kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Orang Besi, Gadis Bionik kebal bertahan; Rosman Raja Kayuh, pingpong menyengat

Rosman Raja Kayuh, pingpong menyengat

DUA pingat emas berbasikal menjulang nama Rosman Alwi sebagai antara atlet Malaysia yang cemerlang di pentas Sukan SEA Bangkok 1985.

Anak jati Kuala Lumpur itu juga membaharui rekod kedua-dua acara yang dijuarainya iaitu 1,000 meter ujian masa lebuh raya individu (1 minit, 10.97 saat) dan 200 meter pecut (11.80 saat). Kedua-duanya dengan menewaskan musuh tradisi dari Indonesia, Puspita Mustika Adya.

Di gelanggang olahraga, pelumba jalan kaki Vasu Subramaniam membalas dendam kekalahannya dalam temasya Singapura 1983 kepada Apparao dari Burma sambil meraih emas.


ROSMAN ALWI memenangi dua pingat emas di Bangkok 1985

Vasu turut membaharui rekod 10 kilometer jalan kaki Sukan SEA, 45 minit, 27.24 saat berban­ding catatannya ketika memenanginya di Kuala Lumpur pada 1977, 45:48.1s.

Pemburuan emas Samreet Si­ngh Dhaliwal dalam penampilan Sukan SEA ketiga berturut-turut sejak 1981 akhirnya membuahkan hasil di Bangkok.

Balingan sejauh 49.04 meter meletakkannya sebagai juara baharu tukul besi, menewaskan penyandang Darilo Jarina Jr. dari Filipina selepas dia sekadar beroleh perak di Manila 1981 dan Singapura 1983.


Skuad pingpong menamatkan kemarau sedekad emas berpasukan lelaki apabila gandingan Peong Tah Seng, Kok Chong Fatt dan Lim Chin Leong menumbangkan juara bertahan Indonesia dalam perlawanan akhir.

Buat pertama kalinya sejak 1971, skuad sepak takraw negara kempunan sebarang pi­ngat emas Sukan SEA/SEAP dalam temasya 1985 di Bangkok menerusi saingan berpasukan dan antara regu.


HANAPIAH NASIR (kanan) memandang kepada peserta Indonesia, Hero Prayogo (kiri) di garisan penamat acara 110 meter lari berpagar.

Ibu kota Thailand itu pernah menyaksikan Malaysia kehila­ngan emas kali pertama pada 1967, dan kali ini skuad bimbingan Sharkawi Rambli dan (Allahyarham) Hassan Sulaiman sekadar berpuas hati dengan dua pingat perak dan sebutir gangsa.

Kekalahan itu cukup meme­ranjatkan kerana tiga bulan sebelumnya, barisan pemain hampir sama menumbangkan skuad Si Gajah Putih juga di Bangkok untuk merampas Piala Raja Thai buat julung-julung kalinya.

Skuad ini juga dikatakan memiliki sistem permainan pelibas kembar dalam dua regu utamanya iaitu Azman Ismail, Raziman Hassan dan Adnan Saidin serta Noor Rani Adnan, Salim Yusof dan Zainal Abidin Othman atau Zahir Awang.

Lain-lain anggota skuad ini ialah Zahir Mohd. Awang, Su­bairi Said, Ismail Atan, Mohd. Fauzi Ayob, Jamal Din, Mohd. Darus Mahmood, Ramlan Yusop, Zainudin Ali, Omar Husin dan Mubarak Ali Mohamed Kassim.

Dalam acara berpa­sukan, Malaysia dikejutkan Thailand 1-2 (9-15, 8-15), (1-15, 5-15), (15-9, 15-8) namun sempat membenam Brunei dan Filipina 3-0 serta Singapura 2-1.


ADNAN SAIDIN (kanan) melakukan hadangan terhadap rejaman pemain Thailand, Yangyong Tantipanich dalam aksi suku akhir antara regu sepak takraw

Gandingan Rani, Raziman dan Adnan tumpas 11-15, 5-15 kepada Thailand A (Pakdee Dangwatanapaibul, Kriengkrai Mutalai dan Veeras Na Nongkhai) dalam perlawanan akhir acara antara regu.

Terdahulu dalam separuh akhir, regu Malaysia D ini menewaskan Thailand D (Payont Duangprasert, Somsak Duangmuang dan Prapas Plengterm) 15-9, 15-9 sementara regu Pakdee menundukkan Malaysia C (Azman, Zahir dan Salim) 15-6, 15-9.

Di Stadium Suphachalasai, Bangkok, skuad bola sepak negara pula cuma mampu membawa pulang gangsa apabila disekat Si­ngapura menerusi penalti penentuan 6-5 setelah terikat 2-2 dalam permainan sebenar.

Antara pemain Malaysia ketika itu ialah Salim Mahmud Muhaidin, Saidin Osman dan Kamarul Zaman Yussoff, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan, Khan Hung Meng, Nasir Yusoff, Kamaruddin Ahmad dan Lim Teong Kim serta Serbegeth Singh.

Salim gagal menyudahkan sepakan penalti keenam Malaysia sedangkan Singapura menyempurnakan ke­semuanya. Zainal dan Hung Meng menjaringkan kedua-dua gol negara dalam permainan sebenar.

Pingat sagu hati itu dimenangi pasukan negara selepas Teong Kim menjaringkan gol tunggal pada minit ke-67 yang menghampakan Indonesia 1-0. Tuan rumah membenam Singapura 2-0 untuk emas bola sepak kali kelimanya.


Orang Besi, Gadis Bionik kebal bertahan


BATUMALAI RAJKUMAR (dua dari kiri) menjuarai acara 1,500 meter.
JAGUH lari jarak sederhana, Batumalai Rajkumar mempamerkan prestasi cemerlang 
untuk menjadi seorang daripada tujuh penyumbang pingat 
emas olahraga kepada Malaysia dengan menjuarai acara 800 dan 1,500 meter.

Pelari kelahiran Kuala Kubu Baru, Selangor itu me­numpaskan pelari Thailand, Phin Kraikate sambil mencatat masa satu minit, 49.31 saat dalam 800 meter manakala rakan senegara Nordin Jadi beroleh gangsa dengan 1:50.95s.

Rajkumar kemudian menewaskan pelari Burma, Shwe Aung dan Nestor Trampe dari Indonesia untuk menguasai acara 1,500m menerusi catatan 3:50.13s.

Ramjit Nairulal meneruskan penguasaan Malaysia dalam lompat tinggi sejak 1977 yang dimulakan Baljit Singh Sidhu dengan catatan 2.13 meter.

Begitu juga perejam lembing, (mendiang) Ballang Lasung yang mengutip emas ketiganya berturut-turut.

Malaysia juga merangkul emas berganda rejam lembing apabila atlet wanitanya, Norsham Yoon mengejutkan pemenang emas tiga kali, Erlinda Lavandia dari Filipina dengan catatan 45.74 meter.

Lebih gemilang ialah kejayaan ‘Orang Besi’ Hanapiah Nasir dan ‘Gadis Bionik’ (Datuk) Zaiton Othman yang mempertahankan emas dekatlon dan heptatlon dengan catatan 6,890 dan 5,322 mata.


AKSI Ramjit Nairulal dalam acara lompat tinggi

Malangnya penguasaan Vasu Subramaniam dalam 10 dan 20 kilometer jalan kaki sejak 1977 dileburkan atlet Burma, S. Apparao untuk sekadar beroleh perak. Skuad sepak takraw seperti enam edisi temasya lalu, mengekalkan emas berpasukan selepas menewaskan Thailand 2-1.

Namun mereka masih gagal menjuarai antara regu seperti mana ketika Manila 1981 setelah gandingan Azman Ismail (tekong), Adnan Saidin (perejam) dan (Allahyarham) Shukri Ismail (pengumpan) dikalahkan Thailand 8-15, 12-15.

SKUAD olahraga meraih tujuh emas dengan Batumalai Rajkumar menjadi bintang utama sambil dimantapkan oleh Hanapiah Nasir, Zaiton Othman dan Ballang 
Lasung serta Norsham Yoon

Tags: sports, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “sports” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments