?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

1Malaysia manifestasi Rukun Negara

Tahniah Malaysia! Satu lagi tahun berjaya kita lalui. Tahun lalu boleh dikatakan agak sukar dan mencabar, tetapi tidak kurang juga kejutan dan lakaran indah. 2016 berjaya memperlihatkan bagaimana setiap isu atau perkara yang menjadi buah mulut serta cabaran dihadapi Malaysia berjaya ditangani dengan tenang oleh pucuk pimpinan dan juga masyarakat.

Tegapnya langkah kita menghadapi segala ancaman dan juga cabaran terhadap negara ini tidak lain tidak bukan adalah berasaskan perpaduan utuh dalam kalangan masyarakat.

Perpaduan yang dijalin dari peringkat atasan hingga bawahan menjadikan kita mampu terus menuju status negara maju. Sepanjang 2016 hingga sekarang, rakyat negara ini berjaya membezakan antara persepsi dan realiti.

Satu tidak mewakili semua. Istilah negatif terhadap sesuatu kaum tidak lagi dijadikan alat untuk mengecam. Keadaan sebeginilah yang menjadikan negara ini berjaya menempuh apa jua cabaran yang cuba mengkucar-kacirkan negara ini.

Sesuatu yang harus kita ambil tahu ialah suara rakyat yang tidak berkepentingan menegur kerajaan untuk menjadi lebih baik pada masa depan.

Kadangkala, orang menegur kerana sayang, bukan kerana benci dan mahu menghukum semata-mata. Selain itu, kita juga harus memuji barisan kerajaan yang berjaya memacu Malaysia melayari ekonomi global yang semakin menggila masa kini.

Bagaimanapun, kerajaan harus tumpukan usaha untuk memastikan golongan berpendapatan sederhana dan ke bawah tidak diabaikan. Institusi zakat, baitulmal, persatuan agama lain dan badan korporat harus beri tumpuan kepada golongan asnaf.

Masyarakat lebih terbuka

Untuk warga masyarakat majmuk pula, tahniah kerana berjaya menunjukkan contoh yang baik dalam banyak perkara. Kemeriahan sambutan pelbagai perayaan daripada Tahun Baharu Cina hingga kepada sambutan Krismas, kita kini lebih terbuka dalam meraikan kepelbagaian meliputi ruang lingkup keterbatasan agama.

Pada hari ini, masyarakat yang membantu lebih ramai daripada yang membuat angkara. Keprihatinan kita ternyata semakin tinggi dan berjaya diangkat sebagai sebuah simbolik perpaduan dalam negara majmuk ini.

Tidak dilupakan juga kepada dua negeri yang kaya dengan pelbagai kaum di seberang Laut China Selatan.

Tidak disebut sedikitpun, tidak bermakna kita lupa. Siapalah Malaysia tanpa pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak yang mewarnai kecantikan negara kita.

Perpaduan di Sabah dan Sarawak adalah contoh perpaduan terbaik yang perlu dipraktiskan di semua negeri lain di Malaysia. Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan perlu menjadi contoh untuk bandar lain di Malaysia untuk turut sama mempunyai simbolik perpaduan.

Untuk golongan minoriti, isu tanah di Kelantan, akan sama-sama kita bersolidariti. Mungkin ada silap faham antara pengusaha dan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, hak tetap menjadi hak dan kita akan sentiasa berdiri menyokong semua Orang Asli yang menetap lama di negara ini. Orang Asli akan dilayan sebaik mungkin dan seadil mungkin.

Tidak mungkin kita akan menganiaya saudara sendiri. Sebagai bukti lihat bagaimana sistem kehakiman negara membawa berita gembira kepada 78 Orang Asli yang berjaya mendapat RM37 juta wang pampasan hasil kemenangan mereka dalam kes Disember lalu.

Seperti Orang Asli, layanan sama akan diberi kepada sesiapa sahaja yang mendiami negara ini sebagai warganegara Malaysia. Tahniah sistem kehakiman Malaysia kerana bekerja dengan cekap dan adil.

Ucapan sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana semakin cekap mengejar dan mengancam semua yang ada kaitan dengan rasuah. Juga kepada badan beruniform, askar, polis, bomba,

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan seangkatan dengannya kerana terus menerus berusaha memberikan keselesaan agar Malaysia kekal aman sebagai negara yang bersatu padu.

Pada 2017, kita perlu sematkan lagi azam untuk mewujudkan negara yang tinggi nilai satu-padunya. 1Malaysia perlu ditiupkan semula popularitinya. Supaya negara kita mempunyai set perpaduan yang jelas untuk semua.

Tiba masanya kita manfaatkan semula Rukun Negara. 1Malaysia adalah manifestasi daripada Rukun Negara. Kita sudah tidak perlu bertungkus lumus mencipta lebih banyak manifestasi baharu.

Perkasa semula Rukun Negara

Tiba masa kita perkasakan semula Rukun Negara. Seperti Rukun Negara mula dicipta, langkah drastik telah diambil menjadikan Rukun Negara benar-benar popular.

Lihat bagaimana Rukun Negara dipopularkan melalui sukarelawan penjawat awam, cadangan menjadikannya subjek di sekolah dan juga antara nilai tambah perlu ada ketika temuduga dijalankan.

Langkah inilah yang harus kita kekalkan dan menjadikan Rukun Negara sebagai pilihan utama dalam mewujudkan masyarakat yang cintakan Malaysia dan sayangkan perpaduan.

Rukun Negara sebagai identiti akan meningkatkan lagi jati diri masyarakat majmuk di negara ini.

Akhir kalam, semoga pada 2017, dunia akan menyaksikan Malaysia sebagai sebuah entiti terulung yang menjadi simbol masyarakat yang boleh hidup bersatu padu walaupun berbeza agama, bangsa, bahasa, adat dan keturunan.

Selagi yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul, hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah, gunung sama didaki, lurah sama dituruni, selagi itulah kita akan terus jadi negara yang bersatu padu ke arah mencapai status negara maju.

Untuk 2016, kita melakukan yang terbaik. Oleh itu sama-sama kita ucapkan 'Tahniah Malaysia! Selamat Tahun Baharu.'

Posts from This Journal by “rukun negara” Tag

  • Rukun Negara as the Constitution’s Preamble

    AUG 31, 2017, will be the 60th anniversary of Merdeka and of the Federal Constitution. In conjunction with this important milestone, a group of…

  • Empower the Rukunegara

    IT is extraordinary what has happened in our country. On National Day 1970, the fourth Yang di-Pertuan Agong presented to the nation the Rukunegara,…

  • Rukun Negara teras integriti

    RUKUN NEGARA adalah satu ideologi nasional yang bertujuan mencapai perpaduan demi keharmonian dan kemakmuran negara. Ia digubal susulan tragedi 13…

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow