Malaysia sepatutnya mampu bergelar naib juara Sukan SEAP Bangkok 1967 ekoran kecemerlangan skuad olahraganya yang mengumpul 18 daripada 23 pingat emas keseluruhan di belakang tuan rumah, Thailand.
Kekurangan lima emas lagi, yang jika dapat ditampung dengan sumbangan sukan lain, sebaliknya meletakkan Malaysia di tangga ketiga di belakang Singapura yang mengumpul 28 emas.
Namun olahraga benar-benar ibarat lombong emas Malaysia ketika itu dengan R. Subramaniam menjadi pemenang terbanyak menerusi acara 800 meter (1 minit, 51.5 saat), 1,500 meter (3:59.6 saat) dan 5,000 meter (15 minit 33.2.saat).
G. Rajalingam juga menceriakan kem Malaysia apabila merangkul emas berganda pecut 100 dan 200m, kedua-duanya dengan mengecewakan ayam tambatan Singapura, C. Kunalan dengan catatan 10.5 dan 21.3s.
Dia juga menganggotai kuartet juara 4x400m (3:13.7s) bersama Zambrose Rahman, A.S. Nathan dan A. Victor, sementara kuartet Singapura diketuai Kunalan hampa di anak tangga ketiga di belakang Thailand.
Larian emas Rajalingam diikuti oleh Datuk M. Rajamani yang mengungguli acara 400 dan 800 serta 4x100m wanita yang menggandingkannya dengan Cheryl Dorall, Jackie Kleinman dan Fazillah Ahmad.
Rajamani jelas bukan tandingan buat Noreen Pein apabila mencatat 58.2s berbanding pelari Burma itu, 62.3s dalam 400m dan rakan senegara Lee Nyuk Moi, 62.5s.
Rajamani turut menewaskan kedua-dua lawan dari Thailand, Somneok Yoopyong dan Daranee Ratanabamroong untuk memenangi emas 800m dengan catatan 2:27.4s.
Menerusi catatan 12.5s, Cheryl pula memastikan mahkota Ratu Pecut Asia Tenggara miliknya dan Malaysia yang kedua selepas Carmen Koelmeyer melakukannya juga di Bangkok pada 1959.
Lain-lain penyumbang pingat emas ialah Victor (400m), Nathan (400m berpagar), Dilbagh Singh Kler (3,000m berhalangan), Zainal Salleh (lompat tinggi), Allahyarham Kamaruddin Maidin (lompat jauh), Nashatar Singh Sidhu (rejam lembing dan lontar peluru) serta Danapal Naidu dalam saingan lempar cakera.
MALAYSIA begitu kuat dalam acara olahraga ketika Sukan SEAP 1967 manakala R. Subramaniam begitu menonjol
dalam acara lari jarak sederhana yang menyaksikan
dia memenangi tiga pingat emas. Bagaimanapun, kegagalan dalam sukan lain menyaksikan kontinjen Malaysia sekadar menamatkan persaingan
dengan menduduki tempat ketiga keseluruhan.
Raja Bhumibol, Puteri Obolratana menang emas
Kejaguhan Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej terserlah dalam acara pelayaran.
Melayari perahu TH27, baginda berkongsi pingat emas OK Class bersama puterinya, Ubolratana.
Presiden Jawatankuasa Pengelola temasya, Ketua Marsyal Udara Dawee Chullaspya turut memenangi emas pelayaran yang berlangsung di pantai Pattaya dalam acara Flying Dutchman.
Sementara itu, ‘Hercules’ tuan rumah, Chaiya Sukchinda menguasai kategori flyweight dalam saingan angkat berat pada penampilan Sukan SEAP keempat berturut-turut dengan angkatan 295 kilogram.
Turut bergelar wira tuan rumah ialah Preeda Chullamongkol yang membolot tujuh emas berbasikal manakala perenang Singapura, Patricia Chan, 13, kian menonjol sehingga digelar ‘Gadis Ajaib’ kerana mengumpul 10 emas.
Pelari Malaysia, R. Subramaniam pula merangkul emas 800 dan 1,500 meter dengan catatan 1:51.5 dan 3:59.6 saat sementara emas bola sepak milik Burma selepas menewaskan Vietnam Selatan 2-1.
Thailand mengejutkan Malaysia 2-1 untuk merampas emas sepak takraw, namun kejayaan itu dibayangi beberapa keputusan pengadil yang meragukan, selain penggunaan bola rotan tiga lapis yang baharu.