?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Seperti di mana-mana tempat kerja yang lain sering kali kita terpanggil untuk melihat laporan penilaian prestasi kerja setiap tahun. Kebiasaannya juga ditempat kerja akan terpampang wajah mereka di sudut ‘Anugerah Perkhidmatan Cemerlang’ dan ada yang menerima anugerah tersebut sehingga 3 atau melebihi 4 kali dalam tempoh masa yang tertentu.

Dalam mengamati wajah mereka yang terpampang dan dianugerahkan penganugerahan ramai yang akan tersenyum dan terdiam memandangkan ada diantaranya yang tidak sepatutnya diberikan anugerah tersebut.


Tidak juga menghairankan jika terpampang ‘sambutan dan perkongsian kegembiraan’ di laman media sosial Facebook terutamanya dalam memaklumkan berita kejayaan mereka terutamanya yang baru memasuki alam perkhidmatan tidak sampai 5 tahun tetapi sudah menempa kejayaan kecemerlangan.

Bagi yang memahami bahawa diri mereka telah dinilai sebagai kakitangan yang tidak sehaluan dan dikategorikan sebagai ‘kakitangan yang memberi kesukaran kepada pihak pentadbiran dan pengurusan’, mereka tentunya tidak membenarkan kegawatan dalaman diri untuk mengubah ungkapan tersebut.

Kita tidak perlu mengeluarkan kalkulator atau mesin pengira untuk menjumlahkan peratusan atau markah yang diperolehi sepanjang tahun perkhidmatan memandangkan kita sendiri sudah tahu cara perolehan untuk membuat pengiraan atau hasil jumlah yang dijalankan sudah pun di tetapkan oleh ‘mereka’ yang diatas atau ‘yang mempunyai kuasa’.

Keriuhan dipersekitaran tempat kerja terutama mereka yang sering mengisytiharkan mereka bekerja dengan lebih hebat dan sepatutnya menerima penganugerahan dan tidak kurang pengulas profesional yang akan memberi komen ‘membina’ jelas ‘menceriakan’ tempat kerja.

Ada juga yang tentunya tidak mengambil bahagian dalam perbincangan intelektual yang dimaksudkan. Bukan kerana tidak mahu; tetapi tentunya kita tidak boleh membawa diri kita untuk memaklumkan kepada orang lain bahawa kita telah menerima jumlah yang sama selepas berkhidmat dengan setia selama lebih daripada 15 tahun dan ada yang sudah hampir usia persaraan.

Kita mungkin mula tertanya adakah kita harus menganggap diri kita ini lebih berharga dan harus dinilai lebih daripada sebenarnya. Haruskah kita menilai diri kita sebagai melebihi nilai yang sepatutnya.

Tentunya sukar dan mengecewakan untuk mengakui dan mempercayai bahawa kita juga berhak mendapat lebih daripada apa yang telah diberikan.

Sebagai seorang kakitangan akademik contohnya, mereka tentunya telah memberikan yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka tanpa memperhitungkan jumlah masa atau tenaga yang terpaksa dikorbankan.

Mereka yang tidak pernah dilaporkan memulakan kuliah lewat atau sering membatalkan jadual kuliah kerana menghadiri majlis bukan ‘hakiki’, yang menyiapkan proses pentaksiran pelajar seperti menanda tugasan pelajar dan kertas peperiksaan dalam tempoh yang telah ditetapkan dan digred mengikut cara yang adil, akan di sering dipinggirkan.

Ada diantara kakitangan yang dimaksudkan memahami bahawa kebanyakan pelajar menganggap mereka sebagai kejam kerana membuat pilihan untuk menjadi jujur, telus, dan betul dalam tindak-tanduk mereka dan bukannya mencari populariti.

Mereka-mereka ini memahami kekuatan dan kelemahan mereka; ketidakupayaan untuk menjadi ‘penggosok atau pengampu atau pembodek’ akan menjejaskan peluang untuk menikmati kemajuan kerjaya.

Mereka ini juga dikatakan ‘lemah’ kerana sering bekerja keras secara senyap tanpa memasarkan atau menonjolkan diri.

Sifat-sifat negatif yang digabungkan dengan watak sedikit ‘ego’ inilah yang membuat kumpulan kecil ini hampir mustahil untuk masuk ke dalam buku catatan baik pihak mereka yang ‘berkuasa’.

Mungkin tidak ramai dikalangan rakan sekerja yang sudi memberi kata semangat kepada kita dan tidak kurang yang akan mencemuh kita kerana tidak pernah menerima penghargaan. Namun kita tidak perlu berasa dan kelihatan kecewa kerana Allah yang maha berkuasa, adil dan ganjaran-Nya datang dalam cara yang berbeza.

Kita mungkin tidak akan mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang sehingga kita bersara. Namun berfikirlah dengan waras dan hati yang terbuka. Adakah anak-anak dan keluarga anda berada dalam keadaan sihat walafiat? Anda sekeluarga hidup dalam gembira dan harmoni. Bukankah itu lebih berharga daripada mencelarukan diri memikirkan apa yang orang lain dapat dan anda tidak?

Adalah lebih baik untuk kembali ke rumah dan menumpukan perhatian kepada anak dan keluarga anda agar berada dalam keadaan penuh kesejahteraan dan harmoni.

Bergembiralah dan bersyukurlah dan teruskanlah berusaha dan bekerja. Abaikan suara hati kecil negatif dan belajarlah bagaimana untuk mengambil mudah dan menikmati kehidupan yang sedia ada.

Lebih atau sedikit tugasan yang diberikan atau yang harus anda kerjakan, kita tetap menerima kenaikan yang sama. Ingatlah, "ganjaran dari Allah datang dengan cara yang berbeza."

Azizi Ahmad Berita Harian Interaktif Disember 1, 2017

Posts from This Journal by “writing” Tag

Latest Month

November 2018
S M T W T F S
    123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930 

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow