kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Maktab Teknik PDRM, Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am

Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am

Salam sejahtera buat pembaca budiman. Kita masih dalam siri Pusat Latihan Polis dan minggu ini, kita akan mengenali dengan lebih dekat tentang Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA).

Apabila darurat diisytiharkan pada 18 Julai 1948, kerajaan berpendapat Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berjuang bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menangani pemberontakan dalam negara.


MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama perserta kursus selepas tamat perbarisan Majlis Penutup Kursus Asas Penguatkuasaan KPDNKK Siri 1/2016 di Padang Kawad Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta.

Bagi menangani ancaman berkenaan, keperluan ilmu peperangan, sama ada dari aspek strategi mahupun taktik, memerlukan pembelajaran secara formal di samping pengalaman yang diperoleh semasa tugas.

Anggota polis yang turut dipertanggungjawabkan dengan tugas memerangi pengganas perlu dilengkapkan dengan ilmu peperangan gerila yang menjadi corak dan amalan perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM).

Untuk memastikan penentangan terhadap musuh mencapai kejayaan, pegawai dan anggota polis khasnya Pasukan Polis Hutan diberi latihan menerusi Pusat Latihan Pasukan Polis Hutan.

Sekolah Latihan untuk Pasukan Polis Hutan bermula dengan penubuhan ‘Jungle Warfare School’ di Sik, Kedah pada 1949.

Sekolah latihan ini turut melatih Pasukan Polis Khas (Special Constabulary), di mana pelatih yang tamat kursus ditempatkan di ‘Jungle Squad’.

Apabila ‘Jungle Squad’ diperbesarkan kepada ‘Jungle Company’, sebuah lagi sekolah latihan iaitu Sekolah Latihan Peperangan Di Hutan Persekutuan dan Pusat Pemulihan Sungai Buloh ditubuhkan pada 1951.

Sekolah ini mengendalikan Latihan Asas dan Latihan Pemulihan kepada anggota yang kurang berdisiplin manakala Sekolah Latihan Peperangan Di Hutan di Sik, Kedah mengendalikan latihan lanjutan.

Pada 1953, sebuah lagi sekolah latihan ditubuhkan di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor iaitu Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan (SLPPH).

Dengan penubuhan ini maka Sekolah Latihan PPH di Sik dan di Sungai Buloh, Selangor ditutup. Seterusnya, pada 1964, Sekolah Latihan Pasukan Polis Hutan dipindahkan ke Kroh, Perak.

Pada 1967, sekolah latihan ini sekali lagi dipindahkan ke Kentonmen Ulu Kinta, Perak, di lokasi sekarang.

Pada 11 November 1997, ia dikenali pula sebagai Sekolah Latihan Pasukan Gerakan Am dan pada tanggal 22 September 2006, Sekolah Latihan Pasukan Gerakan Am ini dijenamakan semula kepada Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA).

PLPGA terbahagi kepada dua lokasi latihan iaitu di Briged Utara PGA, Ulu Kinta, Perak dan di Markas Latihan Luar (MLL), Tupah, Bedong, Kedah.

Penempatan di Ulu Kinta, Perak kira-kira 13 kilometer (km) dari bandar Ipoh manakala MLL Tupah pula terletak kira-kira 19km dari bandar Sungai Petani.

PLPGA Ulu Kinta, Perak mempunyai keluasan 546 hektar manakala MLL Tupah berkeluasan kira-kira 23 hektar.

Kursus yang dilaksanakan di Pusat Latihan PGA kepada pegawai dan anggota dalam PGA meliputi:-

KURSUS ASAS

i) Kursus Asas PGA (Pegawai);

ii) Kursus Asas PGA (Pegawai Rendah Polis (PRP);

iii) Kursus Asas Konstabel Orang Asli;

iv) Kursus Asas PGA (Konstabel Sokongan);

v) Modul PGA - Pengurusan Operasi Kadet Inspektor;

vi) Modul PGA - Pengurusan Operasi Kadet Sarjan;

vii) Kursus Asas Memandu Kereta Berat Kelas ‘E2’;

viii) Kursus Asas Memandu Kereta Berat Kelas ‘D’; dan

ix) Kursus Asas Menunggang Motosikal Berat Kelas ‘B’.

KURSUS PERINTAHAN

i) Kursus Kompeni Komander;

ii) Kursus Platun Komander;

iii) Kursus Platun Sarjan; dan

iv) Kursus Seksyen Komander.

KURSUS LANJUTAN

i) Kursus Latihan Jasmani (Pegawai/PRP);

ii) Kursus Ikhtiar Hidup (Pegawai/PRP);

iii) Kursus Ronda Pandu Arah (Pegawai/PRP);

iv) Kursus Pertempuran Mengesan (Pegawai/PRP);

v) Kursus Senjata Mendalam (Pegawai/PRP);

vi) Kursus Jerangkap Samar (Pegawai/PRP); dan

vii) Kursus Pengendalian Bilik Gerakan.

Pusat Latihan PGA adalah sebuah institusi latihan PDRM yang menitikberatkan latihan kemahiran dan mengambil pendekatan melatih pegawai kanan serta pegawai rendah polis (PRP) dengan taktik dan teknik semasa serta relevansi berkaitan penugasan PGA. Pihak PLPGA juga melaksanakan kursus yang bercorak praktikal bagi meningkatkan lagi prestasi keupayaan dan keberkesanan PGA sebagai satu usaha mempertingkatkan tahap dan imej Jabatan Kementerian Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

PLPGA diberi kepercayaan penuh mengendalikan kursus ‘Team Building’ kepada pegawai kanan daripada Jabatan Pengurusan PDRM, malah PLPGA diberi penghormatan mengendalikan Kursus Penyesuaian Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di mana peserta yang berjaya terpilih akan dihantar ke Misi Pengaman di bawah panji-panji PBB.

Selain itu, PLPGA juga terbabit sama dalam kursus ‘International Senior Police Officers Command Course’ bagi mengendalikan ‘Team Building’ yang merangkumi aktiviti ‘survival’ dan Ronda Pandu Arah kepada peserta yang terdiri daripada pegawai tertinggi polis dari negara benua Afrika, Timur Tengah, Asia dan Asia Tenggara serta daripada PDRM sendiri.

Saya juga bangga kerana PLPGA turut diberi kepercayaan bagi melaksanakan kursus luaran, membabitkan lain-lain kementerian atau agensi kerajaan seperti berikut:

i) Kursus Asas Penguatkuasaan bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan (KPDNKK) yang mengambil masa satu bulan. Pegawai dan Anggota KPDNKK diwajibkan hadir kursus ini bagi tujuan pengesahan jawatan;

ii) Kursus Asas Polis Bantuan bagi agensi dari luar seperti Petronas, Tabung Haji Malaysia, AEON CO. (M) Sdn Bhd, Prasarana Malaysia Berhad dan Public Bank Berhad. Kursus dua bulan ini adalah syarat yang dikenakan kepada pegawai dan anggota polis bantuan untuk berkhidmat dengan agensi berkenaan;

iii) Kursus Pengenalan Modul PGA kepada Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) yang terbabit dengan pasukan beruniform bagi semua universiti. Kursus ini memakan masa satu minggu di mana peserta diberi kelebihan memohon jawatan sebagai Pegawai Kanan PDRM; dan

iv) Latihan Certified Security Guards (CSGs) yang mengambil masa enam hari dan program Remaja Berwawasan (Summer Camp) selama lima hari, di bawah Program Strategi Lautan Biru Negara(NBOS).

Malah banyak lagi jabatan dan agensi luar yang menghantar staf mereka berkursus di PLPGA, termasuk Jabatan Veterinar Malaysia, Jabatan Perlindungan Saksi, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Jelasnya, PLPGA sebuah institusi latihan yang berwibawa dan terlatih bagi menggilap individu di bawah latihannya menjadi seorang yang lebih berketerampilan, berdisiplin dan berilmu.

Syabas PLPGA!


Maktab Teknik PDRM


Maktab Teknik PDRM
Salam hormat dari Bukit Aman buat pembaca setia ruangan ini. Saya teruskan siri pusat latihan polis minggu ini dengan memperkenalkan Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (MTPDRM), Bakri Muar, Johor.

Pembinaan maktab ini bermula pada 25 September 1995 dan siap sepenuhnya pada akhir 1999 di atas tapak seluas 97 hektar di Jalan Batu Nampak, Batu 6, Bakri. Ia dirasmikan pada 15 Mei 2001 oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika itu.

MTPDRM adalah integrasi beberapa institusi latihan teknik dalam PDRM, yang merangkumi:

a) Institut Teknik Polis Tun Salleh, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

b) Sekolah Memandu Pasukan, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

c) Sekolah Komunikasi (Operasi), Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

d) Bahagian Latihan Komputer Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Fungsi MTPDRM selari dengan arus perubahan teknikal dan perkembangan teknologi yang terkini. Program latihan yang dijalankan adalah bagi memenuhi keperluan kemahiran teknikal setiap pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis dalam bidang pengajian Mekanikal, Elektrik/Elektronik, Teknologi Maklumat, Persenjataan, Automotif, Marin, Bekalan/Bangunan, Komunikasi dan juga kemahiran memandu.

Ke arah memenuhi tanggungjawab berkenaan, beberapa bahagian pengajian yang mengendalikan latihan teknikal dan separa teknikal diwujudkan bagi melaksanakan fungsi latihan.

Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal

Pusat ini mempunyai lima bahagian pengajian khusus iaitu:

(a)Bahagian Pengajian Kejuruteraan Automobil/Marin.

Bahagian ini mengendalikan latihan asas dan lanjutan automobil/marin. Latihan teori dan amali yang dikendalikan bertujuan membentuk tenaga kerja yang mahir dalam aspek penyelenggaraan dan membaik pulih aset pasukan (automobil dan marin)

(b)Bahagian Pengajian Kejuruteraan Teknologi Bengkel.

Bahagian ini bertanggungjawab mengendalikan latihan asas teknikal kepada bakal mekanik dan jurugegas dalam PDRM termasuk pegawai teknikal, sebelum diserapkan ke jawatan tetap. Latihan teori dan amali membabitkan antaranya, kemahiran mengendalikan peralatan bengkel, gegas, kimpalan dan juga permesinan.

(c)Bahagian Pengajian Kejuruteraan Ordnans

Bahagian ini melaksanakan program latihan asas teknikal ordnans bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam aspek penyelenggaraan, pembaikan dan pengurusan dokumentasi. Latihan ini bertujuan mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan penugasan unit pemusnahan bom serta meningkatkan keyakinan dan kemahiran dalam penggunaan senjata api kepada semua anggota PDRM.

(d) Bahagian Pengajian Memandu

Bahagian pengajian ini bertanggungjawab memberi latihan khusus dalam bidang pemanduan. Warga PDRM dan agensi awam yang mengikuti kursus, akan dilatih dalam kemahiran memandu, aspek pemanduan berhemah/berdisiplin, pengetahuan teknik dan penyaraan kenderaan.

(e) Bahagian Pengajian Bekalan Dan Bangunan.

Tanggungjawab bahagian pengajian ini untuk melaksanakan kursus berkaitan ‘bekalan dan bangunan’ dalam memberi pengetahuan dan kefahaman mengenai peraturan dan cara pengendalian unit bekalan secara berkesan dan bersistematik.

Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik/Elektronik

Pusat penggajian ini terbahagi kepada dua iaitu:

(a) Bahagian Pengajian Elektrik/Elektronik.

Bertanggungjawab melaksanakan program kursus yang berkaitan dengan bidang elektrik/elektronik bagi keperluan PDRM.

(b) Bahagian Pengajian Komunikasi.

Melahirkan warga polis yang cekap, terlatih dan berpengetahuan tinggi dalam prosedur perhubungan dan asas penyelenggaraan aset telekomunikasi pasukan.

Pusat Pengajian Teknologi Maklumat

Bahagian Pengajian Aplikasi & Perkakasan di bawah pusat ini dipertanggungjawabkan melatih semua warga PDRM secara teori dan amali, berhubung asas penyelenggaraan aplikasi perkakasan dan pengendalian teknologi maklumat. Pengajian ini juga memainkan peranan dalam melahirkan warga polis yang celik dan mahir dalam bidang teknologi maklumat, agar mampu berdaya saing dalam dunia tanpa sempadan yang wujud ketika ini, hasil perkembangan pesat ICT.

Untuk makluman pembaca, MTPDRM sudah menerima pelbagai pengiktirafan yang membanggakan, antaranya:

(a) Dengan keluasan tanah 97 hektar dan mempunyai landskap berkonsepkan resort, maktab ini berjaya meraih kedudukan Naib Johan sebanyak tiga kali Anugerah Jabatan Landskap Negara Negeri Johor (kategori institusi latihan)

(b) Penganugerahan sebagai Pusat Bertauliah/Institusi Latihan Awam yang bertaraf lima bintang dengan cemerlang dalam pembangunan infrastruktur pembangunan, tenaga pengajar dan kualiti ilmu yang diperoleh peserta kursus.

(c) Kursus Teknik Mengajar yang dikendalikan, diiktiraf Kementerian Sumber Manusia untuk melahirkan jurulatih/tenaga pengajar yang berkaliber.

(d) Pegawai MTPDRM menerima pelbagai pengiktirafan, antaranya sebagai Pengurus Pusat Bertauliah, Pegawai Pengesah Dalaman, Pegawai Pengesah Luaran dan Pegawai Penilai untuk Persijilan Kemahiran Kebangsaan.

(e) Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan 2016

(f) Ditauliahkan Kementerian Alam Sekitar sebagai pusat latihan penyaman udara dan penyejuk bekuan industri berasaskan teknologi hijau.

Maktab ini juga salah satu institusi latihan yang dipilih Bahagian Latihan Bukit Aman untuk melaksanakan ISO 9001:2008 (Mereka bentuk Program Latihan, Pengurusan dan Penyampaian Kursus).

Seperti lain-lain pusat latihan polis di seluruh negara, MTPDRM berjaya melahirkan ribuan warga polis yang berkualiti dan profesional dalam bidang tugas mereka masing-masing. Ini selaras dengan hasrat pasukan untuk memastikan setiap pegawai dan anggota polis, mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat. Insya-Allah.

Tags: polis
Subscribe

Posts from This Journal “polis” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments