kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Sejarah nama Rio Fermoso, Portugis di Batu Pahat?

Rio Fermoso, Portugis di Batu Pahat?

PERSOALAN mula timbul mengenai Batu Pahat yang sebelum ini terkenal dengan jolokan sejarah telaganya termasuk perlombongan batu di Pantai Minyak Beku.

Kewujudan perigi Batu Pahat pula berasal daripada peperangan antara Melaka dengan Siam kira-kira 500 tahun dahulu.


EMPAT tiang lama ini dipercayai pernah menjadi jeti di perairan Batu Pahat, namun usianya perlu dikaji

Namun, perkataan Rio Fermoso hari ini begitu asing dalam sejarah daerah di selatan tanah air itu. Justeru, muncul pelbagai teori untuk mengaitkannya dengan sejarah Batu Pahat selepas nama tersebut ditulis dalam jurnal-jurnal lama.

Persoalan Rio Fermoso, Batu Pahat telah ditimbulkan oleh Mohd. Azlan Mohd. Sharif, seorang aktivis masyarakat yang memberitahu sejarah tersebut tidak diketahui ramai.

“Sebelum berbincang tentang Rio Fermoso, banyak lagi sejarah lain di Batu Pahat perlu dikaji dan kemungkinan besar pelbagai penemuan artifak boleh dikaitkan dengannya.

“Seperti di Pantai Minyak Beku, ramai orang tahu tentang kewujudan kuari. Tetapi, tidak ramai sedar tentang artifak lain yang terdapat di atas bukit di hujung pantai.

“Di situlah terdapat banyak artifak sejarah telah ditemukan dalam satu tinjauan saya bersama rakan, Shaharudin, Anwar serta Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Negeri Johor, Omar Bachok,” katanya ketika ditemui S2.



KUBUR panjang yang terletak dekat kaki bukit di Tanjung Telaga, Pantai Minyak Beku, Batu Pahat.

Antara penemuan dalam tinjauannya di sebuah bukit di hujung Pantai Minyak Beku yang dipanggil Tanjung Telaga ialah beberapa kubur lama dan bongkah batu tersusun seperti tembok.

“Hampir tidak percaya, sebuah bukit yang terpencil jarang dikunjungi orang sebenarnya mempunyai artifak begitu penting dalam sejarah Batu Pahat.

“Di kaki bukit pula terdapat sebuah kubur panjang manakala di bahagian atas pula terdapat binaan seperti bangunan dan dalam kawasan sama juga kelihatan beberapa kubur lama yang tidak teratur susunannya.

“Kesimpulan awal saya ialah, binaan tersebut dipercayai merupakan sebuah kota dan terdapat kubur yang tidak teratur seolah-olah pengebumiannya dilakukan secara tergesa-gesa.

“Hal ini kemungkinan besar menjadi sebahagian daripada peperangan antara Aceh dengan Portugis pada kurun ke-16 dahulu.

“Malah kedudukan bukit tersebut begitu strategik kerana terletak di bahagian hujung pantai dan permandangan dari puncaknya boleh nampak semua arah laut Selat Melaka,” ujarnya.


PERMANDANGAN atas bukit di Tanjung Telaga dekat Pantai Minyak Beku, Batu Pahat boleh meninjau muara sungai serta utara dan selatan Laut Selat Melaka.

Justeru menurut Mohd. Azlan lagi, signifikan nama Rio Fermoso dalam sejarah Batu Pahat ialah fakta tentang peperangan antara Portugis dan Aceh berlaku di Batu Pahat.

“Terdapat pelbagai teori Rio Fermoso Batu Pahat boleh dikaitkan. Sebagai contoh, Portugis pernah sampai Batu Pahat selepas menjajah Melaka itu pada 1511 hingga 1624.

“Kemudian, kewujudan batu nisan Aceh pada kubur lama di Sri Medan dan Parit Sulong disokong oleh fakta peperangan berlaku di sana yang ketika itu perairan berhampiran muara Sungai Batu Pahat di panggil Laut Banang.

“Selain itu dalam peta Portugis pada kurun ke - 16, Tom Pires menyebut Sungai Batu Pahat sebagai Rio Fermoso. Di tambah pula dengan catatan pada jurnal Lake dan Kelsall yang menyebut Mount of Fermoso di Batu Pahat,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, katanya ia hanyalah teori awal dan kajian lebih dalam perlu dilakukan terutama binaan dan kubur lama yang terdapat di atas bukit dekat Tanjung Telaga perlu ditentukan usianya.


Sejarah nama Rio Fermoso

Tidak ramai tahu tentang asal usul nama Rio Fermoso yang sehingga kini menjadi persoalan apabila terdapat banyak catatan dikaitkan perkataan Portugis itu dengan Batu Pahat.


SUNGAI Batu Pahat ditanda oleh orang Portugis sebagai Rio Fermoso bermaksud sungai yang indah.

Seorang aktivis masyarakat yang berminat mengkaji sejarah Rio Fermoso itu, Mohd. Azlan Mohd. Sharif memberitahu, pelbagai teori kemunculan nama tersebut diketengahkan antaranya catatan oleh Abdullah Munsyi.

“Portugis yang datang ke Melaka pada 1511 hingga 1624, justeru Abdullah Munysi ada menyebut nama Rio Fermoso kemungkinan besar berkait rapat dengan A’Farmosa.

“Batu Pahat dahulu terkenal dengan aktiviti perlombongannya bijih timah dan batu. Justeru, Abdullah Munsyi menjangkakan Portugis mungkin membina Kota A’Farmosa menggunakan batu yang diambil dari Batu Pahat.

“Di samping itu juga, Portugis mungkin menanda sungai dan gunungnya sebagai Fermoso kerana pernah sampai ke situ dan mencatat dalam jurnal mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, permandangan muara sungai dan gunung-ganangnya dari laut begitu indah sekali sekali gus mendapat nama Rio Fermoso.

“Teori berkenaannya dicadangkan oleh rakan saya yang mendapati perkataan Rio Fermoso itu berasal daripada bahasa Portugis lama membawa maksud Galician.

“Galician pula bermaksud ‘Indah’. Justeru Sungai Batu Pahat di panggil Rio Fermoso kerana ia adalah sungai yang indah. Sementara Gunung Banang dipanggil Fermoso dalam catatan Lake dan Kelsall pula adalah gunung yang indah,” ujarnya.

Tags: sejarah, warisan
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments