SELEPAS kali terakhir G. Rajalingam membolot emas 100 dan 200 meter dalam Sukan SEAP Bangkok 1967, kejayaan itu diulangi oleh pelari tinggi lampai Nazmizan Muhammad 36 tahun kemudian.
Anak jati Kampung Durian Metangau, Dungun, Terengganu itu mencatat 10.48 dan 21.05 saat, kedua-duanya dengan menewaskan pencabar dari Thailand, Sittichai Suwonprateep dan John Herman Muray (Indonesia).
NAZMIZAN MUHAMMAD meraikan kemenangannya digarisan penamat 100 meter. Dia kemudian turut memenangi acara 200 meter |
Selain kejayaan hebat Nazmizan, atlet negara menambah tujuh emas di samping dua perak dan enam gangsa untuk berada di tempat keempat keseluruhan dalam acara olahraga di belakang Thailand, Vietnam dan Filipina.
Emas berganda 20km jalan kaki lelaki dan wanita turut menjadi milik Malaysia menerusi Mohd. Sharrulhaizy Abdul Rahman yang mencatat satu jam 31 minit dan 57 saat dan manakala Yuan Yufang, 1:39.25s.
Jaguh lompat tinggi Loo Kum Zee mempertahankan emas lompat tinggi buat kali keempat berturut-turut sejak mengambil alih dominasi Malaysia itu daripada rakan senegara Low Cwee Peng di Chiang Mai 1995.
Shahrul Amri Sulaiman menguasai lompat jauh (7.65m) manakala Malik Tobias kembali merangkul emas dekatlon yang pernah dimenanginya di Brunei 1999 (6,668 mata), begitu juga ratu 400m berpagar, Noraseela Khalid dengan catatan 57.62s.
A. PUVANESWARAN meraikan kejayaan memenangi pingat emas karate |
‘Hercules Rompin’ menjadi gelaran cocok buat atlet angkat berat Amirul Hamizan Ibrahim yang menjuarai acara 56 kilogram angkat berat. Turut menaikkan Jalur Gemilang di Gimnasium Soc Son, Hanoi ialah Che Mohd. Azrul Che Mat yang menjuarai kategori 94kg.
Lapan emas, empat perak dan empat gangsa meletakkan para perenang dan penerjun akuatik negara di tempat ketiga dengan Alex Lim Keng Liat mendahului senarai menerusi acara 100 dan 200m kuak lentang serta 100m kuak kupu-kupu.
Turut membawa Negaraku berkumandang di ruang angkasa Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi ialah pemenang tiga emas wanita, Siow Yi Ting (100 dan 200m kuak dada serta 400m rampaian individu), rangkaian 4x200m, Allen Ong (100m gaya bebas) serta penerjun 10m platform wanita, Leong Mun Yee.