kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Kementerian perlu kotakan janji

SABAN tahun kita melihat berita yang memaparkan kisah kejayaan sistem pendidikan kita di peringkat nasional mahupun global. Ini satu petanda baik yang membuktikan kita berada di landasan betul ke arah melahirkan modal insan berminda kelas pertama menerusi sistem pendidikan berkualiti tinggi. Namun dalam kesibukan kita mengukir kegemilangan, ada satu perkara yang sering terlepas pandang, dianggap remeh dan kurang diberi perhatian, iaitu beban tugas guru.

Menteri Pendidikan, mahupun yang dahulu atau kini, telah berjanji bahawa beban tugas perkeranian dan pengurusan fail guru akan dikurangkan supaya fokus sepenuhnya dapat diberi kepada proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC). Tetapi malangnya, janji hanya tinggal janji. Ada sahaja program dan kursus dijalankan yang memerlukan guru-guru mengisi data atau membuat pelaksanaan di peringkat sekolah.

Tugas-tugas khas guru, terutamanya di sekolah kurang murid (SKM) pula terlalu membebankan sehingga lebih banyak masa diperuntukkan untuk menyediakan fail dan laporan demi memuaskan hati pemantau serta pegawai yang berkaitan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Secara puratanya, seorang guru di SKM biasanya memegang sekurang-kurangnya lima tugas khas dan mengendalikan fail-fail berkaitan tugas mereka. Ini belum mengambil kira tugas mengajar yang kadangkala melebihi 35 waktu seminggu.

Pencapaian akademik, kebajikan serta kemenjadian murid bukan lagi fokus utama guru-guru di sekolah. Jika adapun program yang berpaksikan akademik, tentunya program tersebut dijalankan sebagai showcase untuk ditunjukkan kepada pegawai di PPD dan JPN. Jika program seumpama ini tidak dilaksanakan, guru yang berkenaan terpaksa ‘menjawab’ kepada pegawai PPD dan JPN semasa sesi audit akademik dan dialog prestasi.

Pada dasarnya, sesi dialog prestasi bertujuan untuk berdialog bersama pegawai yang berkaitan, menyampaikan isu berbangkit berkaitan akademik dan seterusnya mencari jalan penyelesaian dengan penglibatan aktif pihak PPD. Namun, realitinya amat berbeza. Guru-guru ditempelak kerana tidak mencapai sasaran yang ditetapkan dan diarahkan supaya menjalankan pelbagai program agar sasaran tercapai.

Persoalannya, mana mungkin guru dapat merancang, melaksana dan menilai program berteraskan pencapaian murid dengan sempurna jika sering dibebani tugas perkeranian dan pengurusan fail? Apakah guru perlu berada di sekolah sepanjang minggu tanpa pulang ke rumah dan bersama keluarga demi memuaskan hati pemantau yang hanya mahukan data semata-mata?

Paling baru, semua guru diarahkan menjalankan PdPC berasaskan pembelajaran abad ke-21 (PA21). Ini merupakan pendekatan yang baik, tetapi nampaknya pihak kementerian tidak mengkaji serta mengatasi kekurangan yang wujud di sekolah sebelum memberi arahan pelaksanaan. Guru-guru diharuskan untuk merancang dan melaksanakan PdPC yang berpusatkan murid serta mengambil kira tahap serta keperluan murid secara individu. Segala aktiviti, tugasan serta kerja rumah yang diberikan pula perlu direkodkan, dibuat salinan dan dimasukkan dalam fail untuk pemantauan. Ini belum menyentuh soal penyediaan dan keceriaan kelas yang kononnya perlu mengikut garis panduan PA21. Guru kelas terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk memastikan kelas seliaan mereka dapat memuaskan hati pemantau yang bijak berkata-kata dan memberi komen.

Bukankah ini menambahkan lagi beban tugas guru? Apakah guru-guru sebelum ini tidak melahirkan murid yang cemerlang? Apabila terus dibebani tugas-tugas seumpama ini, moral serta kesediaan guru-guru untuk memberi komitmen sudah tentunya terjejas.

Zaman ministry knows best sudah lama berakhir. Pendekatan top down sudah tidak lagi relevan memandangkan setiap sekolah mempunyai demografi, latar belakang serta organisasi berbeza. Sudah tiba masanya pihak kementerian, JPN serta PPD berhenti bersandiwara dan fokus ke arah mengurangkan beban tugas guru. Berikan autonomi kepada sekolah, terutamanya SKM, di mana tenaga pengajar sangat terhad tetapi masih perlu beroperasi seperti sekolah yang mempunyai 50 guru; untuk menentukan skop tugas serta hala tuju berteraskan potensi serta kekurangan dalam organisasi.

Pegawai di kementerian, JPN dan PPD pula perlu membimbing guru dan cuba menyelami permasalahan yang diutarakan; bukan sekadar memantau dan mencari salah. Pembantu guru pula sudah lama dicanangkan tetapi hanya beberapa sekolah terpilih sahaja yang bernasib baik. Semua yang dibincangkan di atas mungkin kelihatan seperti keluhan serta tohmahan tidak berasas, tetapi inilah realiti pahit yang perlu dihadapi golongan bergelar guru setiap hari.

Tags: guru, jpn
Subscribe

Posts from This Journal “guru” Tag

  • Guru BDR

    Terpandang akan perkongsian sekumpulan bekas pelajar yang baru sahaja menamatkan pengajian 5 tahun di IPT jurusan pendidikan perguruan.…

  • Hari Guru: Kenangan mengajar pelajar dewasa

    Sama seperti belajar, mengajar adalah merupakan salah satu kerja dan usaha keras bahkan mungkin lebih sukar. Walaupun mengajar anak kecil…

  • Tidak mudah mengajar pelajar dewasa

    Mengajar pelajar dewasa boleh menjadi sangat bermanfaat, tetapi juga sangat mencabar. Kita tidak boleh lupa bahawa kita berurusan dengan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments