kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Menyelesai isu ketidakpadanan pendidikan

PENDEMOKRASIAN pendidikan menengah pada 1990-an dan seterusnya peningkatan kadar enrolmen peringkat tertiari meluaskan peluang pengaksesan pendidikan di Malaysia.

Ketidakseimbangan pasaran buruh negara berlaku, lantaran kewujudan lebihan penawaran tenaga kerja berkelayakan pendidikan tinggi berbanding permintaan industri, khususnya dalam kategori pekerjaan mahir. Ketidakcukupan peluang pekerjaan dalam industri berintensifkan kemahiran tinggi mengekang proses penyerapan lebihan tenaga kerja ini ke kategori pekerjaan mahir.

Akibatnya, mereka terpaksa mencuba nasib dalam industri yang hanya menawarkan pekerjaan separa mahir berpendapatan rendah yang mana peratusannya semakin meningkat berbanding pekerjaan mahir berpendapatan tinggi.

Justeru, isu ketidakpadanan pendidikan yang kemudiannya melebarkan jurang pendapatan berlandaskan perbezaan kemahiran timbul. Hasil kajian pengesanan graduan 2015 terbitan Kementerian Pendidikan Tinggi, graduan menjurus bidang sastera dan sains sosial mencatatkan peratusan tertinggi, iaitu 45.4 peratus daripada keseluruhannya.

Statistik ini menimbulkan persoalan sama ada pasaran buruh Malaysia dilengkapi dengan tenaga kerja berteknologi tinggi yang berkelayakan universiti.

Namun, kajian itu turut mendedahkan masalah kekurangan tenaga kerja mahir apabila 27.7 peratus, 23.6 peratus, dan 23.3 peratus daripada graduan yang masih belum bekerja semasa kajian dijalankan adalah berjurusan sains, teknik, dan teknologi maklumat dan komunikasi masing-masing.

Walaupun 73.4 peratus daripada graduan yang masih belum bekerja sedang berada dalam proses mencari pekerjaan, masalah ketidakcukupan pekerjaan dalam kategori mahir di Malaysia turut menghalangi usaha mereka ini.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015) terbitan Unit Perancang Ekonomi, komposisi pekerjaan separa mahir meningkat daripada 61 peratus kepada 62 peratus, manakala kejatuhan dari 27.6 peratus ke 25.2 peratus dicatatkan dalam kategori pekerjaan mahir. Hanya 121,000 peluang pekerjaan mahir baharu diwujudkan dalam tempoh 2010-2014 bagi memenuhi permintaan kerja 245,000 graduan keluaran 2013.

Akibatnya, 553,400 pekerja berkelulusan sekurang-kurangnya diploma terpaksa mencari rezeki dalam kategori pekerjaan separa mahir. Walaupun komposisi pekerjaan mahir dijangka meningkat kepada 35 peratus menjelang 2020 dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020), angka ini masih rendah berbanding komposisi pekerjaan separa mahir.

Sekiranya seseorang pekerja itu terpaksa menyandang jawatan memerlukan tahap pendidikan lebih rendah daripada tahap dikecapi, maka berlakunya insiden keterlebihan pendidikan kerana ilmu dan kemahiran dipelajari di sekolah tidak dapat diguna pakai untuk menjalani tugasan jawatan semasa.

Nilai sijil pendidikan dipersoal

Tahap pendidikan rendah pula berlaku dalam keadaan sebaliknya. Suatu kajian pada 2014 mendapati, 18 peratus dan 28 peratus pekerja dikenal pasti tahap pendidikan tinggi dan rendah.

Pulangan dari segi gaji terhadap insiden keterlebihan pendidikan adalah lebih rendah berbanding pulangan terhadap tahap pendidikan sejajar dengan keperluan jawatan semasa, manakala kejatuhan gaji menimpa mereka yang memegang jawatan memerlukan tahap pendidikan lebih tinggi.

Ketidakpadanan pendidikan yang berlaku di pasaran buruh Malaysia, menimbulkan persoalan terhadap nilai sijil pendidikan yang dapat membuktikan kemampuan bekerja seseorang.

Sekiranya gaji diterima tidak setara dengan tahap pendidikan diperoleh, maka timbullah persoalan sama ada pelaburan modal insan yang dibuat selama ini adalah suatu pembaziran.

Kajian baharu sekumpulan penyelidik UKM membuktikan tahap kebolehan seseorang pekerja bukan hanya pelengkap kepada tahap pendidikannya dalam penentuan upah, malah tahap kebolehan itu berupaya mengurangkan kepincangan upah lantaran ketidakpadanan pendidikan.

Bagaimanapun, keberkesanannya bergantung kepada jenis kebolehan yang diperoleh. Menurut hasil kajian UKM itu, pekerja yang mengalami masalah ketidakpadanan pendidikan tetapi dengan tahap kebolehan tempat kerja melebihi prestasi purata rakan sekerja lain akan menerima pendapatan lebih tinggi.

Hasil kajian ini membawa implikasi penting kepada penggubal dasar supaya penekanan diberikan terhadap usul pembangunan sumber manusia dari aspek kebolehan tempat kerja berpandukan ciri sesuatu pekerjaan, khususnya dari segi kemahiran teras dan proses.

Kemahiran proses yang harus dibangunkan adalah seperti kecelikan komputer, perancangan, penggunapakaian ilmu yang dipelajari, penyelesaian masalah, pembuatan keputusan dan keupayaan bekerja dalam kumpulan.

Saranan sama juga harus ditujukan kepada pelaksana strategi pembangunan sumber manusia pada peringkat firma melalui pengendalian kursus latihan dan pembangunan dalam aspek kemahiran teras dan kemahiran proses itu.

Selain kemahiran bersifat generik yang disebutkan di atas, sifat personaliti seseorang juga penting dalam pembentukan kebolehan yang seterusnya mempengaruhi pendapatannya.

Kajian lalu membuktikan peranan dimainkan oleh personaliti 'lokus kawalan', 'tingkah laku jenis A', 'pemantauan diri' dan 'pencarian sensasi' dalam penentuan gaji.

Kesimpulannya, hala tuju pembangunan sumber manusia di Malaysia seharusnya ditumpukan ke arah pembentukan kebolehan pekerja melalui peningkatan kemahiran teras dan kemahiran proses serta pemupukan sifat personaliti yang baik. Selain menentukan gaji yang diterima, usaha ini turut mengurangkan masalah kepincangan gaji lantaran ketidakpadanan pendidikan.
Tags: pendidikan
Subscribe

Posts from This Journal “pendidikan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments