kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Peristiwa perang di Sungai Perak. Perak bumi bertuah

Perak bumi bertuah

TERLALU banyak sejarah Perak yang perlu dirungkai. Kisahnya cukup panjang, malah mencecah seribu tahun.

Apabila sejarah dikaji, banyak kisah tamadun terdahulu dapat dirungkai dan seterusnya meningkatkan jati diri kita sebagai penduduk tempatan.

Itulah diperkatakan oleh Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam yang memberitahu tentang signifikan Sungai Perak dalam sejarah negeri tersebut.


MAKAM Sultan Tajul Ariffin, antara makam Sultan Perak yang terdapat di tebing Sungai Perak.

“Perak merupakan bumi bertuah. Sejarah di Perak sangat luas, panjang dan hebat yang perlu digali untuk merungkai banyak rahsia termasuklah kehilangan kesan-kesan tamadun terdahulu.

“Sebagai contoh Sungai Perak, ia merupakan tunjang utama pengangkutan orang Melayu dahulu yang menggunakan sampan atau perahu untuk bergerak.

“Malah di sepanjang sungai itu terdapat kampung-kampung yang masih wujud hingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui S2.

Tambahnya, masalah yang timbul sekarang adalah tidak ramai pihak berminat untuk menjaga dan memartabatkan sejarah Perak.

“Sebagai contoh di Sungai Perak, selain menjadi saksi kepada kewujudan kesultanan Perak, banyak lagi peristiwa yang pernah berlaku di sana.

“Sungai Perak dahulu dikatakan bersambung dengan Sungai Mekong. Justeru, kita kena kaji mengenai kesahihan itu sebab ada juga pendapat mengatakan ia boleh tembus sampai ke Laut China Selatan.

“Jadi, kita kena cari dan pelajari tentang ketamadunan terdahulu kerana itu adalah warisan kita. Warisan itu adalah tanda tamadun kita,” jelasnya.


Peristiwa perang di Sungai Perak

BANYAK khazanah sejarah terus tersimpan di Perak, namun tidak ramai pengkaji sama ada yang bergerak bebas ataupun ahli akademik berminat untuk menggalinya.

Begitu juga dengan Sungai Perak, kisahnya cukup berpengaruh. Selain menjadi laluan pengangkutan utama sejak beberapa kurun dahulu, sungai kedua terpanjang selepas Sungai Pahang itu pernah menjadi saksi kepada dua peristiwa perang yang penting, meskipun beza masanya begitu lama iaitu Perang Bisik dan Perang Bekor.

Perang Bisik atau Perang Musuh Bisik yang berlaku pada kurun ke-19 itu merupakan gerakan tentera Siam untuk menyerang Kedah.


DI tebing Sungai Perak di Kampung Bekor dikatakan mayat seorang wanita Cina terdampar.

Datuk Hashim Ismail, seorang pengkaji bebas yang mengetahui kisah tersebut memberitahu peperangan tersebut merupakan strategi genius dalam mengenal pasti dan menghadapi musuh.

Beliau berkata, antara pemimpin terlibat dalam peperangan tersebut adalah Sheikh Daud Abdullah Al-Fattani, Tunku Kudin dari Kedah dan kerajaan Siam.

“Peperangan yang berlaku merupakan pertempuran antara kerajaan Siam dan orang Islam yang bermula di Kedah, kemudian berlanjutan hingga ke Perak.

“Ketika itu, Kedah telah diserang oleh Siam atas alasan tidak membayar ufti dan membantunya memberi bekalan keperluan asas bagi menyerang Burma.

“Setelah menyerang Siam, mereka cuba menekan Perak, tetapi dengan menggunakan strategi berbeza seperti menghantar pelbagai barangan seperti kain dan sebagainya melalui Sungai Perak.

“Sultan Perak ketika itu bijak mengesan taktik tersebut telah menggunakan strategi berbisik iaitu penyebaran satu kod rahsia melalui bisikan,” katanya ketika ditemui S2 di kediamannya di Kuala Kangsar, Perak.


KAMPUNG Bekor yang terletak di Manong, Kuala Kangsar adalah lokasi tercetusnya Perang Bekor.

Beliau menambah, taktik tersebut bertujuan mengesan musuh. Jika seseorang itu terpinga-pinga mendengar kod tersebut, maka dia adalah musuh dan akan dibunuh saat itu juga.

Lebih 100 tahun kemudian, tercetus satu lagi peperangan yang dianggap penting kerana melibatkan pertelingkahan antara penduduk tempatan.

Menurut Hashim, perang yang berlaku sekitar 1940-an selepas penjajahan Jepun dan sebelum kedatangan semula Inggeris itu melibatkan rasa tidak puas hati antara penduduk kampung di Bekor, Kuala Kangsar.

“Peristiwa berdarah itu dinamakan Perang Bekor. Ia berlaku ketika serangan komunis sedang hangat. Kisahnya dicatatkan di Sungai Perak.

“Ada bermacam-macam versi tentang Perang Bekor kerana melibatkan pertelingkahan antara kaum iaitu Melayu dan Cina. Ada yang kata Cina mulakan, ada pula kata sebaliknya.


PEMANDANGAN Sungai Perak dari Makam Tok Temong yang pernah menjadi pemerintah di Hulu Perak sebelum kewujudan Kesultanan Perak

“Puncanya, seperti yang diceritakan oleh penduduk tempatan, dekat sebuah perkampungan masyarakat Melayu di tepi Sungai Perak. Orang Cina ternampak mayat seorang wanita yang disyaki hilang terdampar dekat tebing sungai di kampung tersebut.

“Jadi, mereka beranggapan anak perempuan Cina dari kampung lain di Perak yang hilang rupanya telah dibunuh dan dirogol oleh penduduk dari kampung di Bekor.

“Akibat rasa tidak puas hati dan tanpa usul periksa, mereka telah datang melalui hutan dari arah tanah tinggi dekat Bekor dan menyerang kampung orang Melayu,” jelasnya.

Beliau memberitahu, keadaan ketika itu kucar-kacir. Tiga hari tiga malam peristiwa tersebut berlanjutan.

“Saya diberitahu, keadaan masa itu sangat teruk, rumah orang kampung dibakar, perut orang dirodok sampai terburai isinya.


Perkampungan kecil di Tasik Raban ini hanya boleh dikunjungi melalui bot sahaja.

“Namun ada seorang penduduk, rumahnya terselamat dan dia kemudian membunuh semua orang yang membuat kacau sehingga keadaan kembali tenang.

“Waktu itu, mayat-mayat bergelimpangan, orang Cina membawa pulang jasad kenalan mereka ke kampung asal. Ketika itu juga, Sungai Perak mengalir merah.

“Kalau awak jumpa orang-orang tua di Kuala Kangsar dan Bekor, mereka masih ingat lagi peristiwa tersebut, macam mana takutnya penduduk ketika itu,” ujarnya.

Tags: perak, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “sejarah” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments