kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Olahraga terus jadi lubuk emas, Kalah awal lonjak semangat regu emas Yunus

Kalah awal lonjak semangat regu emas Yunus

KEKALAHAN mudah 3-0 kepada Thailand dalam acara berpasukan sepak takraw sekali gus terlepas emas yang dimiliki kali pertama di Manila 1991 rupa-rupanya menyemarakkan semangat regu bimbingan Yunus Ibrahim dan (Allahyarham) Talib Nasir untuk membalas dendam terhadap musuh ketat itu.


NORDIN SABARUDIN berpelukan dengan Shaari Hashim (kiri) dan Rosli Ab. Rahman (kanan) selepas memenangi pingat emas acara antara regu

Hotel penginapan di Singapura yang berhabuk sehingga mengakibatkan separuh anggota pasukan demam menjadi punca mereka gagal memberikan tentangan terbaik terhadap Thailand yang diketuai tekong veteran Pakdee Dangwattanapaibul dalam liga berpasukan.

Namun gandingan Nordin Sabarudin (tekong), Shaari Hashim (perejam) dan Rosli Ab. Rahman (pengumpan) bangkit membenam Pakdee, Kriengkrai Mutalai dan Ittipol Komchaisak 15-5, 15-9 dalam separuh akhir acara antara regu.

Mereka kemudiannya diberikan tentangan sengit regu tuan rumah, Nurhisham Adam, Rafi Abdul Majid dan Padzli Othman selama sejam setengah sebelum berjaya mempertahankan emas dengan kemenangan 15-12, 18-16 di Dewan Badminton Singapura.

Terdahulu dalam saingan peringkat awal, tuan rumah mengejutkan Malaysia 2-0 namun membenam Filipina dan Laos 2-0 untuk mara ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B menentang Thailand, juara Kumpulan A yang mengatasi Indonesia, Brunei dan Myanmar.

Dalam saingan berpasukan liga sepusingan, Malaysia menewaskan Brunei, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Singapura 3-0.


CHEAH SOON KIT (kiri) dan Soo Beng Kiang (dua dari kanan) memecahkan dominasi Indonesia dalam acara badminton apabila memenangi pingat emas beregu individu

Lain-lain pemain Malaysia yang membawa pulang perak berpasukan ialah Baharum Jahar, Iskandar Arshad, Noor Rani Adnan, Mohd. Noor Abdullah, Baharudin Bahaudin, Engku Halim Ku Musa, Suhaimi Yusof, Mohd. Noor Sulaiman dan Raziman Hassan.

Olahraga terus jadi lubuk emas

SEPERTI dalam temasya terdahulu, olahraga terus mendahului senarai penyumbang emas untuk Malaysia dengan 14 emas diikuti enam daripada boling, taekwondo dan karate (tiga) sementara biliard dan snuker, silat, akuatik renang, menembak dan wusyu (dua).


M. RAMACHANDRAN memenangi pingat emas 5,000m dan 10,000m.

M. Ramachandran, Zaki Sadri, P. Jayanthi, Wong Tee Kui, P. Ravindrean, Nur Herman Majid, Arjan Singh, Cheng Tong Lean, Low Chwee Peng, R. Thangavelu dan rangkaian 4x400 meter wanita merupakan wira dan wirawati olahraga yang mengumandangkan Negaraku dengan kalungan emas mereka.

Paling membanggakan ialah dua emas milik Ramachandran dalam 5,000 dan 10,000 meter, P. Jayanthi (3,000 dan 10,000 meter wanita) serta Mohd. Zaki Sadri yang mengulangi emas berganda lompat kijang dan jauh seperti temasya Manila 1991.

Boling pula berbangga dengan kejayaan Ng Yiew Hup, Jimmy Lee, Shirley Chow, Lisa Kwan, Sharon Low sementara taekwondo dan karate turut menyambar enam emas menerusi R. Rajendren, S. Krishnan, Sarah Chung, pasukan kumite lelaki, Johnny Chong dan M. Vasudevan.

Secara solo, Lisa yang paling menyerlah dengan mengumpul tiga emas menerusi acara master boling setelah menjatuhkan 3,204 pin selain bersama Shirley Chow dan Sharon Low serta Shalin Zulkifli, memenangi acara lima sepasukan dan trio wanita.

Jeffrey Ong terus mempertahankan dua emas 400 dan 1,500 meter gaya bebas akuatik renang lelaki sambil dua lagi emas diraih pesilat, Roslan Hamid dan Wan Adnan Wan Isa masing-masing dalam Kelas E dan F Putra.

Tidak ketinggalan dengan satu emas masing-masing daripada hoki lelaki, golf, sepak takraw, pelayaran, berbasikal dan badminton serta gimnastik.


SHALIN ZULKIFLI (kiri) dan Lisa Kwan berbangga dengan emas daripada acara boling

Berpengalaman sebagai juara beberapa edisi lalu, M. Kumaresan tampil sebagai penyelamat maruah skuad berbasikal dengan sebutir emas 140 kilometer lebuh raya menerusi gandingannya dengan Mohd. Paidi, Shahrul Neeza Razalli dan Tsen Seong Hoong.

Namun paling mengecewakan ialah terkandasnya skuad bola sepak buat kali kedua untuk ke separuh akhir sejak Manila 1991 apabila pasukan pimpinan Ahmad Yusoff itu disekat oleh Myan­mar 2-1 dan Thailand 2-0 dalam Kumpulan A biarpun mudah membenam Brunei 3-1 dan Laos 9-0.

Begitu juga skuad hoki wanita yang kempunan emas untuk melengkapkan kejayaan skuad lelaki dan sekadar mampu berpuas hati dengan sebutir perak akibat dikejutkan Singapura menerusi penentuan penalti strok 4-3 selepas terikat tanpa jaringan.

Tags: sports, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “sukan” Tag

  • Semangat Kesukanan: Iktibar Dari Finalis Euro 2020

    Sebilangan besar pemain England dilihat tidak gembira meraih pingat naib juara dan tidak mahu mengalungkannya setelah menerimanya dari wakil EUFA…

  • Semangat II

    Walaupun mengalami kekalahan yang mengecewakan, England mencipta sejarah pada 12 Julai 2021, dan untuk itu, mereka harusnya berasa bangga. Tetapi…

  • Semangat I

    Fakta Buruk Semangat kesukanan Sukan dan budaya hidup manusia, kedua-duanya secara praktikal tidak dapat dipisahkan. Anak-anak yang…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments