kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Thailand bantah sepak raga, Burma merajuk; Kali pertama di Kuala Lumpur

Kali pertama di Kuala Lumpur

SUKAN SEA Ketiga pada 1963 tidak menjadi kenyataan gara-gara masalah pergolakan dalaman tuan rumah yang asal iaitu Kemboja dan perbalahannya dengan Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF).

Giliran Kemboja sebagai tuan rumah sepatutnya dilaksanakan menurut susunan abjad pangkal negara-negara anggota Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) selepas Burma (1961).



MAJLIS pembukaan Sukan SEA 1965 di Stadium Merdeka

Apabila hak tuan rumah itu cuba diserah kepada Laos pada 1965, mereka turut menolaknya atas alasan kewa­ngan dan mujurlah Malaysia tampil sebagai pengganti.



NG JOO PONG memenangi pingat perak acara 4,000 meter kejar-mengejar individu.

Sebanyak 1,300 atlet dan pegawai hadir di Kuala Lumpur sepanjang temasya edisi ketiga dari 14 hingga 21 Disember 1965 yang mempertandingkan 14 jenis sukan.

Turut tersenarai buat kali pertama ialah sepak takraw. Tuan rumah muncul juara sulung liga sepusingan acara berpasukan dengan menewaskan Thailand 2-1, Laos 3-0 dan Singapura.

Ikrar Sukan SEAP dibacakan oleh Mudalifah Yusof, atlet lompat tinggi dan wanita pertama yang mendapat penghormatan itu.

Pemenang pingat gangsa 400 meter Sukan Asia Tokyo 1958 dan atlet pertama mencatat bawah 50 saat, Rahim Ahmad pula diberi penghormatan untuk menyalakan obor temasya.


Thailand bantah sepak raga, Burma merajuk

KEMASUKAN sepak takraw (atau mulanya sepak raga) ke dalam Sukan SEAP Ketiga diperdebatkan dalam kalangan pegawai Malaysia, Singapura, Thailand, Burma dan Laos ketika mesyuarat Jawatankuasa Pengelola temasya di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 18 Disember 1965.

MOHD. YUSSOF LATIFF
MOHD. YUSSOF LATIFF

Wakil Malaysia dan Singapura mahu menggunakan nama sepak raga sementara wakil Thailand, Burma dan Laos berkeras membantah dengan meminta ditambah perkataan takraw (bola rotan) kerana mendakwa sukan itu turut berasal dari negara mereka.

Sukan itu dikatakan mirip atau turut dikenali dengan nama lain seperti kator di Laos, chinlone di Burma, sipa di Filipina dan rago di Indonesia. Thailand ketika itu dikatakan telah memainkan takraw dengan gelung yang turut dipanggil hoop atau ring takraw yang juga mirip acara sepak raga bulatan.

Setelah bertolak ansur, jawatankuasa itu sebulat suara bersetuju mencantumkan perkataan sepak (Melayu) dan takraw (Thailand) untuk menjadikannya sepaktakraw (Dewan Bahasa dan Pustaka menetapkan ejaan sepak takraw dipisahkan).

Empat negara anggota Persekutuan Sukan SEAP bersetuju mengambil bahagian iaitu Malaysia, Singapura, Thailand dan Laos tetapi Burma (kini Myanmar) enggan menyertai kerana nama cadangannya, chinlone tidak diterima.

Setiausaha Agung pertama Persekutuan Sepakraga Tanah Melayu (PSTM atau kini Persatuan Sepak Takraw Malaysia - PSM), Tan Sri Yussof Latiff berkata, walaupun selaku pengasas sepak takraw, Malaysia lebih rela beralah dalam menggugurkan satu perkataan Melayu, raga dengan harapan permainan ini lebih cepat dikembangkan.

Bukan setakat nama tetapi Malaysia yang menjadi tuan rumah ketika kemasukan kali pertama sepak takraw ke Sukan SEAP sanggup berkorban dengan memberikan penghormatan kepada Thailand menentang Laos dalam aksi pembukaan.

Justeru perlawanan rasmi sebenar pada 20 Disember 1965 di Stadium Negara, Kuala Lumpur itu boleh diiktiraf sebagai yang pertama dilangsungkan di peringkat antarabangsa dengan Thailand menewaskan Laos 3-0.


BARISAN skuad sepak takraw negara yang beraksi pada Sukan SEAP 1965 di Kuala Lumpur.

Malaysia hanya memulakan persaingan merebut emas sulung sepak takraw dengan menentang Thailand sehari kemudian (21 Disember 1965) sekali gus mencatat perlawanan antarabangsa pertamanya.

Membariskan regu pertama yang terdiri daripada Abd. Rahman Md. Noor, Hussain Hashim, Amir Shaari, Malaysia tidak menghadapi masalah menewaskan Thailand 15-2, 15-9 bagi mendahului 1-0.

Namun Thailand mencipta kejutan dalam regu kedua apabila menundukkan regu Malaysia - Bidin Md. Noor, Kassim Bakar dan Ismoon Bajuri 18-16, 16-18, 15-7 untuk kedudukan 1-1.

Menurunkan regu Said Md. Hassan, Md. Noor Osman dan Ahmad Mat Saman, Malaysia bagaimanapun memastikan emas dalam genggaman dengan kemenangan 2-1 setelah menewaskan Thailand 15-3, 15-8.

Malaysia juga mudah membenam Laos 3-0 tetapi Thailand menunjukkan peningkatan dengan mengatasi Singapura, pasukan yang jauh lebih berpengalaman 2-1 untuk menyambar pingat perak.

Singapura kempunan pingat gangsa kerana begitu kecewa dengan kekalahan mengejut itu, dan mereka lebih rela memberi kemenangan percuma kepada Malaysia yang menanti dalam sesi kedua. Pingat itu kemudian menjadi milik Laos.

Tags: sports, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “sukan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments