kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mahal tak dapat dibeli, murah tak dapat diminta, Banyak kejutan berlaku

Banyak kejutan berlaku

GANDINGAN 
M. Jegathesan dan pengalaman pemenang pingat gangsa 400 meter Sukan Asia Tokyo 1958, Rahim Ahmad menjadikan kuartet 4x400 meter Malaya mengungguli emas Sukan SEA Rangoon 1961.

Selain Jega, Malaya turut meraih emas lempar cakera menerusi Danapal Naidu dengan catatan 43.59 meter manakala lompatan sejauh 5.1 meter membolehkan Maureen Ann Lee mempertahankan emas lompat jauh menewaskan Evelyn Lee dari Singapura.

GHANI MINHAT (kanan) membantu Malaya memenangi pingat emas bola sepak.


Kejutan terbesar temasya ini berlaku di arena angkat berat apabila naib juara Olimpik 1960, Tan Howe Liang dari Singapura tewas kepada atlet tuan rumah Pe Aye dalam kategori middleweight.

Pe Aye yang lebih ringan, meraih emas walaupun kedua-duanya mengumpul angkatan seberat 837 paun.

Malaya menukar gangsa di Bangkok 1959 kali ini kepada kilauan emas bola sepak - yang pertama dalam Sukan SEAP.

Sekalipun terpaksa membayar harga mahal kerana ramai tonggak tercedera ketika seri 2-2 dengan Thailand, mereka bangkit untuk menewaskan Burma 2-0 dalam perlawanan akhir.

EVELYN LEE turut menyertai acara balapan selain padang.

Barisan juara meliputi mendiang Edwin Dutton, Allahyarham Datuk Mahd. Yusoff Abu Bakar, mendiang Sexton Lourdes, Yee Sin Choy, Allahyarham Abdullah Yeop Noordin dan Allahyarham Ahmad Nazari Min Zohari.

Lain-lain termasuk Boey Cheong Liam, Hoo Yoon Meng, mendiang M. Govindarajoo, Ong Kim Leng, Robert Choe, Datuk M. Kuppan, Harun Jusoh, Mahat Ambu dan Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat.


Mahal tak dapat dibeli, murah tak dapat diminta

MUNGKIN generasi sekarang lebih mengenali Rayzam Shah Wan Sofian atau Nur Herman Majid. Begitu pun nama (Allahyarham) Ishtiaq Mubarak bukan sesuatu yang asing bagi peminat olahraga tanah air.

ISHTIAQ MUBARAK pada zaman kegemilangan sebagai atlet negara

Menyelak kembali lipatan sejarah, Allahyarham boleh diibaratkan sebagai ‘mahal tak dapat dibeli, murah tak dapat diminta’, iaitu bintang yang sukar diperoleh susulan kejayaan gemilang dalam 110 meter lari berpagar sekitar 1970-an.

Beliau berjaya melangkah ke Sukan Olimpik tiga kali iaitu pada 1968 di Mexico, 1972 Munich dan paling indah adalah di Montreal 1976.

Ini kerana pada temasya edisi ke-19 itu, Allahyarham berjaya melangkah ke separuh akhir, sekali gus menjadikannya atlet olahraga kedua Malaysia selepas Tan Sri Dr. M. Jegathesan melakukannya pada Olimpik 1964 di Tokyo.

Sehingga kini belum ada atlet olahraga negara berupaya me­nyaingi pencapaian Ishtiaq dalam 110m lari berpagar.

Bagaimanapun, sebelum melakar kejayaan itu, Ishtiaq meniti episod hitam yang hampir meragut karier­nya.


ISHTIAQ MUBARAK

Enam tahun sebelum ke O­limpik Montreal, dia terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur, yang menyaksikan penunggang­nya terbunuh, manakala Allahyarham sebagai pembonceng cedera parah.

“Saya masih ingat arwah pernah mengalami kemalangan motosikal sekitar tahun 70-an sehingga terpaksa dirawat selama beberapa bulan di hospital.

“Walaupun belum pulih sepenuhnya, dia sudah mula menjalani latihan bersungguh-sungguh. Arwah juga seorang yang berdedikasi dalam sukan,” kata Jegathesan, yang ber­aksi bersama Ishtiaq pada O­limpik 1968.

Doktor yang merawat Ishtiaq memberitahunya dia perlu melupakan karier sebagai atlet ekoran kecederaan serius pada tulang pinggul dan rahang muka akibat kemalangan itu.

Keadaan tersebut membuatkan Allahyarham nyaris meng­angkat bendera putih, namun darah ‘pejuang’ yang mengalir dalam tubuhnya menjadikan dia berani berdepan cabaran.

Selain pencapaian di Olimpik, Ishtiaq juga pernah mengaut emas Sukan SEA (dulu Sukan SEAP) pada 1969, 1971 (rekod baharu temasya 14.4 saat), 1973 dan 1977.

Menariknya, Ishtiaq tidak memulakan karier dari Sukan SEA seperti atlet lain, sebaliknya bermula dengan Sukan Asia 1966 di Bangkok, yang mana dia meraih gangsa. Lapan tahun kemudian Allahyarham merangkul perak Sukan Asia di Iran.

Selain itu, rekod kebangsaan 14.08s yang diciptanya juga kekal selama 15 tahun sebelum dipe­cahkan oleh Nur Herman.

Sumbangan Ishtiaq semasa hayatnya bukan sekadar meraih pingat Sukan Asia, Kejohanan Asia dan Sukan SEA, malah beliau turut me­nyumbang keringat sebagai jurulatih kebangsaan sehingga 2012.

Bagaimanapun, tanggal 9 Ogos 2013, negara digemparkan de­ngan pemergian legenda sukan olahraga tanah air itu.

Ishtiaq meninggal dunia pada usia 65 tahun di rumahnya di Hulu Kelang pada pukul 9.55 pagi selepas terjatuh di bilik air dan mengalami kecede­raan kepala.

Tags: athletics, bolasepak, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “sukan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments