetepikan paksi Melayunya.

Kenapa Sejarah Nasional Malaysia Berteraskan Bangsa Rumpun Melayu

Persoalan penting yang harus kita jawab ialah apakah seja­rah Malaysia yang berpaksikan Melayu itu salah berdasarkan hakikat faktanya? Elok dijelaskan sepenuhnya dahulu apa maksud ‘sejarah Malaysia’.Apa yang kita katakan sebagai ‘sejarah Malaysia’ sebe­narnya ialah sejarah nasional Malaysia, ataupun dalam baha­sa Inggerisnya, national history. National dalam bahasa Inggeris bermaksud ‘bangsa’ - bukannya ‘negara’. Jadi, ‘sejarah nasional’ bermaksud sejarah satu bangsa de­ngan tamadunnya, di tanah airnya.

Dalam kata lain, sejarah nasional adalah satu naratif atau pengkisahan satu tamadun bangsa; begitulah penulisan mahaguru-mahaguru besar sejarah di zaman silam seperti Herodotus, seorang berbangsa Yunani kuno lebih kurang 2500 tahun dahulu yang mengkisahkan tamadun Yunani kuno, dan Ibn Khaldun seorang sejarawan Islam Arab lebih kurang 700 tahun dahulu yang mengkisahkan tamadun bangsa Arab.

Apakah bangsa dan tamadun bangsa di negara kita ?

Kita berada di zon budaya yang dikenali sebagai Alam Melayu. Di Tanah Melayu dahulu dan di Malaysia sekarang ini, bang­sa dan tamadunnya ialah bangsa Melayu dan tamadun Melayu. ‘Melayu’ bermaksud bangsa Rumpun Melayu iaitu termasuk semua suku etnik pribumi di Sabah dan Sarawak (malah, di Indonesia, dan Filipina juga) kerana semua suku etnik ini bertutur bahasa-bahasa yang tergolong dalam satu keluarga bahasa yang dinamakan oleh pakar-pakar bahasa antarabangsa sebagai keluarga bahasa Malayo-Polynesia, atau ringkasnya keluarga Bahasa Melayu.

Satu keluarga bahasa bermaksud juga satu keluarga bangsa atau nation. Bangsa Rumpun Melayu telah menghuni kepulauan Melayu (di mana Malaysia adalah cuma sebahagian kecil dari­padanya) semenjak manusia keluar berhijrah dari benua Afrika dan sampai ke Asia Tenggara anggaran 60,000 – 70,000 tahun dahulu. Ada kajian genetik yang mendapati bahawa DNA (baka) orang Melayu berusia setua 59,000 tahun di Malaysia.

Dan, yang juga amat penting berdasarkan kajian gene­tik ialah Orang Asli dan orang Melayu di Tanah Melayu mem­punyai nenek moyang yang sama, berketurunan daripada penghijrahan yang sama dari benua Afrika. Maksudnya, orang Melayu dan Orang Asli adalah sama-sama penduduk peribumi di Tanah Melayu dari mula manusia menghuni Asia Tenggara.

Jadi, berdasarkan penemuan kajian genetik ini, dakwaan yang sering dibuat mengatakan Orang Asli sahaja adalah penduduk asal di Tanah Melayu, dan orang Melayu berhijrah ke sini kemudian adalah salah.

Jadi, berdasarkan hakikat kepribumian rumpun Melayu di negara kita ini, apakah salah jika sejarah nasional Malaysia dengan semula jadinya bersifat Malay-centric? Malah, di zaman moden juga sejarah nasional Malaysia memang hakikat dan semulajadinya berteraskan bangsa Rumpun Melayu, umpamanya pencapaian kemerdekaan Tanah Melayu memang berteraskan nasionalisme Melayu.

Malah, adalah keganjilan yang ketara jika sejarah nasional Malaysia tidak menampakkan kandungan Malay-centric.Jadi, perbalahan yang ditimbulkan yang mahu mengete­pikan hakikat Malay-centric sejarah nasional Malaysia adalah suatu yang tidak seharusnya berlaku.

Dan, sejarah nasional Malaysia sebagaimana yang dikena­li di sekolah telah juga berbentuk inklusif, yakni merangkumi semua etnik dan kaum di Tanah Melayu dan Malaysia. Hakikat ini diperkukuhkan dengan nyata jika kita ketahui bahawa anggota jawatankuasa kurikulum sejarah sekolah-sekolah adalah terdiri daripada orang Melayu, Cina, dan India, dan juga dari Sabah/Sarawak.

Jadi, kenapa harus timbul lagi hal sejarah nasional Malaysia kononnya tidak saksama. Sejarah nasional Malaysia memang telah pun bersifat inklusif dan saksama. Tidak sepatutnya pula sejarah nasional Malaysia direka letak semula untuk sengaja mahu menghilangkan teras Rumpun Melayu kepada sejarah dan kependudukan negara. - Mohd Arif Ishak Utusan Malaysia Rencana 13 November 2016 12:21 AM

Tags:

Posts from This Journal by “sejarah” Tag

  • Teori asal usul nama Malaysia

    SEBELUM nama Malaysia, negara kita dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Selepas merdeka pada tahun 1957, namanya berubah kepada Persekutuan…

  • Tarikh kemerdekaan ilham daripada ulama

    SETIAP kali menjelang hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos, hanya beberapa nama popular yang sering kedengaran. Nama-nama itu ialah Tunku Abdul…

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

Latest Month

October 2018
S M T W T F S
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031   

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow