BUAT kali ketiganya sejak kemasukan Indonesia ke dalam Sukan SEA 1977 setelah diterima menyertai Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), Malaysia masih mampu menyambar sebutir emas kategori individu terutama acara beregu lelaki.
Kejayaan mengejut ini menggugat monopoli Garuda di gelanggang bulu tangkis yang kerap menggenggam emas berpasukan lelaki dan wanita dan hampir kesemua acara individu lain termasuk beregu campuran.
CHEAH SOON KIT (kanan) mengekalkan pingat emas acara beregu individu tetapi kali ini bergandingan dengan Yap Kim Hock. |
Razif-Jalani Sidek mencetuskan kehampaan Indonesia dalam Bangkok 1985 diikuti Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang di Singapura pada 1993 sebelum Soon Kit dengan gandingan baharu Yap Kim Hock menyambung langkah emas itu di Chiang Mai.
Kejayaan Cheah-Yap mengubati kehampaan kontinjen negara yang mengidam dua lagi emas daripada acara berpasukan lelaki dan perseorangan lelaki terutamanya menerusi Rashid Sidek.
Rashid sebaliknya disekat Joko Suprianto dalam perlawanan akhir berpasukan dan Ardy Wiranata ketika separuh akhir individu, memaksanya hanya membawa pulang sebutir perak dan sebutir gangsa.
PEMAIN dan pegawai pasukan snuker-biliard negara meraikan kejayaan menang enam emas, tiga perak dan tiga gangsa di Chiang Mai |
SELAIN merosot kepada lapan pingat emas di Chiang Mai berbanding 14 di Singapura dua tahun sebelumnya, skuad olahraga tetap diingati sebagai sukan yang gagal terutama apabila dikaitkan dengan kecundangnya dua prospek utama.
M. RAMACHANDRAN |
Watson Nyambek tercedera otot paha ketika perlumbaan 200 meter sehingga terpaksa menarik diri daripada acara, 100 dan 4x100m malah Azmi Ibrahim turut terlepas gelaran Raja Pecut Asia Tenggara kerana sekadar beroleh perak.
Mohd. Zaki Sadri, yang ketika Manila 1991 merangkul emas berganda lompat jauh dan lompat kijang malah berjaya mempertahankannya dalam Singapura 1993, kali ini terpaksa akur dengan dua perak sahaja dalam kedua-dua acara itu. Dominasinya dalam lompat jauh sejak Jakarta 1987 turut lebur.
Turut mendukacitakan ialah isu disiplin pelontar peluru, Petra Ghani yang memaksanya dihantar pulang ke tanah air oleh kontinjen negara lalu meninggalkan (Allahyarham) Nazar Rahim bersendirian melayari cabaran namun tetap berjaya meraih perak.
NUR HERMAN MAJID |
Yang membanggakan selaku penyumbang emas ialah M. Ramachandran (5,000 dan 10,000 meter), Nur Herman Majid (110m berpagar), Wong Tee Kui (baling tukul besi), Loo Kum Zee (lompat tinggi), Yazid Imran (rejam lembing) dan R. Mogan (10 kilometer jalan kaki) serta Anastasia Karen Raj (5 kilometer jalan kaki wanita).
Pemain-pemain biliard dan snuker sebaliknya tanpa disangka-sangka menampung kehilangan banyak emas negara dengan meraih enam emas, tiga perak dan tiga gangsa iaitu separuh daripada 12 pingat yang ditawarkan kesemuanya.
Gimnasium Pang Suan Kaew menyaksikan kejayaan gemilang Moh Loon Hoong, Sam Chong, Liew Kit Fatt, Yeong Kien Fook, Ng Ann Seng dan Patrick Ooi antaranya menerusi acara 15 ball rotation, berpasukan, beregu, perseorangan dan English billiard.
Mereka bukan sahaja memperbaiki pencapaian dua emas, satu perak dan tiga gangsa di Singapura 1993 tetapi turut mengejutkan kuasa tradisi sukan itu di rantau Asia Tenggara, Thailand (dua emas) dan Filipina (satu emas).