?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Kehidupan di dunia kini berkembang dengan begitu pantas dan cepat sehinggakan apa saja pengetahuan dan kemahiran yang perlu kita pelajari akan bertukar hanya dalam tempoh dekad ke dekad, atau malah tahun ke tahun. Jika itu tidak mencukupi, tumpuan mendalam terhadap pembelajaran dan teknologi pembelajaran akan terus muncul sehingga anda tidak dapat bernafas atau menyedut intipati pembelajaran yang diberikan.

Tahun demi tahun datang silih berganti tanpa henti sama seperti perubahan dalam ilmu pengetahuan serta teknologi. Oleh itu, jika tidak tahu dan tidak mahu untuk belajar, anda pastinya akan ketinggalan. Pembelajaran meta atau "meta-learning" adalah "satu kaedah belajar untuk mempelajari ilmu pengetahuan". Ia merupakan satu kemahiran yang penting di abad ke-21 dan ke-22 ini.

Tentu sekali, dalam era internet serta kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) kini, kita mempunyai pelbagai pilihan sumber bagi mendapatkan pengetahuan dan kemahiran untuk dipelajari. Kita boleh belajar dengan membaca buku, mendengar ‘podcasts’, melayari laman pembelajaran maya (virtual) secara atas talian (online) melalui internet, daripada seorang guru, rakan sebaya, atau dengan sesiapa sahaja.

Pembelajaran meta diperkenalkan oleh Donald B. Maudsley (1979) dan beliau menerangkan pembelajaran ini sebagai "satu proses di mana pelajar menyedari akan peningkatan dalam mengawal tabiat persepsi, inkuiri, pembelajaran dan perkembangan yang telah diperolehi."

Maudsley menetapkan asas konseptual teorinya sebagai disintesis di bawah tajuk andaian, struktur, proses perubahan, dan fasilitasi. Lima prinsip telah dinyatakan untuk memudahkan pembelajaran meta iaitu pelajar mesti:


  • mempunyai teori, tidak kira kuat atau lemah atau primitif;

  • belajar dalam persekitaran sosial dan fizikal yang menyokong;

  • mempunyai peraturan dan andaian sendiri;

  • mengaitkan realiti maklumat dari persekitaranr; dan

  • menyusun semula diri mereka dengan mengubah peraturan dan andaian.

Idea pembelajaran meta kemudiannya digunakan oleh John Biggs (1985) untuk menggambarkan keadaan "menyedari dan menguasai pembelajaran sendiri". Anda boleh mentakrifkan pembelajaran meta sebagai kesedaran dan pemahaman tentang fenomena pembelajaran itu sendiri berbanding dengan pengetahuan mata pelajaran. Terlibat dalam takrif ini adalah persepsi murid tentang konteks pembelajaran, yang termasuk mengetahui apa yang diharapkan daripada disiplin yang dipelajari dan lebih menjurus kepada tuntutan tugas pembelajaran yang diberikan.

Dalam konteks ini, pembelajaran meta bergantung kepada konsep pembelajaran murid, kepercayaan epistemologi, proses belajar, dan kemahiran akademik, yang boleh diringkaskan di sini sebagai pendekatan pembelajaran. Murid yang mempunyai tahap kesedaran pembelajaran meta yang tinggi akan dapat menilai keberkesanan pendekatan pembelajarannya dan mengaturnya sesuai dengan tuntutan tugas pembelajaran.

Sebaliknya, murid yang rendah tahap kesedaran pembelajaran meta tidak akan dapat memikirkan pendekatan pembelajarannya atau sifat tugas pembelajaran. Akibatnya, dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan jayanya apabila pembelajaran menjadi lebih sukar dan rumit.

Sumber National Training Laboratories, Maine

Berdasarkan grafik maklumat Piramid Pembelajaran dari National Training Laboratories, Maine, kadar pengekalan ingatan (antara indikator penting bagi mengukur keberkesanan pembelajaran) akan menjadi lebih baik dengan lebih banyak interaksi dan perbincangan. Tetapi ia juga bergantung kepada gaya belajar anda.

Sudah tentu cara utama untuk mengekalkan pengetahuan adalah dengan belajar, mengamalkan, menyerap, dan kemudian mengajar atau berkongsi semula apa yang anda tahu supaya orang lain dapat belajar dari pengetahuan anda. Dalam ertikata lain, selain menjadi guru dan mengajar, penulisan atau menulis adalah antara cara terbaik untuk mengartikulasikan pembelajaran anda.

Kajian "Do you think it is better to ‘learn’ from a good book or an accomplished person?" oleh Amit Somani (2017) juga menunjukkan dapatan 36 peratus responden bersetuju bahawa belajar daripada seseorang yang lain adalah lebih baik berbanding belajar terus daripada buku atau membaca sendiri, manakala 26 peratus responden bersetuju dengan kedua-duanya (iaitu belajar melalui buku sama baik dengan belajar daripada orang lain).

Dalam pada itu 23 peratus daripada responden memberi maklum balas ia "bergantung kepada kandungan pembelajaran yang disampaikan" dan baki 15 peratus responden lagi memilih "membaca buku" sebagai kaedah yang bagus.

Konsensus umum ialah belajar atau berguru dari orang lain adalah cara terbaik untuk belajar. Namun, pada pandangan penulis, jawapannya tidak begitu mudah. Versi jawapan saya ialah, ia bergantung kepada pelbagai perkara seperti yang anda cuba pelajari, tahap kemahiran sedia ada anda, akses kepada sumber pengetahuan dan kemahiran untuk membantu anda dan banyak lagi.

Mempelajari pengetahuan faktual

Bagi langkah awal atau permulaan, jika anda ingin belajar pengetahuan faktual atau beberapa kemahiran asas, maka taruhan terbaik untuk memulakannya adalah dengan membaca buku. Sebagai contoh, anda ingin belajar bagaimana untuk memprogram dalam bahasa baharu atau belajar tentang sejarah sebuah negara, buku akan menjadi titik permulaan yang bagus.

Ini kerana seorang pakar yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang mendalam telah membuat banyak pemikiran serta penyelidikan dalam membawakan pengetahuan itu melalui buku yang ditulisnya kepada pembaca termasuk anda. Anda juga akan memperolehi ulasan mengenai buku berkenaan dan apa yang telah dipelajari oleh orang lain daripada karya tersebut. Tentunya, ilmu pengetahuan dalam buku itu telah diolah dan disusun menjadi bahagian dan unit untuk kemudahan kegunaan anda. Anda boleh bebas berbuat apa sahaja seperti mencatat bacaan, membuat ringkasan, dan mengambil masa merenungkan perkara penting sambil anda mentelaah.

Pembelajaran secara "asinkroni" atau bukan secara langsung "dalam masa nyata" (real-time) dari buku sangat berharga. Ia tidak seperti berurusan dengan membaca dokumen melalui e-mel atau mempelajari sesuatu melalui perbualan telefon. Dengan buku, anda mempunyai masa untuk menjeda, membuat refleksi, dan menyemai pengetahuan. Sebagai contoh, jika belajar melalui perbualan telefon, anda perlu memberi tumpuan sepenuhnya, mampu menyerap dalam masa nyata dan mengambil nota serentak. Ia menjadikannya agak sukar.

Belajar untuk tingkatkan kemahiran

Sebaliknya, jika anda ingin mempelajari sesuatu kemahiran atau perkara bersifat kualitatif, atau mahu meningkatkan kemahiran sedia ada agar lebih maju, mungkin lebih baik belajar dari seseorang sebagai permulaan. Paling mudah untuk membayangkan perkara ini adalah latihan sukan. Anda boleh membaca semua buku yang anda mahu tentang bagaimana untuk memperbaiki strok anda dalam berenang atau memperkemas teknik pukulan bulu tangkis dalam permainan badminton. Namun, berlatih dengan jurulatih yang berkelayakan dan berpengalaman lebih ketara akan dapat membantu anda mempelajari teknik berkenaan dengan betul dan menguasainya dengan lebih cepat.

Terdapat beberapa kelebihan utama untuk mempelajari kemahiran seperti ini dari seorang pakar. Antaranya anda boleh mendapat perhatian khusus atau peribadi. Pakar yang berkelayakan dapat menilai dengan cepat di mana tahap anda berdasarkan kemahiran, persoalan, dan motivasi anda. Mereka juga mampu dan boleh menyesuaikan pendekatan pengajaran atau latihan dengan keperluan khusus anda.

Apa sekali pun, pengajar, jurulatih, guru, buku, mahupun internet hanyalah langkah atau titik permulaaan. Mengamalkan apa yang dipelajari yang akan menjadikannya kenyataan. Anda perlu berlatih, iaitu mempraktikkan atau mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari sehingga memperolehi kesempurnaan. Jika anda hanya membaca tetapi tidak mempraktikkan ilmu diperolehi, ia akan kekal hanya sebagai sebuah teori. Sebaliknya jika ia terus dipraktikkan dan mula diaplikasi, anda mungkin terlepas kemahiran asas. Sebaik-baiknya memanfaatkan kedua-dua perkara dan terus berada dalam gelung pembelajaran.

Gelung Pembelajaran.

Idea keseluruhan yang sebenarnya adalah untuk mempercepatkan proses pembelajaran supaya anda boleh menguasai ilmu pengetahuan ataupun kemahiran yang dipelajari dengan lebih cepat. Untuk menjadi seorang pakar, tahap anda perlu sentiasa melebihi orang lain, sama ada dari sudut membaca buku, latihan, mahupun amalan praktikal.

Kesimpulannya, dalam melalui peredaran masa, anda akan secara silih ganti akan berada di dalam gelung pembelajaran di antara buku dan pengajar (manusia), tanpa urutan tertentu. Apabila anda sampai ke peringkat lanjutan, manusia akan memainkan peranan yang lebih besar.

Apabila semakin dekat dengan tahap ‘penguasaan atau masteri’, anda akan mula belajar lebih banyak daripada manusia termasuk diri anda sendiri. Refleksi diri, jurnal, pengamatan diri dan pengajaran akan menjadi lebih penting daripada buku, atau bahkan guru individu. Justeru itu bak kata tokoh falsafah China, Confucius, "Jangan sesekali berkata tidak untuk belajar atau mengajar orang lain."



Alhamdulillah, artikel saya berjudul 'Pembelajaran Meta - Kepentingan Kemahiran Belajar Era Milinium' telah disunting dan disiarkan di Majalah Pendidik Bil 119 Januari 1, 2018.




https://www.pendidik.com.my/jan/item/604-pembelajaran-meta-kepentingan-kemahiran-belajar-era-milinium

Posts from This Journal by “pembelajaran” Tag

Latest Month

July 2018
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
293031    

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow