?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

PhD palsu memalukan diri dan negara

LAPORAN akhbar Utusan Malaysia mengenai ijazah kedoktoran (PhD) yang boleh dibeli dalam masa 24 jam amat menyedihkan dan memalukan bagi dunia akademik Malaysia.

Penipuan PhD ini memberi impak kepada integriti dunia pendidikan tinggi negara yang selama ini berusaha keras untuk membangunkan dan mengembalikan reputasi yang utuh.

Mustahil PhD yang berteraskan penyelidikan dan kerja kursus boleh dicapai dalam 24 jam walau sehebat mana sekalipun seseorang pelajar kerana secara profesionalnya pengajian PhD memerlukan sekurang-kurangnya 24 bulan untuk tamat dengan jaya hasil usaha yang konsisten dan komitmen tinggi.

Penipuan PhD palsu ini memberi implikasi negatif kepada dunia pendidikan tinggi negara dan jika tidak dikawal boleh menjadi virus yang merebak hingga mampu meruntuhkan maruah pendidikan di Malaysia.

Mengapa seseorang itu sanggup menipu untuk mendapatkan PhD 24 jam atau PhD ekspres ini? Saya hanya mampu menggariskan beberapa kemungkinan mengenai pemegang-pemegang PhD palsu ini seperti berikut:

Personaliti individu tersebut sukakan pengaruh dan kemegahan untuk ditonjolkan dengan gahnya menggunakan gelaran ‘doktor’ di depan nama mereka bagi mendapatkan sanjungan dan perhatian masyarakat. Sikap ini sungguh memalukan diri dan tidak menghormati harga diri sendiri!

Persepsi masyarakat yang memandang tinggi akan nilai kepakaran, kebolehan dan kemahiran bagi pemegang PhD dan keupayaan mereka dalam menjadi pemangkin ilmuan bermanfaat kepada masyarakat juga menyumbang golongan ini sanggup menipu dan membeli PhD palsu.

Dengan segulung PhD palsu, mereka akan menjadi tarikan utama dan diberi kepercayaan oleh masyarakat dalam menyampaikan ceramah, pakar rujuk, jurulatih dan pelbagai profesion yang menjadikan masyarakat sebagai pelanggan dan penonton.

Peluang-peluang yang akan mereka peroleh dengan gelaran ‘Dr.’ itu termasuk membuka peluang perniagaan sebagai pakar runding, pakar rujukan motivasi dan inspirasi, pakar pemasaran, kewangan mahupun penceramah dengan imbuhan bayaran sebagai seorang jurucakap profesional.

Mereka sanggup menipu kerana PhD palsu itu menjadi batu loncatan untuk mereka naik hingga mencapai misi dan visi diri yang ingin kaya dan masyhur dengan cepat!

Bagi pelajar-pelajar PhD di luar sana, teruskan usaha anda hingga berjaya mendapat PhD yang asli dengan keringat dan usaha berterusan.

Ingatlah petua ‘4P’ ini yang boleh dijadikan panduan sehingga mendapat PhD yang berkualiti dan berintegriti iaitu:

* Perancangan yang konsisten terhadap pembelajaran dan pengajian PhD secara jelas dan ikhlas akan membantu usaha kejayaan.

* Penyeliaan dijalankan dengan berkesan bersama penyelia secara profesional bagi rujukan, panduan dan perbincangan bagi kajian yang dijalankan.

* Penyelidikan yang dijalankan menepati tahap penyelidikan PhD dan relevan serta signifikan dengan kehendak serta keperluan negara mahupun dunia.

* Penulisan pelajar yang perlu yakin diri, tekun dan rajin mencari sumber-sumber rujukan, pembacaan mendalam bagi membantu penulisan mantap serta kukuh bagi menyiapkan tesis hingga berjaya.

Walau apa pun alasan untuk penipuan PhD ini, janganlah kita turut serta kerana ijazah dan kelayakan akademik ini melibatkan maruah serta rasa hormat terhadap diri sendiri.

Pemilikan ijazah asli juga akan memberi implikasi terhadap keyakinan diri, inspirasi dan motivasi diri serta integriti dan reputasi dalam membina kerjaya di masa hadapan.

Janganlah dirosakkan harga diri dengan isu akademik palsu yang menimbulkan implikasi yang sensasi dan kontroversi terhadap reputasi diri.

Dr Rusinah Siron Utusan Malaysia Rencana 03 Februari 2017 6:00 PM


Keperluan daftar pemegang PhD

LAPORAN Utusan Malaysia pada 31 Januari 2017 mengenai mudahnya seseorang mendapat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam masa 24 jam memang mengejutkan ramai pihak. Dengan sejumlah bayaran yang dikenakan, seseorang sudah bergelar Doktor (Dr.) tanpa perlu bersusah payah dalam mengharungi pengajian. Perkara ini kalau tidak di­bendung dari awal akan melahirkan ­graduan PhD palsu dan menjejaskan imej negara.


Justeru cadangan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkenalkan pangkalan data bagi pendaftaran semua pemegang PhD sangat dialu-alukan demi membanteras perdagangan PhD. Dalam usaha kementerian itu yang meletakkan sasaran 60,000 pemegang PhD men­jelang 2023, maka ramai pihak yang tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya menggunakan gelaran Dr. tanpa segan silu.

Kenyataan akhbar yang di­keluarkan KPT bertarikh 6 November 2016 menyatakan bahawa kemenerian itu sedang mengambil tindakan tegas ke atas pengeluaran dan penyalahgunaan gelaran akademik oleh individu dan organisasi dalam membanteras penyalahgunaan gelaran akademik terutama gelaran Dr. Justeru, KPT menerusi Akta Universiti dan Universiti Kolej 1971 (Akta 30), Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta (Akta 555) dan garis panduan pemakaian gelaran akademik semasa akan menubuhkan satu pangkalan data di bawah Jabatan Pengajian Tinggi bagi mendaftar semua pemegang PhD dalam negara ini.

Pusat pendaftaran ini secara automatik akan mendaftar graduan PhD dari universiti tempatan. Adapun bagi graduan PhD dari luar negara, pengesahan status akan dibuat terus kepada universiti yang menganugerahkan ijazah PhD tersebut.

PhD adalah ijazah tertinggi yang dianugerahkan sesebuah universiti. Penganugerahan tersebut dibuat setelah calon berjaya membuat penyelidikan yang mencapai standard PhD dalam sesuatu bidang. Seseorang yang memperoleh ijazah PhD dipandang tinggi dari segi keilmuannya dalam bidang kajiannya, lebih-lebih lagi kalau seseorang itu bergelar profesor.

Memiliki ijazah PhD bukanlah satu perkara kecil dan mudah. Ia melalui satu proses akademik yang luar biasa dengan pem­belajaran dan penyelidikan yang tinggi mutunya. Proses pengajian PhD amat memenatkan fizikal dan mental seseorang.

Untuk memperolehnya, ­pelajar dan penyelia mesti mempunyai disiplin pengurusan masa yang baik dan kebertanggungjawaban bersama terhadap kajian yang dibuat. Malah hubungan yang baik antara penyelia dan pelajar PhD akan membawa hasil yang positif.

Justeru, pepatah yang mengatakan supervisor is always right amat tepat sekali. Ini kerana kejayaan seseorang pelajar PhD banyak bergantung kepada persetujuan penyelia.

Tempoh pengajian PhD lazimnya mengambil masa antara tiga hingga enam tahun sekiranya dibuat secara sepenuh masa. Bagi pengajian separuh masa tempoh yang diberi adalah sehingga lapan tahun bagi sesetengah universiti.

Memandangkan bahawa mereka yang berkelulusan PhD dianggap pakar dalam kajian yang dibuat dan membuahkan satu teori atau penemuan baharu dalam satu-satu bidang, kerana itu, kalau sesebuah kajian PhD yang tidak menghasilkan satu teori baru atau membuahkan buah fikiran baru, ia sebenarnya tidak sampai ke tahap pengajian PhD.

Pengajian di peringkat PhD akan melalui banyak proses dan peringkat- daripada cadangan (proposal) dan mempertahankan cadangan tersebut (defend proposal) yang dinilai oleh pakar-pakar dalam bidang tersebut, baik dari segi kandungan dan juga pendekatan metodologi.

Untuk melihat kesahihan penyelidikan yang dibuat, kebanyakan universiti di Malaysia mahupun luar negara mensyaratkan pemeriksaan ­melalui viva secara oral. Ini bagi memastikan penyelidik tersebut benar-benar mendalami kajian yang dibuat dalam tesis PhDnya. Ia juga bertujuan melihat kesahihan penyelidik tersebut. Pemeriksaan secara viva juga akan menilai sama ada sesebuah tesis PhD itu diperoleh melalui upahan atau beli.

Kementerian perlu membuat ketetapan mengenai ijazah PhD secara jarak jauh kerana terdapat mereka yang membuat pengajian PhD di luar negara secara jarak jauh dan tiba-tiba meletakkan gelaran Dr. Ini termasuk pensyarah yang gagal memperoleh PhD setelah melalui pengajian sepenuh masa dan kemudian membuat pengajian secara jarak jauh di universiti luar negara.

Sesungguhnya penubuhan pangkalan data bagi tujuan pendaftaran pemegang PhD di KPT dan pengenalan hukuman berat ke atas pemegang Dr. palsu adalah langkah terbaik bagi memastikan amalan ‘pembelian dan penjualan PhD’ dapat dibendung melalui peruntukan undang-undang yang diletakkan di bawah Kanun Keseksaan yang membolehkan sesuatu tindakan undang-undang jenayah diambil ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab ini.


Mohamed Azam Mohamed Adil Utusan Malaysia Rencana 03 Februari 2017 12:20 PM
Profesor, doktor, Ir., Sr., palsu


MUKADIMAH
KEGILAAN memiliki ijazah menyebabkan semakin ramai yang sanggup membayar puluhan ribu ringgit untuk kepentingan diri sendiri.

