?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Mengenal negarawan

Jika sebelum ini kita sering mendengar tujuh individu menyertai rombongan Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London bagi menuntut kemerdekaan negara tetapi tidak mengetahui latar belakang mereka.

Barangkali hanya tiga daripada tujuh nama individu terbabit lebih dikenali umum sama ada daripada segi kisah pembabitannya dalam bidang politik sehinggalah sisi kehidupan peribadi mereka.

Mereka yang dimaksudkan ialah Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V T Sambathan.

Namun hakikatnya, empat individu yang lain iaitu Tun Temenggung Jugah Anak Barieng, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Mohd Fuad Stephens dan Tun Dr Lim Chong Eu tidak boleh dipandang sepi meskipun nama itu jarang didengari.




Ini kerana jasa dan sumbangan mereka terhadap negara cukup besar selain membantu dalam pembentukan Malaysia pada 1963.


MEMORIAL Negarawan mengabadikan jasa tujuh tokoh negarawan.

Walaupun semua tokoh itu sudah meninggal dunia tetapi aura kepemimpinan mereka seolah-olah masih hidup apabila kisah mereka diabadikan di Memorial Negarawan di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur.

Pembinaan memorial itu sebagai pengiktirafan di atas sumbangan mereka yang turut membantu mewujudkan Malaysia menjadi negara maju, aman, bersatu padu dan bertoleransi.

Dibuka kepada umum pada September lalu, memorial terbabit menempatkan koleksi barangan peribadi milik tokoh berkenaan yang disumbangkan oleh keluarga mereka dan yayasan masing-masing.

Apa yang menarik mengenai muzium itu ialah ia melambangkan konsep 1Malaysia kerana tokoh terbabit terdiri daripada pelbagai kaum dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

1. Tun Dr Ismail Abdul Rahman

Dilahirkan pada 4 November 1915 di Johor Bahru. Pembabitan awal beliau dalam politik negara bermula selepas menjadi ahli jawatankuasa pertama Hizbul Muslimin pada 1948. Setelah Persekutuan Tanah Melayu dibentuk, beliau dilantik sebagai ahli Bebas Dewan Undangan Negeri Johor.

Beliau menyertai UMNO pada 1951 dan sejak itu memegang beberapa jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pusat UMNO, Jawatankuasa Siasah dan Pilihanraya serta Pengerusi Jawatankuasa Kewangan UMNO.

Kemudian, beliau dipilih sebagai Naib Presiden UMNO dan seterusnya Timbalan Presiden UMNO. Pada awal 1952, beliau terbabit dalam pembentukan Perikatan membabitkan UMNO dan MCA. Sekali lagi pada 3 Februari 1953, beliau mewakili UMNO dalam Rundingan Meja Bulat di Kuala Lumpur bagi mengukuhkan hubungan UMNO-MCA.

Ketrampilan politiknya menyebabkan Tun Dr Ismail dipilih menyertai rombongan kemerdekaan yang bertolak ke London pada 1 Januari 1956 bersama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Razak, wakil raja dan beberapa tokoh politik lain.


TUN Dr Ismail.

Selepas menyandang jawatan sebagai Menteri Berkuasa Penuh Tanpa Jabatan pada September 1957, beliau kemudian dilantik menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada November 1960 bagi menghadapi suasana darurat dihadapi Tanah Melayu akibat aktiviti militan Parti Komunis Malaya.

Tun Dr Ismail terpaksa berhadapan konfrontasi Malaysia-Indonesia yang berlaku pada 1963 kerana Indonesia tidak mengiktiraf penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Bagaimanapun, ketegasan beliau sebagai seorang pemimpin Malaysia berkaliber terserlah apabila mampu menyangkal semua tuduhan dilemparkan Indonesia terhadap Malaysia.

Dalam kalangan rakyat dan pemimpin negara, beliau dipandang sebagai seorang negarawan berdedikasi terhadap amanah diberikan. Beliau meninggal dunia pada 2 Ogos 1973.

2. Tun Tan Cheng Lock

Beliau pemimpin politik Cina di Tanah Melayu dan presiden pertama Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) pada 1949 hingga 1958.

Pada 23 Ogos 1953, beliau mewakili MCA ke Konvensyen Kebangsaan yang ditaja UMNO dan sebuah perjanjian kerjasama dimeterai antara UMNO dan MCA dengan persefahaman untuk mencapai kemerdekaan melalui secara aman.

Beliau memainkan peranan penting memperjuangkan kedudukan orang Cina di Persekutuan Tanah Melayu dengan memastikan mereka mendapat perhatian daripada kerajaan British.


TUN Tan Cheng Lock.

Selain itu, beliau juga mempunyai pandangan tinggi dalam dunia pendidikan dan antara idea pendidikannya ialah menubuhkan sekolah berasaskan pertanian serta beraliran perdagangan.

Pengalaman luas dalam sektor pertanian khususnya getah, membolehkan beliau menjadi penyumbang kepada termeterainya Perjanjian Kawalan Getah Antarabangsa dengan Syarikat Hindia Timur Belanda dan tujuh negara lain iaitu Sri Langka, India, Myanmar, India-China, Thailand, Sarawak dan Borneo Utara pada Jun 1934.

Perjanjian itu berjaya mengawal pengeluaran getah dunia dan berjaya meningkatkan harga di pasaran dunia.

Beliau meninggal dunia pada 13 Disember 1960 pada usia 77 tahun di Hospital Melaka dan disifatkan sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan negara dan orang penting dalam Parti Perikatan.

3. Tun V T Sambanthan

Nama sebenarnya ialah Veerasamy Thirunyana Sambanthan dan berminat dalam politik selepas melanjutkan pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Annamalai, Chidambaram, Tamil Nadu, India.

Beliau mendukung ideologi Mahatma Gandi sehingga mendorongnya menubuhkan Sekolah Rendah Tamil Mahatma Gandi di Sungai Siput, Perak bagi meningkatkan mutu pendidikan anak buruh India.

Penubuhan sekolah berkenaan melonjak publisitinya sehingga dicalonkan jawatan Presiden MIC pada 1955 dan jawatan itu memberi laluan mudah kepadanya merajui kepemimpinan dalam kerajaan Malaysia.

Selain itu, beliau turut memegang beberapa jawatan dalam Kabinet seperti Menteri Kesihatan pada 1957 hingga 1959, Menteri Kerja, Pos dan Telekomunikasi (1959 hingga 1969) dan Menteri Perpaduan (1970 hingga 1974).


TUN V T Sambanthan.

Kedudukan sebagai Presiden MIC dan menteri Kabinet memberi peluang yang luas untuk membabitkan diri dalam proses kemerdekaan negara.

Beliau turut serta dalam rundingan terakhir untuk meyakinkan pihak British bahawa tiga kaum di Tanah Melayu bersatu padu dalam proses menuntut kemerdekaan.

Pada 1974, beliau mengundurkan diri daripada politik dan meninggal dunia lima tahun kemudian akibat serangan jantung.

Nama beliau diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan Tun Sambanthan dan sebuah bangunan iaitu Wisma Tun Sambanthan Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap, Kuala Lumpur.

4. Tun Dr Lim Chong Eu

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan dengan Angkatan Tentera Udara Tambahan Malaya dari 1951 hingga 1954.

Namun, semangat beliau untuk berbakti kepada masyarakat lebih mendalam yang akhirnya membawanya menyertai bidang politik dan dilantik sebagai Ahli Majlis dalam Penang Straits Settlements Council pada tahun 1951.

Bekas Presiden Parti Radikal itu menyertai Parti MCA pada 1954, namun empat tahun kemudian meletakkan jawatan sebagai Presiden MCA untuk menubuhkan Parti Demokratik Bersatu (UDP).

Beliau kemudian meninggalkan UDP untuk menubuhkan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan menjadi presiden parti itu pada 1969 hingga 1980.


TUN Dr Lim Chong Eu.

Kemenangan besar GERAKAN dalam pilihanraya pada 1969 menyebabkan beliau dilantik menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang pada Mei 1969.

Antara sumbangan beliau sepanjang 21 tahun menjadi ketua menteri ialah membangunkan Menara Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) setinggi 65 tingkat yang menjadi nadi utama pentadbiran kerajaan.

Beliau juga merancang projek besar di Pulau Pinang termasuk projek Jambatan Pulau Pinang yang merentas laut menghubungkan Georgetown dengan Seberang Prai.

Bapa kepada empat anak itu meninggal dunia pada 24 November 2010 pada usia 91 tahun di kediamannya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

5. Tun Datu Mustapha

Berasal dari Kampung Limau-Limauan, Kudat, Sabah. Semasa pemerintahan British di Sabah, beliau dilantik menjadi Ketua Anak Negeri Gred 1 bergelar Orang Kaya-Kaya. Jawatan itu adalah paling tinggi yang pernah dipegang oleh kaum pribumi Sabah di bawah pemerintahan British.

Selepas Sabah mencapai kemerdekaan, beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah pertama dan pada Julai 1966, dilantik sebagai menteri Kabinet.

Kemudian, pada 1967, beliau menjadi Ketua Menteri Sabah ketiga dari 1967 hingga 1975 apabila Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (UNSO) memenangi Pilihanraya Negeri pada 1967.

Beliau dipilih menjadi Presiden UNSO pertama di Kudat dan bersama-sama Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO) memberi sokongan kepada cadangan penubuhan Malaysia.


TUN Datu Mustapha.

Kejayaan beliau dalam mencorakkan kestabilan politik di Sabah, akhirnya menjayakan penubuhan Malaysia pada 1963.

Atas usaha gigih untuk merdeka, beliau bersama-sama rakan seperjuangannya berjaya melihat Sabah diberikan taraf kerajaan sendiri pada 31 Ogos 1963.

Seterusnya Sabah dimerdekakan pada 16 September 1963 menerusi pembentukan Malaysia.

Beliau meninggal dunia pada Januari 1995 pada usia 76 tahun tetapi jasanya sebagai Bapa Kemerdekaan Sabah tetap dikenang sebagai sejarah penting kepada negeri berkenaan.

6. Tun Fuad Stephens

Beliau bekas guru dan wartawan yang akhirnya berkecimpung dalam bidang politik di negeri kelahirannya, Sabah.

Pada 1955, beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Perundangan Negeri dan empat tahun kemudian dilantik menjadi Ahli Majlis Tertinggi Kerajaan Borneo Utara.

Beliau sentiasa menitikberatkan kepentingan perpaduan dalam perjuangannya dan memainkan peranan utama dalam pembentukan Parti Perikatan Sabah pada 1962.

Pada awalnya, pembentukan Malaysia menimbulkan pelbagai reaksi penduduk Sabah dan akhirnya beliau menyokong penyertaan Sabah membentuk Malaysia demi kepentingan penduduk serta masa hadapan negeri itu.


TUN Fuad Stephens.

Cabaran terbesar beliau dalam politik ialah mengajak penduduk Sabah menyokong pembentukan Malaysia dan cabaran pihak luar iaitu Indonesia serta Filipina yang mengancam melancarkan konfrontasi jika Sabah menyertai pembentukan Malaysia.

Tun Fuad Stephens pemimpin yang turut menandatangani Perjanjian Penubuhan Malaysia di London pada 12 Julai 1962 dan menjadi orang pertama dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

Beliau meninggal dunia dalam kejadian pesawat dinaiki bersama beberapa anggota Kabinet Sabah terhempas di Kampung Sembulan kira-kira dua meter dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Jun 1976.

7. Tun Temenggung Jugah Anak Barieng

Ketua pemimpin masyarakat Iban yang dilahirkan pada 1903 di Kapit, Sarawak mula mendapat perhatian kerajaan apabila mengambil bahagian dalam upacara perdamaian antara orang Iban Batang Rejang dengan Orang Kayan di Long Nawang dari Kalimantan pada November 1924.

Perdamaian dipengerusikan oleh Raja Charles Vyner Brooke yang membawa penyelesaian masalah perbalahan antara kedua-dua suku kaum sebelum ini yang menyebabkan banyak kesusahan dan pertumpahan darah.

Kepemimpinan dan kepercayaan daripada penjajah kepadanya menjadi langkah awal penonjolan negarawan ini untuk terus melangkah ke dunia politik sebenar.


TUN Temenggung Jugah Anak Barieng.

Karier politiknya mencapai kemuncak apabila dilantik sebagai Presiden Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA). Beliau menjadi tokoh penting apabila menubuhkan parti berkenaan selain peranannya banyak mengangkat martabat kaum Iban serta menjadikan mereka lebih terbuka untuk berinteraksi dengan kaum lain.

Beliau juga memainkan peranan kepemimpinannya dalam merealisasikan impian pembentukan Malaysia. Pada 15 November 1962, beliau berjaya mengumpulkan 51 ketua kaum Iban dan penghulu di Kapit untuk mendapat persetujuan mereka menyertai Tanah Melayu, Sabah dan Singapura dalam membentuk penggabungan negeri menjadi Malaysia.

Pada 8 Julai 1981, beliau meninggal dunia pada usia 78 tahun akibat masalah kesihatan termasuk penyakit angin ahmar.

Tags:

Posts from This Journal by “sejarah” Tag

  • Teori asal usul nama Malaysia

    SEBELUM nama Malaysia, negara kita dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Selepas merdeka pada tahun 1957, namanya berubah kepada Persekutuan…

  • Tarikh kemerdekaan ilham daripada ulama

    SETIAP kali menjelang hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos, hanya beberapa nama popular yang sering kedengaran. Nama-nama itu ialah Tunku Abdul…

  • Mat Kelubi pahlawan yang dilupakan

    MENGKAJI sejarah perjuangan gerakan menentang campur tangan Inggeris dalam pemerintahan negeri Pahang pada hujung abad ke-19, ia tidak lengkap jika…

Latest Month

June 2019
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow