kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Misteri kerajaan Melayu Kedah Tua buka penemuan baharu arkeologi

Kedah Tua buka penemuan baharu arkeologi

SUMBER-SUMBER Arab yang memberi gambaran mengenai Kedah Tua atau disebut Kalah, dapat ditarikhkan dari kurun kesembilan hingga ke-14 Ma­sihi. Akhbār a-īn wal-hind (850 Masihi), Ibnu Khurdādhbih (850 Masihi), Abū Zaid (916 Masihi), Abū Dulaf (940 Masihi), Muj’am Al-Buldān (kurun ke-11 Masihi), Marāid al-iilā (kurun ke-11 Masihi), Al-Mushtarik (kurun ke-11 Masihi) dan Abūl Fidā (1331 Masihi).

Dalam penulisan Akhbār a-īn wal-hind, Kalah-Bar dikatakan sebahagian empayar al-Zabaj, iaitu Srivijaya dan kesemua rakyatnya tertakluk di bawah pemerintahan raja empayar tersebut. Di Kalah-Bar, kesemua penduduknya tidak kira golongan bangsawan mahupun rakyat biasa memakai futah, atau kain sarung dan mendapat bekalan air perigi. Penulisan Ibnu Khurdādhbih menyatakan perjalanan dari Langabalus (Barus) adalah enam hari dan Kalah-Bar ditakluk oleh Jabat-a-Hind. Kalah-Bar turut dikatakan mempunyai lombong timah (besi?).


KERJA-KERJA mengorek tanah bagi mencari bukti kewujudan kerajaan Kedah Tua dijalankan di Kompleks Sungai Batu, Kedah, pada 2014. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Penulisan Abū Zaid menyatakan pelabuhan Kalah adalah pusat pe­ngumpulan dan pengedaran komo­diti seperti kapur barus, kayu cen­dana, gading gajah, timah, rempah ratus dan lain-lain, serta menjadi tempat tumpuan pedagang dari Oman. Abū Dulaf pula menyebut Kalah satu-satunya pelabuhan pesisir Selat Melaka yang dihubungkan terus dengan India. Bagi pelayar dalam perjalanan ke India yang tidak singgah terlebih dahulu di Kalah, risiko untuk kapal mereka karam tinggi kerana selepas Kalah, tiada lagi pelabuhan persinggahan di Teluk Bengal.

Di Kalah, wujud tembok-tembok, taman yang cantik, serta lombong besi dan timah. Muj’am al-Buldān menyatakan Kalah adalah kota penghujung India yang kaya dengan kayu aloe dan mi­nyak wangi, terletak di tengah laluan perdagangan antara Oman dan China. Maklumat sama diulang dalam Marāid Al-Iilā dan Al-Mushtarik. Abū’l Fidā menyatakan Kalah terletak berdekatan Laut Hindi dan adalah pelabuhan untuk kawasan dari China hingga ke Oman. Berdasarkan gambaran diberikan sumber Arab itu, Kalah-Bar dianggap sejenis tempat yang memiliki ciri-ciri keluar masuk kapal dari Timur dan Barat dan pusat pengumpulan dan pengedaran komoditi se­perti besi dan timah.

Sehingga kini, diketahui wujud dua sumber utama China yang menyebut tentang Kedah Tua, iaitu catatan Weng-Hsien Tung-Pao dan I-Tsing. Penulisan Weng-Hsien Tung-Pao merekodkan bahawa Chieh-Cha telah menghantar ufti ke China pada tahun 638 Masihi. Kedah Tua disebut oleh pelayar Cina sebagai Kiet-Cha, Ki-To dan Chi-To. Bagaima­napun, penulisan pengembara Cina paling ter­kenal yang menceritakan tentang Kedah Tua ialah penulisan I-Ching, sekitar 671 Masihi. Dalam penulisan itu, Kedah Tua disebut Chieh-Cha.

Dinyatakan bahawa beliau te­lah singgah di Kedah Tua dalam perjalanan pergi dan balik ke Nalanda, India. Setiap kali singgah di Kedah Tua, beliau akan tinggal beberapa minggu. Ini menunjukkan yang Kedah Tua pada masa itu berfungsi sebagai pelabuhan persinggahan, dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pengembara. Penulisan Nagarakrtagama (kurun ke-14 Masihi) yang menceritakan tentang bermulanya hegemoni Ma­japahit di Nusantara telah menyenaraikan Kedah Tua sebagai jajahannya. Kedah Tua disebut se­bagai “Keda” dan “Jere”. Kemu­ngkinan besar “Keda” merujuk ke­pada kawasan penempatan di Lembah Sungai Kedah manakala “Jere” pula meru­juk penempatan di lembah Sungai Merbok-Muda.

Sumber sejarah yang terdiri da­ripada sumber India, Arab, China dan Jawa memberikan gambaran asas mengenai peranan Kedah Tua serta kepentingannya kepada para pedagang luar. Kebanyakan gambaran yang diberikan dalam sumber-sumber bertulis itu dapat dibuktikan dengan penemuan ar­keologi. Antaranya keberadaan in­dustri besi, kewujudan kegiatan perdagangan yang pesat dan komuniti pedagang a­sing, serta bentuk komoditi yang wujud. Di samping itu, rekod-rekod tersebut juga menekankan kepentingan Kedah Tua dalam kerangka politik dan ekonomi serantau.

Kedah Tua memiliki keunikan tersendiri berbanding kerajaan-kerajaan pra-Melaka yang lain di Semenanjung Malaysia. Keistimewaan Kedah Tua adalah, ia wujud dan berfungsi sebagai pusat perdagangan antarabangsa secara berterusan dari kurun kedua Sebelum Masihi hingga kurun ke-14 Masihi. Di samping itu, Kedah Tua satu-satunya kota pelabuhan awal yang memiliki penemuan arkeologi paling banyak di Semenanjung Tanah Melayu dan memiliki sumber eksportnya yang tersendiri. Di samping itu, rekod-rekod India memberi paling banyak tumpuan terhadap Kedah berbanding kerajaan lain di Kepulauan Melayu.

Situasi ini jauh berbeza berbanding kerajaan-kerajaan awal Melayu yang lain se­perti Ch’ih-T’u, Gangga Negara, Tan-Tan, Ko-Lo dan Lo-Yueh. Kota-kota tersebut cuma wujud dalam jangka masa pendek dengan jumlah pene­muan arkeologi relatif terhad. Fenomena ini berkait rapat dengan gabungan faktor keduduk­an geostrategik Kedah Tua, muka bumi dan kekayaan sumber alam. Lokasi Kedah Tua di pintu masuk Selat Melaka telah menghubungkannya dengan pelabuhan besar India seperti Kaveripatnam, Simhaladvipa dan Tamralipti.

Berdasarkan profil tiupan angin monsun Laut Hindi-Laut China Selatan, dari April hingga Oktober, angin monsun akan membawa kapal dari Teluk Bengal yang dalam perjalanan menu­ju Selat Melaka ke pesisir pantai Kedah Tua. Dari segi geografi pula, sebelum kurun ke-14 Masihi, Kedah Tua memiliki sebuah teluk yang luas, dalam dan terlin­dung, berfungsi sebagai pelabuhan semula jadi, membolehkan kapal-kapal berlabuh dengan selamat. Ketika itu juga, Gunung Jerai adalah sebuah tanjung yang menganjur terus ke laut dan berfungsi sebagai rumah api semula jadi untuk panduan kapal-kapal.

Dari segi sumber bumi, pelabuhan Kedah Tua amat kaya dengan sumber alam seperti damar, kayu-kayan, makanan dan air tawar. Kewujudan semua bahan itu penting sebagai faktor tarikan awal kepada para pengembara untuk singgah membaiki kapal dan mendapatkan air bersih dan makanan. Komoditi tersebut bo­leh didapati melalui peranan Sungai Muda dan Sungai Bujang yang menghubungkan kawasan pesisir dengan pedalaman yang kaya dengan sumber hutan. Tiga faktor utama tersebut memberi keistimewaan kepada Kedah Tua sebagai pelabuhan terpenting di Semenanjung Ta­nah Melayu.

Penemuan arkeologi ter­baru di Kompleks Sungai Batu telah menzahirkan buk­ti baharu menge­nai perkara yang meneruskan keberlangsungan pelabuhan Kedah Tua sebagai pusat entrepôt selama 1700 tahun. Pada masa lampau, logam besi salah satu eksport yang menguntungkan, terutamanya untuk pasaran India dan Asia Barat, seterusnya membawa kekayaan dan kepen­tingan pelabuhan Kedah Tua. Pentarikhan radiokarbon di tapak peleburan besi pada 535 Sebelum Masihi pula me­nunjukkan bahawa teknologi besi Tamadun Kedah Tua telah pun bermula sezaman dengan Tamadun Dong-Son di Vietnam yang menghasilkan alat-alat gangsa untuk dieksport.

Taburan penemuan seramik-seramik asing, tembikar tanah dan candi serta arca Hindu-Buddha di sekitar Kampung Sireh, Simpor Tambang, Bukit Batu Pahat, Pengkalan Bujang dan Kampung Sungai Mas menunjukkan bahawa kemungkinan wujud pembahagian wilayah/kawasan di Kedah Tua untuk penempatan dan per­dagangan. Rekod sejarah juga menunjukkan bahawa selain daripada eksport besi, sumber hutan juga antara eksport utama Kedah Tua. Kepelbagaian dari segi komoditi, kompleksiti penempatan, populasi dan kebudayaan, serta hubungan dengan dunia luar Kedah Tua telah membuka seribu satu kemungkinan untuk pelbagai bentuk penemuan baharu arkeo­logi di masa hadapan.


Misteri kerajaan Melayu Kedah Tua



PENEMUAN arkeologi di Kompleks Sungai Batu, Kedah, telah menzahirkan bukti baharu mengenai kedudukan Kedah Tua sebagai salah satu tamadun terawal Melayu di Asia Tenggara. GAMBAR HIASAN/BERNAMA
SEBELUM kemunculan Kesultanan Melayu Melaka pada penghujung kurun ke-14 Masihi, telah wujud kerajaan awal di Semenanjung Tanah Melayu. Kerajaan-kerajaan tersebut berkembang sebagai kota pelabuhan bebas di sekitar kawasan lembah sungai utama semenanjung, kebanyakannya menjalinkan hubungan perdagangan dan diplomatik dengan China. Nama dan gambaran mengenai kerajaan tersebut diketahui berdasarkan rekod Cina, India dan Arab. Contohnya, kerajaan Ch’ih-T’u (Tanah Merah), Chi-La-Tan (Kelantan), Ting-Chia-Lu (Terengganu), Tan-Tan (Besut), Ko-Lo (Muar), Langkasuka (Pattani) dan Fo-Lo-An (Kuala Berang). Satu daripadanya merupakan kerajaan Kedah Tua. Keberadaannya dibuktikan dengan pelbagai penemuan arkeologi di Lembah Bujang yang telah menarik minat ramai pengkaji.

Walaupun umum mengetahui kedudukan Kedah Tua sebagai salah satu kerajaan dan tamadun terawal Melayu di Asia Tenggara, pelbagai misteri mengenai masyarakat purba tersebut masih belum terungkai, terutamanya dari aspek taburan penempatan, bentuk kesenian dan kebudayaan, keagamaan dan struktur pentadbiran.

Dengan penemuan terkini di Kompleks Arkeologi Sungai Batu oleh kumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), telah timbul pelbagai tafsiran dan persoalan baharu mengenai Kedah Tua. Antaranya tarikh bermulanya peranan Kedah Tua sebagai sebuah pelabuhan, kewujudan teknologi dan industri besi, serta jumlah po­pulasi masyarakatnya.

Perkembangan teknologi maklumat dan penggunaan media sosial telah memicu minat masyarakat Malaysia terhadap sejarah Kedah Tua. Hal ini dapat dilihat pada kese­daran umum yang wujud serta perhatian yang diberikan oleh orang awam terhadap beberapa isu penting dalam penemuan terbaru arkeologi di Lembah Bujang. Di samping itu, timbul pelbagai blog sejarah, yang memberi halwa mata kepada para peminat yang dahagakan ilmu. Ini perkembangan yang amat baik, lebih-lebih lagi apabila wujud minat masyarakat terhadap kepentingan untuk mendalami masa lampau nenek moyang kita.

Sehingga kini, wujud pelbagai bentuk persepsi masyarakat mengenai Kedah Tua, kebanyak­an melihatnya sebagai sebuah kerajaan Hindu-Buddha setara dengan kerajaan purba Asia Tenggara yang lain seperti Angkor, Champa, Mataram Kuno, Srivijaya dan Majapahit. Tetapi, perlu difahami bahawa Kedah Tua memiliki ciri ekonomi, sosiopolitik dan sosiobudaya yang jauh berbeza. Kebanyakan kerajaan besar Hindu-Buddha amat kaya dengan pelbagai bentuk prasasti (batu bersurat) dan manuskrip yang mampu memberi gambaran jelas mengenai aspek perundangan, birokrasi dan raja-raja yang memerintah.

Di samping itu, kerajaan-kerajaan Angkor, Champa, Mataram Kuno, Srivijaya dan Majapahit memiliki bukti senibina dan seniarca yang menjadi identiti khas nilai estetika mereka tetapi, sumber sebegini di Kedah Tua adalah amat langka.

Hal ini menyebabkan tafsiran berkenaan sistem pemerintahan dan perundangan serta salasilah raja-raja yang memerintah Kedah Tua perlu didasarkan kepada sumber sastera-sejarah tradisio­nal tempatan. Karya agung seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Hikayat Seri Kelantan boleh memberi gambaran jelas me­ngenai salasilah raja-raja, persekitaran politik, sosiobudaya dan pengislaman Kedah. Bagaimanapun, kebanyakan kisah tersebut masih belum boleh dirujuk silang de­ngan data epigrafi, rekod ­asing mahupun data arkeologi yang ditemui setakat ini.

Justeru, banyak misteri me­ngenai masa lampau Kedah Tua masih belum terungkai, dan sehingga kini masih menjadi bahan perdebatan oleh para cendekiawan. Walaupun wujud banyak kekaburan dalam pengetahuan kita mengenai Kedah Tua, satu perkara adalah pasti: peranan Kedah Tua sebagai salah satu pusat perda­gangan, industri dan kerajaan awal Melayu yang memiliki kedudukan strategik dalam percaturan geopolitik serantau pada ketika itu. Demi mendalami sejarah Kedah Tua, beberapa perkara asas mengenai kajian ini perlu difahami.

Kedah Tua dapat ditakrifkan sebagai gabungan sekumpulan penempatan pesisir pantai dan pinggir sungai yang terletak di Lembah Bujang dan berfungsi sebagai pusat pertukaran komoditi dengan struktur berkerajaan. Pe­nempatan-penempatan ini dihuni oleh masyarakat pribumi Melayu, dan juga komuniti pedagang yang tinggal dalam jangka masa pendek sementara me­nunggu pertukaran angin monsun. Perkara yang membezakan Kedah Tua dengan kerajaan Kedah yang wujud hingga kini adalah dari segi penzamanan, pola penempatan dan kegiatan ekonominya.

Kedah Tua mula wujud dan dikenali masyarakat asing sejak kurun kedua Sebelum Masihi dan posisinya sebagai pusat entrepôt berterusan sehingga kurun ke-14 Masihi. Antara kurun ke-14 hingga ke-15 Masihi memperlihatkan zaman peralihan di bawah dominasi kerajaan Majapahit. Perkembangannya menjadi sebuah kesultanan dan kerajaan dengan struktur yang kita kenali sekarang kemungkinan bermula sekitar pertengahan kurun ke-15 Masihi, sezaman dengan perkembangan empayar Melaka. Lembah Bujang pula satu terminologi yang diperkenalkan pada 1970-an untuk merujuk kepada kawasan di sekitar lembah Sungai Merbok-Muda tempat ditemui jumpaan arkeologi seperti monumen, seramik, arca dan prasasti yang dapat dikaitkan masyarakat Kedah Tua.

Kini, Lembah Bujang me­rangkumi kawasan dari Sungai Sala, lereng Gunung Jerai, lembah Sungai Merbok-Muda, Jeniang sehingga ke Cheruk Tokkun. Penemuan-penemuan arkeologi di Lembah Bujang wujud dalam bentuk kluster yang tertumpu di lokasi-lokasi strategik di pesisiran pantai purba Kedah Tua. Setiap kluster tersebut mewakili satu penempatan purba, sama ada masyarakat pedagang ataupun penduduk tempatan. Contoh pe­nempatan tersebut adalah Pengkalan Bujang, Kampung Sungai Mas, Kampung Sireh, Simpor Tambang, dan Kompleks Sungai Batu, setiap satunya memiliki jangka masa perkembangan yang berbeza. Kajian terkini mendapati pada masa-masa tertentu, penempatan yang terletak di lokasi berbeza tersebut menjalankan transaksi perdaga­ngan secara berasingan dan kemungkinannya memperdagangkan komoditi yang berbeza.

Kekayaan pelabuhan Kedah Tua digambarkan dalam teks-teks asing, terutamanya dari India. Sumber tersebut terdiri daripada syair-syair Tamil, sastera Sanskrit, Purana, sastera Prakrit dan sumber Prasasti Chola. Syair Sillappadikaram (kurun kedua Masihi) menyatakan bahawa wu­jud hubungan dagang antara Kedah (Kidaravan) dengan Madurai, manakala syair Pattinappalai (kurun kedua Masihi) pula menyebut bahawa komoditi dari Kedah (Kazhagam) telah diperdagangkan di Kaveripattinam. Syair Paruŋkathai pula menyatakan bahawa Kaṭāraththu irumpu yang bermakna “besi dari Kaṭāram” merupakan salah satu bahan yang digunakan untuk membuat kereta kuda Puteri Vācavathaththai. Kaṭāram diketahui merujuk kepada Kedah Tua.

Karya Sanskrit iaitu Kaumudimahotsava dan Kathasaritsagara yang dikarang sekitar kurun kelapan Masihi adalah sastera epik yang sering menggunakan Kedah sebagai latar dalam plot ceritanya. Kedah yang disebut sebagai Katahanagara, Katahadvipa atau Kataha seringkali digambarkan sebagai pelabuhan penting yang secara berterusan dilawati oleh pedagang dari India. Dalam penulisan Prakrit (kurun ketujuh Masihi), Kedah Tua disebut sebagai Kadahadipa, iaitu sebuah pelabuhan yang terletak di seberang laut dan dihubungkan dengan pelabuhan Tamralipti.

Dalam penulisan Agni Purana, telah disebut tentang satu puncak gunung yang dikenali sebagai Anda Kataha (Gunung Jerai?). Dalam Prasasti Kepingan Leiden Besar (kurun ke-11 Masihi) yang di­tulis dalam bahasa Sanskrit, peme­rintah Srivijaya pada mulanya di­sebut sebagai “Śriviṣayādhipatinā Kaṭah-ādhipatyam ātavantā” da­lam bahasa Sanskrit yang bermaksud “Pemerintah Srivijaya dan yang menjalankan pemerintahan di Kedah”.

Baginda juga telah diberi gelaran “Kaṭah-ādhipates” yang bermaksud “Pemerintah Kedah”. Pada bahagian bahasa Tamil pula, Raja Suvarnabhumi disebut sebagai “Kiḍāratta-araiyan” ataupun “Kaḍāratta-araiyan”, masing-ma­sing bermaksud Raja Kidara dan Raja Kadara, kedua-duanya membawa makna Raja Kedah. Prasasti Kepingan Leiden Kecil (kurun ke-11 Masihi) pula menceritakan tentang permintaan Raja Kadaram untuk memperbaharui geran ta­nah bagi kuil Culamanivarmavihara yang telah dinamakan semula sebagai Rājarājapperuṃballi. Pentarikhan sumber-sumber syair Tamil, sastera Sanskrit-Prakrit dan prasasti India tersebut menunjukkan bahawa selama sekurang-kurangnya satu milenium wujud perhubungan berterusan antara India dan Kedah Tua.

Tags: kerajaan, sejarah
Subscribe

Posts from This Journal “kerajaan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments