kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Di sebalik sejarah Sukan Komanwel

SUKAN Komanwel dianjurkan pada asalnya bertujuan untuk mengingati dan mempertemukan semula kesemua negara bekas jajahan British dari enam buah benua iaitu Afrika, Asia, Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah dan Oceania.

Dalam erti kata lain, ia bukan sekadar satu temasya sukan sebaliknya lebih dilihat untuk mengiktiraf penjajahan British di seluruh dunia yang pernah berlaku satu ketika dahulu.

Atas nama sukan, nama temasya ini dijaja sebagai yang kedua terpenting selepas Sukan Olimpik walaupun jumlah acara dan atlet yang terbabit jauh lebih rendah berbanding Sukan Asia.


Acara pembukaan temasya pertama di Hamilton, Kanada pada 1930 menyaksikan hanya 400 atlet daripada 11 negara mengambil bahagian.

Dianjurkan empat tahun sekali, sebenarnya tidak banyak bekas tanah jajahan British terutama di Asia dan Afrika mampu menjadi tuan rumah, sebaliknya negara yang mempunyai majoriti bangsa Inggeris lebih kerap silih berganti menganjurkan temasya.

Sejak diperkenalkan pada 1930, hanya tiga kali Sukan Komanwel diadakan di luar kepompong negara yang dikuasai bangsa Inggeris iaitu Jamaica (1966), Malaysia (1998) dan India (2010).

Berdasarkan rekod, daripada 20 edisi Sukan Komanwel yang dianjurkan sebelum ini, Kanada sudah empat kali bergelar tuan rumah iaitu edisi pertama (1930) di Hamilton, edisi kelima (1954) di Vancouver, edisi ke-11 (1978) di Edmonton dan edisi ke-15 (1994) di Victoria.

Britain yang diiktiraf kuasa penjajah terbesar di dunia satu ketika dahulu telah menganjurkan sebanyak enam kali iaitu pada edisi kedua (1934) di London, edisi keenam (1958) di Cardiff, Wales, edisi kesembilan (1970) di Edinburgh, Scotland, edisi ke-13 (1986) juga di Edinburgh, edisi ke-17 (2002) di Manchester dan edisi ke-20 (2014) di Glasgow.

Selebihnya di benua Oceania yang membabitkan Australia dan New Zealand iaitu Sydney (1938), Auckland (1950), Perth (1962), Christchurch (1974), Brisbane (1982), Auckland (1990) dan Melbourne (2006).

Dengan Gold Coast bakal menganjurkan temasya itu dari 4-15 April, ini bermakna Oceania akan menjadi tuan rumah buat kali kelapan dan muncul benua terbanyak menjadi tuan rumah.


Olahraga amat sinonim dengan Sukan Komanwel kerana ia menjadi acara yang tidak pernah ketinggalan dipertandingkan sejak edisi pertama sehingga sekarang.

Bagi Australia, ini merupakan kali kelima negara Kangaroo itu menjadi tuan rumah untuk muncul negara paling banyak menganjurkannya mengatasi negara-negara Komanwel lain yang berjumlah 72 kesemuanya.

Peliknya, mengapa tidak England muncul paling banyak menganjurkan temasya itu sedangkan negara tersebut merupakan tunjang kepada wujudnya Sukan Komanwel yang bertujuan mengingati dan mempertemukan kesemua bekas jajahan British.

Mengimbaskan kembali lahir­nya Sukan Komanwel, inisiatif asal menganjurkan temasya itu melibatkan negara Komanwel dalam skala lebih besar juga bukan datang daripada Britain sebaliknya ia bermula di Kanada.

Seorang yang sangat berpengaruh dalam sukan olahraga di Kanada ketika itu, Bobby Robinson telah memainkan peranannya dengan mewujudkan acara tersebut yang menjadi bahan perbualan orang ramai dalam kalangan negara Komanwel untuk lebih daripada 30 tahun.

Sebelas negara dengan 400 atlet telah menyertai Sukan Komanwel pertama. Bantuan dana sebanyak AS$30,000 telah disediakan oleh Dewan Bandar Raya Hamilton kepada negara yang menyertai Sukan Komanwel pertama bagi menanggung kos perjalanan mereka.

Sejak itu, Sukan Komanwel telah diadakan setiap empat tahun kecuali pada 1942 dan 1946 kerana Perang Dunia Kedua. Bermula tahun 1930 hingga 1950, Sukan Komanwel dikenali sebagai Sukan Empayar British.

Pada tahun 1966 hingga 1974, ia ditukar kepada Sukan Komanwel British dan bermula 1978, sekali lagi namanya ditukar kepada nama yang lebih mudah dan lebih terbuka, Sukan Komanwel dan kekal sehingga ke hari ini.

Tags: komanwel, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “sukan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments