?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Apabila kebanyakan orang bercakap mengenai kurikulum persekolahan, mereka hanya berfikir tentang matematik, sains, sosial, dan kursus bahasa. Jarang sekali kita mendengar atau membaca tentang nilai-nilai moral sebagai sebahagian daripada kurikulum.

Masalahnya ialah pengabaian pengajaran nilai moral di sekolah memberi kesan kepada  pelajar kita dan menyebabkan timbulnya masalah dalam masyarakat. Jika seseorang tidak pernah mempelajari nilai-nilai moral, bagaimanakah sesorang itu boleh membezakan perbezaan antara yang benar dan salah? Pada dasarnya itulah intipati pendidikan nilai moral.



Sebagai pendidik dan ibubapa, kita seharusnya menerapkan pengajaran nilai murni di sekolah.

Ilmu pengetahuan yang diperolehi disekolah hanyalah salah satu matlamat dalam pendidikan. Matlamat utama pendidikan adalah untuk membolehkan kanak-kanak memperolehi pengetahuan dan nilai moral. Anak-anak memerlukan kedua-duanya bagi menyediakan mereka untuk menjadi rakyat dan bakal ibubapa yang baik dalam sesuatu masyarakat.

Jika semua ibubapa turut mengajar dan mendidik anak mereka nilai moral dirumah, maka tidaklah perlu pihak sekolah mengajar matapelajaran moral di sekolah. Fakta yang menyedihkan adalah ramai anak-anak tidak mempelajarinya dari ibubapa masing-masing mengenai perbezaan perkara baik dan buruk. Ini adalah kerana kebanyakan ibubapa sibuk dengan pekerjaan masing-masing dan mungkin hanya meluang masa yang terlalu sedikit atau terhad bersama anak-anak mereka. Ini adalah jelas kerana setiap keluarga hanya mempunyai hanya ibu dan bapa mereka sahaja untuk dijadikan sebagai ‘model’ untuk diikuti.

Kita sedia maklum dan sering terpapar di media, setiap hari pelajar terdedah kepada keganasan, ketidakjujuran, dan masalah sosial lain. Kerap kita mendengar dan membaca tentang salahlaku seks di sekolah. Bagaimana dengan masa-masa lain apabila pelajar ditangkap menipu dalam peperiksaan? Kemudian, kita juga membaca tentang membuli di sekolah dan pergaduhan antara kumpulan. Sekiranya nilai-nilai moral diajar di sekolah, kita akan dapat menghindari masalah ini.

Malangnya, harapan untuk mencontohi mereka yang dianggap sebagai ‘rujukan model’ sendiri menunjukkan contoh buruk. Contoh-contoh buruk ini terdiri dari pergaulan seksual bebas dan tidak terbatas, merendahkan martabat wanita, menganjurkan  keganasan, dan bersikap tidak jujur untuk berjaya. Nilai moral perlu dipelajari bagi mengatasi pengaruh buruk dalam masyarakat.

Kita akan tentunya akan lupa ilmu matematik dan sains yang kita pelajari ketika di zaman sekolah dahulu. Walau bagaimanapun, kita tidak pernah lupa akan nilai moral yang dipelajari di sekolah. Contoh satu pembelajaran moral yang boleh dipelajari adalah ketika ‘kontroversi aksi perlawanan kelayakan Piala Asia 2017 diantara Hong Kong dan Malaysia pada September 2017 di Melaka.” Keputusan pengadil yang membuang dua pemain Harimau Malaya dalam perlawanan tersebut adalah tepat. Dalam permainan seperti bolasepak, bukan  pengadil perlawanan yang membuat pasukan anda tewas tetapi ‘kita sendiri yang menyebabkan kita tewas kerana tidak memahami atau dangkal dengan peraturan perlawanan.” Sebagai pemain, kita harus tahu membuat penilaian terhadap kerakusan dan kegagalan mengawal diri sendiri.

Dalam kebanyakan kes, jika anda berbuat baik terhadap seseorang, seseorang itu pasti akan berbuat baik kepada anda. Walau bagaimanapun, ini bukanlah maksud sebenar berbuat baik. Berbuat baik hendaklah dan harusnya  tanpa mengenakan syarat. Dengan lebih banyak berbuat baik, pastinya kekejaman tidak akan wujud.

Anak-anak hendaklah diajar bahawa ketidakjujuran dan penipuan adalah salah, dan tidak akan membawa anda ke mana-mana. Sebagai seorang pelajar, kehidupan anda akan terjejas jika anda cuba menipu dan bersikap tidak jujur, kerana tindakan ini akhirnya akan memberi kesan dan akibat buruk akhirnya.

Ada kajian menyatakan bahawa kejayaan adalah satu peratus inspirasi dan 99 peratus kerja keras atau usaha sebenar. Kerap juga kita terbaca bahawa , begitu ramai pelajar menipu dan mencari jalan pintas dan mudah dalam melaksanakan tugasan kerja kursus dan  kajian mereka kerana mereka tidak mahu berusaha atau malas dan tidak menitikberatkan nilai dalam usaha dan  kerja keras. Pemikiran ini pastinya harus dan mesti berubah.

Malangnya, dalam senario yang sangat kompetitif kini, ramai yang akan menginjak orang lain untuk maju ke hadapan. Menghormati orang lain harus termasuk menghormati agama, kaum, jantina, idea, dan gaya hidup yang berbeza.

Belas kasihan ditakrifkan sebagai sensitif terhadap keperluan orang lain. Sekiranya terdapat lebih banyak perasaan belas kasihan di dunia, tentu akan berkurangnya gelandangan, kelaparan, peperangan, dan kesedihan.

Agama  mengajar kita untuk memaafkan musuh kita atau orang yang menyakiti kita. Kemarahan dalam kebanyakan kes adalah disebabkan oleh keengganan untuk memaafkan orang lain. Keganasan dan pergaduhan di sekolah akan berkurangan  jika pelajar dapat mempelajari dan memahami kebaikan nilai moral ini.

Dalam mana pembelajaran nilai moral diterapkan dalam kurikulum semua mata pelajaran adalah dijangkakan bahawa pastinya akan terserlah amalan nilai murni dalam kehidupan kita.

Azizi Ahmad Berita Harian Interaktif E-Mel Pembaca 30 September 2017

Posts from This Journal by “moral” Tag

Latest Month

December 2017
S M T W T F S
     12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow