kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

400m lelaki curi tumpuan peminat

JIKA sebelum ini acara 100 meter lelaki dan wanita sentiasa menjadi tumpuan, temasya 1987 menyaksikan perlumbaan 400 meter lelaki juga dinanti-nanti oleh peminat, terutamanya di Malaysia dan Filipina. Ini kerana acara itu mempertemukan dua jagoan tersohor di Asia Tenggara 
ketika itu iaitu Nordin Jadi dan Isidro del Prado


PERSETERUAN dua pelari Malaysia dengan Isidro del Prado dalam perlumbaan 400 meter olahraga berlangsung sejak Sukan SEA Manila 1981 hingga temasya Kuala Lumpur 1989.


NORDIN JADI melepasi garisan penamat untuk meraih emas acara 400m lelaki.

Rabuan Pit selaku penyandang pada 1979 melepaskan gelaran kepada del Prado di Manila dan pelari Filipina itu mempertahankannya dengan menewaskan Nordin Jadi di Singapura 1983.

Di Bangkok 1985, Nordin me­rampas emas 400m dengan catatan 47.18 saat namun di podium pemenang pingat perak bukanlah del Prado tetapi rakan senegaranya, Gido Romeo yang mencatat 47.50s.

Pertembungan dalam Sukan SEA Jakarta 1987 di Gelora Bung Karno, Senayan menjadi semakin dramatik namun pastinya satu detik yang paling manis dalam ingatan dan sejarah karier olahraga Nordin.

Kali ini emas menjadi milik Nordin, pelari berkaca mata kelahiran Tangkak, Johor yang mencatat 46.56 saat untuk memaksa lawan berpuas hati sebagai pemenang perak dengan catatan 46.78 saat.

Sayang sekali Nordin hanya kelewatan 0.16 saat untuk membaharui atau menyamakan rekod temasya kepunyaan Isidro yang dicipta dalam temasya Singapura 1983.

PRESIDEN Suharto merasmikan temasya 1987 di Stadium Utara Senayan.

Dia kemudian menambah sebutir emas setelah membantu rangkaian 4x400 meter yang turut dianggotai Joseph Phan, Andrew Scully dan Ismail Hashim menewaskan Thailand dan Indonesia dengan catatan 3 minit 09.40 saat.

Dua lagi emas olahraga dikalungkan ke leher Josephine Mary yang memenangi acara 400 dan 800 meter wanita, masing-masing dengan catatan 54.25s dan 2:09.99s selepas menewaskan pelari Burma dan Thailand.

Rosman Alwi tetap cemerlang dalam mempertahankan emas 200 meter pecut berbasikal dengan menewaskan pelumba tuan rumah, Puspita Mustika Adya seperti di Bangkok, dua tahun terdahulu.


DOLLAH SALLEH (kanan) tunduk kecewa selepas Malaysia tewas 0-1 kepada Indonesia dalam aksi final bola sepak

Namun kali ini dia kehilangan emas 1,000m ujian masa perseorangan kepada pelumba Filipina, Bernardo Rumarin dan Puspita (perak) untuk sekadar beroleh gangsa dengan catatan 1:11.18s.

Pasangan Leong Mee Wan-Lau Wai Cheng mengulangi kejayaan Tan Sok Hong-Chong Suik Fong di bandar raya sama pada 1979 untuk menyambar sebutir emas acara beregu pingpong wanita.

Malaysia dihampakan jaringan tunggal Ribut Waidi ketika masa tambahan perlawanan akhir baru berusia seminit di depan 120,000 hadirin Gelora Bung Karno untuk hanya beroleh perak bola sepak.

Namun skuad yang membariskan antaranya Hashim Mustapha, Salim Mahmud Muhaidin, K. Gunalan, Lee Kin Hong, Radhi Mat Din, Dollah Salleh dan Khalid Shahdan tetap wajar dipuji kerana menumbangkan juara bertahan, Thailand 2-0 dalam separuh akhir.

Paling hambar ialah skuad sepak takraw yang seperti di Bangkok 1985, terus kempunan emas acara berpasukan dan antara regu. Thailand membenam skuad bimbingan (Allahyarham) Daud Rubai Khalim ini 2-1 dan 2-0 untuk memaksa mereka membawa pulang dua perak sahaja.

Tags: sports, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “sukan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments