Namun dalam sekelip mata, kehadiran ‘ketua atau pihak atasan’ yang muncul entah dari mana atau dengan tiba-tiba, ‘mereka’ ini akan berubah sikap serta merta. Dengan nada dan cara penuh kepura-puraan akan tersembul perkataan ‘Ya, puan’, ‘Ya, tuan’ atau yang kerap didengar ‘Ya, kak ….!’ (jika ketua itu seorang wanita).

Ia bermaksud berkata ‘ya’ kepada setiap tugasan atau bersetuju dengan ‘ketua atau pihak atasan’
Mengucapkan "ya" kepada setiap tugasan atau bersetuju dengan ‘boss’ tetapi pada hakikat dan sebenarnya anda tidak setuju dengan arahan yang diberikan, ia mendorong kepada kekecewaan seseorang kakitangan pekerja. Walaupun arahan tugasan atau projek dimaklumkan pada minit terakhir, beban kerja tidak dapat dielakkan, bagaimana pula dengan masa apabila kita sebenarnya boleh mengawal keadaan?
Sebagai seorang pemimpin atau pentadbir, bagaimanakah anda menguruskan masa dan merancang untuk mencegah sindrom atau penyakit "pengurusan masa ala-Malaysia" atau "sindrom minit atau saat akhir"? Haruskah kita mempunyai pemikiran atau mentaliti "minit terakhir” atau adakah ia hanya sekadar alasan untuk mengelak dari diketawakan akibat dari kegagalan anda dalam mengurus masa atau kekurangan kemahiran perancangan yang anda dimiliki.
Kemungkinan juga adalah lebih baik jika anda tidak berkata apa-apa pun.
Ketika anda di alam persekolahan maupun ketika di pusat pengajian tinggi, tentunya anda diperkenalkan dengan subjek ‘kemahiran berfikir’; dan kita diminta untuk mempelajari bagaimana berfikiran kritikal dan membuat, memberi dan menetapkan penghakiman serta keputusan yang baik dan memuaskan.
Kita bukanlah tidak tahu untuk berfikir dengan baik untuk diri kita sendiri tetapi ini mungkin disebabkan oleh penerapan konsep untuk bersuara, berkongsi dan menyuarakan pendapat dan pandangan dengan rakan atau mempunyai pandangan sendiri sering di gagalkan atau ditolak oleh mereka yang lebih berkuasa. Mengapa perkara seperti ini terjadi?
Menurut kajian yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik seranta Asia-Pacific , orang Barat mengamalkan persekitaran konteks yang rendah, di mana tumpuan diberikan kepada cara berkomunikasi dan bukannya konteks. Komunikasi langsung hendaklah jelas dan tidak meleret . Mesej yang hendak dan ingin disampaikan adalah pantas, jelas dan ringkas.
Tetapi kita di Timur, kita mengamalkan persekitaran konteks yang tinggi, orang Timur memberi tumpuan kepada cara kita berkomunikasi sambil memberi perhatian lebih kepada hubungan, emosi, gerak isyarat dan isyarat lisan dan bukan lisan yang lain. Dalam istilah yang lebih mudah, mesej kita adalah tidak langsung , berbunga dan kadangnya berbelit.
Terfikirkah kita cara bagaimana kita menyelesaikan masalah adalah merupakan suatu "budaya tersemat"? Dengan mengamalkan budaya ‘ya tuan, ya puan ….’ maka ianya merupakan satu isu …
Sedarkah anda apabila anda ‘menjadi pak angguk’, anda sebenar menipu diri sendiri dan berpura-pura bersikap baik kepada orang lain. Namun, bagi yang ‘kaki bodek, kaki ampu’ tentunya inilah sahaja caranya untuk melepaskan diri dan cara mereka cuba menutup kelemahan mereka sendiri; mereka tidak akan mampu dan berupaya mencorak jati diri. Apabila ini berlaku, adalah penting untuk mengambil langkah melihat dan menilai keadaan.
Adakah anda menggigit lebih banyak daripada apa yang anda boleh kunyah? Jika ya, mengapa? Mengatakan tidak kadang-kadang tidak membuat anda seorang yang egois. Ia tidak menjadikan anda tidak bertanggungjawab. Mengatakan tidak, menghantar mesej bahawa anda adalah individu lain yang ingin dihormati untuk pendapat dan perasaan anda, tanpa mengira kedudukan anda. Ia membantu anda melakarkan garis pemisah antara individu yang mudah tertipu dan tegas.
Apabila tugasan diberikan secara berterusan dan tidak perlu dikendalikan pada saat akhir, ia mungkin menandakan bahawa kita mengambil masa dan usaha orang lain dengan mudah. Ia juga membawa kepada pengambilan keputusan yang lemah dan lebih banyak ruang untuk berlakunya kesilapan.
Kajian oleh Arnott dan Daco (Warwick Business School) menunjukkan bahawa jika kita menjadikan kebiasaan menyempurnakan tugasan pada saat akhir, ianya secara drastik mempengaruhi gred pelajar. Mereka mendapati bahawa pelajar yang sering menghantar tugasan mereka disaat akhir turut memperolehi dan mendapat markah yang rendah. Perkara yang sama boleh digunakan untuk persekitaran kerja kita.
Walaupun kita merasakan bahawa kita bekerja dengan lebih baik di bawah tekanan, bolehkah kita mengatakan bahawa kita telah menyediakan kerja yang terbaik?
Seseorang yang mengatakan ‘ya’ sepanjang masa tetapi sering merungut mengenai kekecewaannya dan meluahkan perasaan mereka di tempat lain, tidak patut dipuji atau di beri galakkan. Kita juga tidak harus mengucap tahniah kepada mereka yang sering “tidak pernah mengatakan tidak".
Sesiapa sahaja tentunya lebih suka dikelilingi oleh mereka yang mempunyai persamaan pendapat atau mereka yang baik dengan kita dan bukan mereka yang ‘jujur dengan pandangan mereka.’ Berada dalam budaya ‘pak angguk, pak turut’ memang menghiburkan dan rasa selamat.
Walau bagaimanapun, ia juga sangat berbahaya untuk berada di zon ini. Sekiranya kita mendapati pasukan kita mengikut dan menurut sahaja akan setiap tugasan yang diberikan tanpa persoalan dan mendapat apa yang kita mahu apabila kita memerlukan, sudah tiba masanya untuk mengkaji semula cara kita berkomunikasi. Adakah kita dikelilingi oleh "kaki sedut" atau dikelilingi oleh orang yang akan memberikan maklum balas yang jujur tanpa rasa takut atau gentar.
Sesebuah organisasi akan ‘menerima pembaharuan atau inovasi’ idea baru dipersembahkan; apabila maklum balas diterima dengan terbukaan, dan apabila pengurusan tidak berdolak-dalik. Kebanyakkan ‘pak angguk , pak turut’ mampu menjalankan tugas dengan baik tetapi mereka tidak akan mampu mencabar idea untuk melihat jika keberkesanan tugasan yang diberikan. Anda mungkin terlambat untuk mengetahui sama ada pasukan anda percaya dengan apa yang anda lakukan
“Jika sebuah organisasi membenarkan dan menanam budaya ‘pak angguk, pak turut’, mereka secara tidak sengaja membiakkan budaya penakut dan pengecut dalam menyuarakan pendapat atau/dan hanya berdiam diri dan hujung bulan mengutip cek gaji mereka. Sesuatu persekitaran landskap organisasi dengan ketua atau pemimpin yang tidak mengalukan perbezaan pendapat dan usaha kerjasama, akan terjebak dengan azab dan menjejaskan risiko urusan kerja. " (Lousia Devadeson: Lose the Yes Men)
Apabila kakitangan dan pekerja tidak mahu lagi berbincang dengan pihak pengurusan dan pentadbiran, ia menunjukkan rasa ketidakpuasan hati mereka. Semakin ramai kakitangan dan pekerja ‘menutup mulut’ mereka, lebih banyak risiko sesebuah organisasi akan tanggung. Ia seperti mempunyai satu kumpulan robot yang melakukan tugas mereka tanpa rasa ikatan atau rasa kepunyaan.
Ketahuilah bahawa kita mempunyai pilihan. Sering kali, kita menjadi orang yang ‘menurut sahaja’ kerana takut kehilangan kerja kita, atau ‘ketua atau bos’ mungkin berfikir kita tidak cekap atau tidak cukup "rajin". Anda mungkin merasa terperangkap. Ketahuilah bahawa tidak kira apa keadaan, kuasa pilihan berada di tangan anda. Tanyalah diri sendiri, "Jika saya tidak mengatakan ini untuk alasan yang baik, apakah hasil yang paling mungkin akan terjadi?"
Apakah perkara paling penting di fikiran anda sekarang? Adakah anda mampu menerima lebih banyak tugasan? Kadang-kadang kita menerima lebih banyak daripada yang kita dapat kendalikan kerana kita berfikir bahawa kita mampu memaksa diri kita sendiri. Tetapi ia lebih banyak memudaratkan daripada yang baik kerana anda akhirnya anda akan menyusahkan diri dan kesihatan anda.
Ingatlah bahawa kejujuran adalah ciri yang harus dipuji. Melengkapkan tugas yang diberikan kepada anda dengan kesempurnaan adalah sesuatu yang hebat. Mengetahui di mana dan bila untuk membuat garis pemisah adalah bahagian yang sukar. Ingatlah bahawa komunikasi terbuka sangat penting dalam menjayakan tugasan berkumpulan. Begitu jugalah dengan ‘mendengar dengan jujur dan ikhlas’. Bersedialah untuk mendengar secara telus apa yang dikatakan dan dirasakan oleh kakitangan dan pekerja atau rakan sepasukan anda (yang mungkin tidak terang-terang memberitahu anda) sebelum terlambat.
"Saya tidak mahu ‘pak angguk, pak turut’ di sekeliling saya. Saya mahu semua orang mengatakan kebenaran. Walaupun ia menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan mereka. "-Samuel Goldwyn