SAHOL HAMID
SAHOL HAMID


Tindakan itu bukan sahaja berbahaya kerana boleh dijadikan tiket untuk menipu, malah turut mencalar kehormatan sesebuah institusi pengajian tinggi.

Ikuti bahagian akhir laporan khas oleh wartawan MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI bersama jurugambar MOHD. NOOR MAT AMIN dan JEFFRI IRAN mengenai isu ijazah palsu yang begitu mudah diperoleh sekarang.

HANYA mahu melunaskan tuntutan nafsu seperti memajukan kedudukan dalam pekerjaan, meningkatkan peluang niaga dalam bisnes dan sebagainya menjadi alasan begitu ramai individu memalsukan kelulusan akademik.

Selain dalam industri perniagaan atau pun syarikat korporat, institusi akademik tidak terlepas daripada masalah pegawainya yang memalsukan ijazah semata-mata untuk naik pangkat.

Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Pengerusi Lembaga Peme­gang Amanah Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB), Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar yang memberitahu, terdapat tiga kategori pemalsuan ijazah.

Beliau berkata, tiga kategori tersebut ialah merangkumi ke­semua peringkat ijazah sama ada diploma, sarjana muda, ijazah sarjana ataupun ijazah doktor falsafah (PhD).

“Kategori pertama adalah membeli secara terus daripada universiti terlibat. Ia tidak memerlukan individu berkenaan memasuki kuliah, menduduki peperiksaan dan membuat tesis.

“Kategori kedua, membeli ijazah melalui sindiket atau internet. Mendaftar di universiti melalui sindiket, kemudian peroleh ijazah dalam masa yang singkat daripada universiti terkemuka.

“Kategori ketiga pula berdaftar dengan universiti, tetapi upah orang lain untuk membuat tesis atau tugasan seterusnya memperoleh ijazah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, selain pemalsuan ijazah, terdapat juga individu yang memalsukan gela­ran akademik lain seperti profesor termasuk badan profesional iaitu insinyur (Ir.) bagi jurutera dan surveyor (Sr.) bagi juruukur.

“Isu pemalsuan sedemikian adalah paling bahaya kerana mereka mempunyai kepentingan tersendiri untuk berbuat demikian, tetapi telah mencalar kehormatan sesebuah institusi.

“Sebagai contoh, gelaran profesor hanya boleh digunakan di universiti berkenaan sahaja dan masih dalam tempoh perkhidmatan. Orang sudah bersara tidak boleh gunakan gelaran tersebut kecuali profesor emeritus dan profesor diraja.

“Begitu juga dengan ijazah PhD kehormat, orang yang meneri­manya tidak boleh disebut sebagai doktor, jika ditulis pula gelaran tersebut diletakkan dalam kuru­ngan.

“Saya memandang serius masalah ini. Semasa berada di UiTM, saya pernah memecat empat pegawai kerana menggunakan ijazah dan gelaran palsu. Saya juga pernah buat tiga laporan polis terhadap ejen yang cuba menjual ijazah dari UiTM,” tegasnya.

Beliau mencadangkan supaya kementerian terlibat mewujudkan undang-undang supaya etika akademik ini tidak boleh dilanggar sesuka hati.


Apakah Malaysia mahu menjadi negara palsu? Awang tanyakan soalan ini kerana terlalu banyak perkara palsu berlaku di negara ini. Perkara yang palsu itu pula seperti tidak terbendung.

Lihat sahaja anugerah dan darjah kebesaran palsu. Muncul di sana sini sultan atau raja palsu yang sewenang-wenangnya meng­anugerahkan darjah kebesaran. Penerimanya pula tanpa silu bangga memperagakan gelaran berkenaan. Mujurlah kini sudah ada undang-undang untuk mengawal perkara ini.

Begitu juga dengan berita palsu. Hampir saban hari be­rita palsu muncul dalam media sosial. Kita bahkan seperti tidak mampu lagi membezakan antara berita palsu dan sahih.

Yang terbaharu, seperti didedahkan akhbar Awang semalam dan hari ini, gelaran tertinggi akademik palsu iaitu PhD boleh diperoleh hanya dalam tempoh 24 jam. Tinggal bayar sahaja.

Sebelum ini pun ada selebriti dan pakar motivasi yang didapati menggunakan ijazah palsu. Semua ini perlu dihentikan. Kita semua mesti bergerak melawan kepalsuan.

Langkah pertama ialah jangan sesekali menghargai orang yang ada kaitan dengan perkara palsu. Pulaukan mereka sama ada yang menggunakan gelaran palsu, ijazah palsu mahupun pembuat dan penyebar berita palsu.  oleh Awang Utusan Malaysia Rencana 01 Februari 2017 1:22 AM

Tags:

Posts from This Journal by “phd” Tag

Latest Month

September 2019
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow