kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Malaysia balas dendam, ‘Supermokh’ jinakkan Garuda

‘Supermokh’ jinakkan Garuda

MALAYSIA mempertahankan pingat emas bola sepak dalam Sukan SEA Jakarta 1979 setelah menjinakkan Indonesia 1-0 dalam perlawanan akhir di depan hampir 90,000 penyokong tuan rumah yang membanjiri Gelora Bung Karno, Senayan.

Di gawangnya ialah penjaga gol kelahiran Kelantan, Abd. Hamid Ramli yang mengambil alih posisi utama itu daripada (men­diang Datuk) R. Arumugam - antara tonggak skuad juara Sukan SEA Kuala Lumpur 1977.


MOKHTAR DAHARI menjaringkan gol tunggal perlawanan akhir untuk membantu Malaysia menewaskan Indonesia.

Turut menganggotai skuad yang dibimbing oleh (mendiang) Karl Heinz-Weigang itu ialah (Datuk) Jamal Nasir Ismail, (Allahyarham) Hanis Devandran Abdullah, (Datuk) Soh Chin Aun, (Datuk) Santokh Singh dan (Datuk) Shukor Saleh.

Lain-lain termasuk (Datuk) Abdah Alif, (Datuk) Hassan Sani, (Datuk) James Wong, Abdullah Ali, Wan Jamak Wan Hassan, G. Torairaju dan (Allahyarham) Isa Bakar serta Ramli Abdullah.

Tidak dilupakan pastinya (Allahyarham Datuk) Mokhtar Dahari apabila jaringan tunggal penyerang legenda yang digelar Supermokh pada minit ke-21 dalam perlawanan itu memastikan Malaysia membawa pulang pingat yang dianggap paling berharga.

Namun Hamid nyaris tertewas dengan gol sendiri bek kanan, Jamal yang tidak perasan kedudukannya ketika membuat hantaran bola ke belakang sebelum sempat di­selamatkan oleh Chin Aun.

“Saya di luar posisi sedangkan Jamal tidak menyedari ketika mengumpannya. Mujurlah Chin Aun menolak bola yang menuju pintu gol. Terima kasih kepada ketua pasukan kita itu,” kata Hamid, mengimbas insiden itu.


Karl Heinz Weigang

Terdahulu dalam liga pusingan awal, Malaysia mengalahkan Singapura 2-0 hasil jaringan James dan Hassan serta Thailand 1-0 selain diikat tanpa jaringan oleh Burma dan tuan rumah.

Di gelanggang pingpong, Tan Sok Hong yang menyerlah dengan tiga emas ketika Sukan SEAP 1975, kembali menjadi penyumbang tunggal emas di Jakarta menerusi acara beregu wanita, berpasangan de­ngan Chong Suik Fong.

Mereka menewaskan Loysawai Patcharin dan Ladda Kumuthpongpanich dari Thailand.

Tuan rumah me­nguasai empat daripada enam emas yang dipertandingkan (perseorangan, beregu dan berpasukan lelaki serta beregu campuran.

Kelebihan empat mata kutipan Stanley Lim pula memboleh­kan penembak Malaysia itu mempertahankan emas acara clay pigeon skeet perseorangan. Juga pemenang Sukan SEAP 1975 dan 1977, dia memungut 191 mata berbanding penembak Thailand dan Singapura yang meraih perak dan gangsa.


Malaysia Balas Dendam

Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 November 1977 menyaksikan kejayaan gemilang barisan pimpinan (Datuk) Soh Chin Aun ini yang turut membalas dendam kekalahan kepada Thailand 3-1 dalam perlawanan akhir Sukan SEAP Bangkok 1975.

Jaringan Bakri Ibni dan (Allahyarham Datuk) Mokhtar Dahari pada minit ke-10 dan 69 membenam Thailand 2-0 di padang yang becak akibat hujan namun tetap tidak menghalang keha­diran kira-kira 30,000 penonton ke stadium.


MOKHTAR DAHARI muncul penjaring terbanyak dengan lapan gol.

Bakri menyudahkan peluang gara-gara keadaan kelam-kabut di
depan gol lawan manakala Mokhtar menanduk masuk bola yang pada mulanya ter­kena palang akibat tandukan awal (Datuk) James Wong.

Skuad emas ini turut menampilkan ramai penyerang berbakat yang juga gandingan serasi Mokhtar iaitu (Allahyarham) Isa Bakar dari Pulau Pinang dan Wan Rashid Muhammad (Kelantan) selain James Wong dari Sabah dan (mendiang) James Yakub dari Sarawak.

Anggota lain dalam skuad bimbingan (Datuk) M. Kuppan ini ialah (mendiang Datuk) R. Arumugam, Rashid Hasan, (Datuk) Jamal Nasir Ismail, (Allahyarham) Yahya Jusoh, (Datuk) Santokh Singh, (Datuk) Shukor Saleh, (Datuk) Abdah Alif dan Yip Chee Keong serta Abdullah Ali.


SOH CHIN AUN (kanan) menerajui skuad negara untuk memenangi acara bola sepak.

Namun peminat terlebih dahulu berasa cemas apabila Malaysia kalah mengejut kepada Indonesia 2-1 dalam perlawanan pembuka tirai Kumpulan B.

Dalam perlawanan 19 November 1977 itu, Santokh tersasar sepakan penalti pada minit ke-15 manakala Abdah tampil merapatkan jurang gol dua minit sebelum tamat permainan.

Mujurlah dua perlawanan berikutnya menyaksikan kebangkitan garang skuad negara dengan membelasah Filipina 5-0 dan Brunei 7-0 malah mudah melepasi separuh akhir dengan membenam Burma 9-1.

Mokhtar muncul penjaring terbanyak temasya ini dengan tujuh gol dalam ketiga-tiga perlawanan itu diikuti Isa dan Bakri (tiga), James Wong, James Yakub dan Wan Rashid (dua) serta masing-masing satu sumbangan Santokh dan Abdullah.

Sebelum menentang Indonesia juga, James Wong tidak diturunkan secara mengejut gara-gara status amaturnya yang perlu selari dengan peraturan Sukan SEA diragui kerana pernah bermain dengan kelab Hakoah (Australia) pada 1976.

Separuh akhir antara Thailand dengan Indonesia dicemari insiden pergaduhan pemain kedua-dua pasukan dan penonton sehingga memaksa satu mesyuarat jawatankuasa pertandingan lewat malam memberikan kemenangan percuma kepada Thailand.

Indonesia yang sepatutnya bermain perlawanan penentuan tempat ketiga pada sebelah pagi 26 November, tidak hadir atas alasan kesuntukan masa lantas Burma diberikan pingat gangsa.

Tags: sports, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “sports” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments