?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Tiada ibu bapa mahu anak hidup susah Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana Pedas-Pedas Kari 19 November 2017

Laporan muka depan Kosmo semalam bertajuk “Ibu bapa tanggung anak sampai mati” menarik untuk diteliti oleh semua peringkat masyarakat. Semacam trend baru anak muda yang sudah bekerja di Malaysia menjadikan ibu bapa mereka seperti ‘bank segera’.

Bukan sahaja masih meminta wang bantuan untuk pen­da­hu­luan membeli kereta, sewa rumah malah majlis kenduri kahwin.

Wang yang diminta bukan sedikit. Kalau minta duit pen­dahuluan membeli kereta kecil pun sudah lebih RM4,500. Bagi yang bertemu jodoh waktu muda, belanja kenduri kahwinkan anak sekarang bukan macam dahulu cukup RM5,000 tidak terma­suk wang hantaran. Sekarang kalau duit tak ada RM20,000, alamat kena buat pinjaman peribadi daripada bank.

Sewa rumah pun perlu didahulukan dengan bayaran deposit dua bulan. Kalau sewa satu bulan RM800 bermakna kena sediakan RM1,600. Inilah hakikat yang dihadapi oleh anak-anak dan ibu bapa di seluruh Malaysia.

Duit gaji eksekutif muda yang berijazah, setakat RM3,000 tak cukup. Macam-macam perlu dibayar. Kena pula membantu keluarga di kampung.

Laporan HSBC Bank Malaysia Bhd. (HSBC Malaysia) menerusi kajian Kuasa Perlindungan baru-baru ini mendedahkan kira-kira 57 peratus ibu bapa di Malaysia masih memberi sokongan kewangan kepada anak-anak mereka berusia lebih 18 tahun.

Pada pandangan saya, kebanyakan golongan ibu bapa kate­gori ini membantu kerana anak belum bekerja atau masih menuntut pelajaran di kolej atau universiti. Bukan semua ibu bapa mahu anak-anak mereka terjerut dengan beban pinjaman PTPTN.

Sara hidup anak yang masih belajar perlu dibantu. Yuran pengajian, makan minum, kos pengangkutan dan penginapan perlu dibayar. Bagi ibu bapa yang masih bekerja dan berusia per­tengahan 40-an dan 50-an, bersesuaian dengan gaji besar, bantuan kewangan tersebut bukan menjadi masalah besar.

Jadi tidak hairan bagi saya apabila Ketua Negara, Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Bank Malaysia, Lim Eng Seong berkata, tinjauan berjudul 'Mendepani Masa Depan' itu turut mendapati, ibu bapa di Malaysia berada pada kedudukan keempat peringkat global dalam menyokong kewangan anak-anak mereka yang dewasa, manakala Emiriah Arab Bersatu berada di tempat teratas.

Menurut Eng Seong, sebanyak 50 peratus ibu bapa masih memberi bantuan meskipun sebahagian besar (64 peratus) daripada mereka percaya bahawa anak-anak perlu berdikari apabila sudah dewasa.

“Pendidikan merupakan perkara paling banyak dibantu oleh ibu bapa (69 peratus), manakala 41 peratus menyokong dari segi kos kehidupan harian termasuk bil utiliti, barang keperluan dapur dan pembaikan kediaman. Selain itu, mereka turut membantu dari segi perubatan dan penjagaan pergigian (38 peratus) dan 27 peratus dalam kos kemudahan atau sewa,” katanya.

Hakikatnya tiada ibu ba­pa yang mahu melihat anak mere­ka hidup susah. Di sebaliknya, kebanyakan ibu bapa yang menyara anak de­­wasa akan berasa puas ke­ra­na dapat membantu ke­luarga mereka.

Memanglah trend anak yang bekerja tapi minta duit ibu bapa ini agak meri­sau­kan pakar sosial, Dr. Fatimah Daud.

Beliau menya­takan ke­­­­ba­­­­nyakan anak muda za­­man ini tidak berasa se­gan untuk me­minta duit tam­bahan dari­pada ibu bapa sedangkan mere­ka mam­pu untuk melan­cong ke luar negara setiap tahun.

Dalam sesetengah per­be­lan­jaan seperti perkahwinan dan mem­beli rumah, ada anak muda yang mahu kese­mua perbelanjaan itu ditang­gung oleh ibu bapa dengan memberi alasan tidak cukup duit kerana belum bekerja atau tiada tabungan.

Secara realiti, kata Dr. Fatimah, ibu bapa di Malaysia ketika ini sudah menjadi bank segera atau insurans kewangan kepada anak-anak yang sudah dewasa. Jika tidak cukup duit, mereka tidak risau kerana tahu ada ibu bapa akan tolong.

Tertekan

Sesungguhnya inilah hakikat yang kita perlu terima. Kos sara hidup sekarang tidak macam 30 tahun dahulu. Anak mu­da zaman itu, dengan gaji RM800 sebulan pun boleh ‘hidup selesa.’

Harga tambang pengangkutan ke tempat kerja secara kasar RM2 sehari. Minyak petrol di bawah RM1. Harga ikan, sayur dan keperluan harian lain pun murah. Kadar rumah sewa pun tak membebankan. Jauh sangat bezanya dengan kos sara hidup yang dihadapi oleh anak-anak muda sekarang.

Kalau dahulu beli kereta baru, lepas tiga tahun mahu dijual, kereta lama itu masih ada nilai yang baik, tak macam sekarang, lepas sebulan beli, dan mahu jual semula - terus jatuh nilainya – merugikan.

Harga rumah pula melambung tinggi. Macam-macam lagi yang berharga mahal sebab mungkin semua ahli perniagaan besar dan kecil ingin mencari keuntungan yang tinggi, konon menyahut seruan kerajaan supaya rakyat berpendapatan tinggi.

Namun hakikatnya tauke dan majikan yang dapat untung besar, pekerja masih dengan tangga gaji sama. Bayangkan ada majikan yang boleh beri bonus dua hingga empat bulan gaji tapi kenaikan gaji tahunan cuma RM16 setahun.

Apa yang dilalui dalam kehidupan anak-anak muda sekarang perlu dibantu oleh ibu bapa masing-masing. Tidak boleh lepas tangan. Jangan biar hidup anak-anak tertekan sedangkan ada ibu bapa yang masih bekerja dan sedia menghulur bantuan kewangan.

Tambahan lagi ibu bapa yang bekerja dengan pihak swasta yang sudah melepasi umur 55 tahun. Wang caruman KWSP yang ada boleh membantu anak-anak, di samping mereka masih terus bekerja hingga umur 60 tahun.

Saya bersimpati dengan anak-anak muda yang tidak mendapat bantuan kewangan kerana kekangan kehidupan dan keupayaan dari segi kewangan daripada ibu bapa mereka. Masa­lah kos sara hidup dan hutang-piutang ditanggung sendirian.

Jika kerajaan melihat masalah ibu bapa terpaksa ‘menanggung anak sampai mati’ adalah tidak wajar berlaku maka saya cadangkan kadar kenaikan gaji yang rendah dan tidak seimbang dengan kenaikan kos sara hidup yang jauh lebih tinggi serta sukar dijangkakan itu dikaji semula.

Kenaikan kos sara hidup bukan hanya dalam perkara besar sahaja tetapi harus dilihat secara holistik melibatkan perkara kecil yang bukan barang kawalan seperti upah penjagaan anak, susu, lampin pakai buang, sabun pencuci, wang saku anak sekolah, tambang bas sekolah hingga bil utiliti dan lain-lain semuanya mengalami kenaikan.

Sekiranya gaji permulaan dan kenaikan gaji tahunan dinaik­kan, sedikit sebanyak dapat membantu mengimbangi dan meringankan beban kenaikan kos sara hidup serta mewujud lebihan tunai sekali gus meningkatkan kuasa beli anak-anak muda yang baru bekerja.


Cukup-cukuplah susahkan ibu bapa Rajmah Hasan Utusan Malaysia Rencana Ikat Tepi 20 November 2017

KALAU dari awal mak ayah dah beri ‘muka’, anak-anak pun naik mualah. Salah ibu bapa juga kalau membiarkan anak-anak terlalu bergantung dengan mereka. Nak itu ini semua dapat, jadi masa bilanya mereka nak tahu kesusahan kita.

Seorang teman bercerita, jirannya yang tiga tahun lagi nak bersara, sanggup membuat loan bank baharu sebab nak belikan kereta Myvi untuk memudahkan pergerakan anaknya yang masih melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Alasan si ibu (jiran teman) tak mahu melihat anaknya bersusah payah naik pengangkutan awam selain risaukan keselamatan. Alahai... so sweetnya ibu macam itu. Beruntung sungguh si anak ditatang sedemikian rupa walaupun sudah besar panjang.

Bukan iri hati tetapi sepatutnya anak-anak dibiar berdikari. Kalau dah diajar senang, sel-sel otak nanti tak berkembang pula. Dah susah nanti tahulah mereka cari jalan penyelesaian. Sebagai orang tua, kita bantu mana yang patut sahaja.

Ibu bapa harus memberi peluang dan kepercayaan kepada anak-anak untuk mencari duit poket sendiri tanpa perlu terlalu bergantung kewangan daripada mereka. Dengan cara begini, anak-anak akan lebih menghargai duit yang diperoleh.

Saya bersyukur dibenarkan arwah bapa untuk bekerja sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Jika ikutkan hatinya, dia memang tak bagi apatah lagi kerja yang saya mohon melibatkan syif. Begitupun ibu sentiasa menyokong.

Sejak diberi kepercayaan untuk mencari duit poket sendiri, saya tidak pernah meminta duit mereka, waima ketika belajar di IPT. Untuk menampung perbelanjaan, saya dan rakan sepengajian memohon kerja di kilang pada cuti semester.

Hakikatnya, keterlaluan melindungi permata hati pada akhirnya akan menyusahkan ibu bapa sendiri. Buktinya seperti mana dilaporkan sebuah akhbar kelmarin apa­bila semakin ramai ibu bapa terpaksa menanggung hidup anak sampai mati.

Memetik kajian Kuasa Perlindungan HSBC Bank Malaysia Bhd., yang mendedahkan kira-kira 57 peratus ibu bapa di negara ini masih memberi sokongan kewangan kepada anak-anak mereka berusia lebih 18 tahun.

Tinjauan bertajuk Mendepani Masa Depan itu turut mendapati ibu bapa di Malaysia berada pada kedudukan keempat di dunia dalam menyokong kewangan anak-anak dewasa mereka dengan Emiriyah Arab Bersatu berada di tangga teratas.

Yang peliknya anak-anak dah bekerja tetapi masih minta duit daripada ibu bapa. Ada tu, nak tuang minyak kereta pun minta mak. Minta tau, bukan pinjam! Dahlah harga petrol semakin naik. Kurang-kurang RM200 sebulan jugalah duit mak ‘dipaw’.

Bukan nak menuduh, tetapi kebanyakan anak lelaki yang suka buat ‘pinjaman’ daripada keluarga. Daripada membeli kereta, belanja kahwin sehinggalah membeli rumah. Anak bertanggungjawab pasti bayar berdikit-dikit, kalau tak, jadi tajaanlah.

Teringat pula saya kisah diceritakan kakitangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tentang seorang pesara mengeluarkan kesemua wang yang hanya tinggal RM20,000 untuk belanja kenduri kahwin anak lelakinya. Sedih tak dapat anak macam ni?

Boleh bayangkan tak kehidupan pesara berkenaan selepas itu. Apa lagi yang tinggal untuk dia terus me­nyara kehidupan? Mujur jika anak lelaki itu sudi mem­bela ayahnya. Kalau dapat menantu ‘hantu’, dicampaklah orang tua itu ke rumah orang tua.

Berbalik cerita jiran teman tadi, saya yakin ramai ibu bapa di luar sana juga risaukan keselamatan anak-anak, namun mereka tidak mampu membeli kereta dan memberi wang. Sebaliknya hanya doa dipanjatkan bagi me­ngiringi kejayaan anak-anak.

Seperti dinyatakan, kesusahan mendorong seseorang untuk terus memperbaiki hidup. Malah sudah terbukti, 36 daripada 100 individu terkaya di dunia lahir daripada keluarga susah.

Posts from This Journal by “ibubapa” Tag

Latest Month

August 2018
S M T W T F S
   1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031 

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow