kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Amanah prinsip utama dalam pemerintahan

AMANAH adalah prinsip utama dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara Islam. Berlakunya penyalahgunaan kuasa, korupsi dan seumpamanya adalah berkaitan dengan pengkhianatan terhadap amanah diberikan kerajaan dan rakyat kepada individu-individu yang mengendalikan urusan tersebut. Ramai umat Islam ­merasai jawatan dan kedudukan yang diperoleh adalah satu hadiah istimewa daripada rakyat dan kerajaan. Persepsi begini semakin hari kian membara dalam pemikiran umat Islam.

Perkara ini jelas ditonjolkan ketika berlakunya pemilihan untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat dan seumpamanya. Persengketaan sesama umat Islam untuk menjadi orang penting dalam pemerintahan dan pentadbiran negara bukan hanya berlaku dalam kalangan ahli politik yang berbeza parti politik malah juga berlaku dalam kalangan ahli politik yang memperjuangkan parti politik yang sama.


Pergolakan politik dalaman telah membuka ruang kepada pihak luar untuk campur tangan sehingga membawa kepada kehancuran Syria. GAMBAR HIASAN/AFP

Perselisihan dan pergaduhan sesama sendiri dalam parti politik yang sama adalah perkara biasa dalam arena politik umat Islam masa kini. Setiap individu yang ingin dirinya dipilih sebagai calon pilihan raya menggunakan pelbagai cara untuk meyakinkan pucuk pimpinan parti bahawa dirinya ­layak dicalonkan sebagai wakil rakyat. Hasilnya, umat Islam berpecah kepada pelbagai kumpulan daripada peringkat atasan sehingga bawahan dalam parti politik.

Faktor utama yang menyebabkan umat Islam berpecah dalam arena politik adalah salah faham terhadap tugas dan perjuangan parti politik. Mereka kurang akur terhadap konsep amanah berkaitan urusan politik. Perebutan kuasa yang diperjuangkan lebih mirip kepada kepentingan peribadi daripada perjuangan untuk menegakkan agama, bangsa dan negara. Kemenangan sering dikaitkan dengan keistimewaan dan kekayaan yang akan diperoleh daripada kroni yang diperjuangkan dalam arena politik. Kekalahan sering diibaratkan sebagai nasib malang yang akan menimpa diri yang mana kekayaan dan keistimewaan yang dinikmati akan dihapuskan.

Persepsi dan konsep perjuangan politik sepatutnya dilihat dalam perspektif Islam supaya setiap individu yang terlibat dalam arena politik memahami batas dan prosedur berpolitik dalam Islam. Perkara utama yang digariskan oleh Islam berkaitan pemerintahan dan pentadbiran adalah amanah.

Perkara ini di­sebut dalam Surah 33 (al-Ahzab): 72-73 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh. Sehingga Allah mengazab orang munafik lelaki dan perempuan dan orang Musyrikin lelaki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima taubat orang Mukmin laki-laki dan perempuan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Ibnu Abbas menjelaskan ­amanah yang dimaksudkan dalam ayat al-Quran tersebut adalah berkaitan kewajipan-kewajipan diberikan Allah kepada langit, bumi dan gunung-gunung. Jika mereka menunaikannya maka akan mendapat ganjaran, dan jika mensia-siakannya maka Allah akan menyeksa mereka. Mereka enggan menerima amanah tersebut dan menolaknya bukan kerana maksiat tetapi kerana takzim (menghormati) agama Allah dan khuatir tidak mampu untuk menunaikannya. Kemudian Allah menyerahkan tugas itu kepada Adam, maka Adam menerimanya dengan segala akibatnya.

Jika umat Islam beranggapan kuasa politik dan pentadbiran adalah satu cara untuk menikmati kehidupan yang mewah maka hancurlah sistem pemerintahan dan pentadbiran negara Islam. Perjuangan yang dilaungkan itu hanyalah propaganda untuk memewahkan diri bukan untuk menunaikan amanah rakyat dan agama.

Setiap individu yang terlibat dalam arena politik sepatutnya memahami jawatan sebagai pemerintah dan pentadbir adalah satu amanah Allah yang paling berat yang tidak mampu untuk dipikul oleh makhluk Allah lain di dunia ini. Oleh itu, muhasabah diri amat penting bagi memastikan dirinya mempunyai kelayakan untuk memimpin dan mentadbir negara. Sabda Rasulullah SAW: “Empat perkara, apabila ada padamu, maka tidak mengapa engkau kehilangan dunia: benar ucapan, menjaga amanah, akhlak yang baik, dan menjaga makanan (dari yang tidak baik).”

Perselisihan dan pertelingkahan parti-parti politik Islam semakin hari kian menjadi-jadi sehingga hilang rasa hormat menghormati dan kasih sayang sesama sendiri. Suasana begini amat digemari syaitan yang adalah musuh utama manusia yang sering mengatur strategi untuk memusnahkan anak-anak Adam terutamanya umat Islam. Syaitan amat memusuhi Adam dan anak-anaknya lantaran kekecewaannya tidak dilantik menjadi khalifah di muka bumi oleh Allah. Permusuhan ini tersemat dalam sanubari syaitan sejak Adam diciptakan oleh Allah sehingga hari kiamat.

Allah menjelaskan perkara ini dalam Surah 7 (al-A’raf): 27 yang bermaksud: “Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa mu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya auratnya.

Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak biasa melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang yang tidak beriman”.

Berdasarkan kepada penjelasan daripada al-Quran dan hadis maka setiap individu Islam yang melibatkan diri dalam arena politik bermuhasabah diri dan tepuklah dada dan tanyalah selera ke arah manakah perjuangan politik yang diperjuangkan mereka. Bersama-samalah kembali kepada panduan dan peraturan yang digariskan oleh Allah dan Rasul dalam perkara berkaitan amanah Allah di muka bumi ini.

Tags: leaders
Subscribe

Posts from This Journal “leaders” Tag

  • Reflection of current leaders

    The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming absurdly ridiculous. Of late, Malaysians are in need of someone or…

  • March 2020 is not Ides of March

    History had made a mark in Malaysia as in March 2020, the country’s eighth prime minister took over as prime minister in order to “save…

  • Reflection of our current leaders

    I refer to ' Time to reflect on what is important' dated 3 Mar 2020. The dramas played by the policy-maker of our country has now becoming…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments