kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Edisi pertama Sukan Komanwel 1930; Angkat berat sumbang emas penyertaan pertama Malaysia

Edisi pertama Sukan Komanwel 1930

Tercetusnya idea untuk mengadakan temasya sukan membabitkan negara-negara Komanwel bermula hasil perbincangan selama 30 tahun. Ia dicadangkan pada awalnya oleh John Astley Cooper menerusi satu artikel di akhbar The Times pada 1891.

Asalnya ia bertujuan untuk mempertemukan dan menge­ratkan hubungan negara anggota Empayar British yang mengamalkan bertutur dalam bahasa Inggeris sahaja menerusi festival sukan empat tahun sekali dengan permulaan diadakan secara kecil-kecilan sahaja .


KONTIJEN New Zealand bergaya ketika mengambil bahagian dalam acara pembukaan temasya 1930.

Pada 1911, pertandingan sukan itu akhirnya berjaya direa­lisasikan di Festival Empayar yang diadakan di The Crystal Palace, London sempena menyambut pertabalan King George V.

Sebahagian daripada festival itu diadakan Kejohanan Antara Empayar membabitkan beberapa negara jajahan seperti Australasia (Australia dan New Zealand), Kanada dan Afrika Selatan selain United Kingdom sendiri selaku penganjur dengan mempertandingkan acara olahraga, tinju, gusti dan renang.

Kanada diisytiharkan sebagai juara keseluruhan dan menerima trofi berupa piala yang diperbuat daripada perak setinggi dua kaki enam inci dan berat 340 auns yang disumbangkan Lord Lonsdale.

Sejak itu, festival tersebut senyap begitu sahaja sehingga Sukan Olimpik 1928 yang kemudiannya digunakan atlet daripada negara Empayar British untuk memulakan kembali perbincangan menganjurkan temasya pada skala yang lebih besar membabitkan negara yang lebih banyak.


PEMENANG dalam acara baling tukul besi ketika menerima hadiah dalam majlis penyampaian hadiah Sukan Empayar British 1930

Hasilnya lahir Sukan Empayar British pada 1930 yang kemudiannya diiktiraf sebagai Sukan Komanwel pertama walaupun menggunakan nama yang berbeza. Ia berlangsung di Hamilton, Kanada dari 16-23 Ogos dengan seorang atlet olahraga negara itu, Bobby Robinson menjadi tonggak kepada penganjurannya.

Selain disertai 400 atlet daripada 11 negara Komanwel, penganjur juga turut menanggung kos penerbangan atlet luar yang bertanding menerusi peruntukan berjumlah AS$30,000 dolar yang disediakan Majlis Bandaraya Hamilton ketika itu.


KONTINJEN Scotland berjalan megah di hadapan penonton dalam majlis pembukaan Sukan Empayar British 1930.

Antara negara yang bertan­ding adalah England, Scotland, Wales dan Ireland yang menghantar pasukan terkuat mereka selain tuan rumah, Kanada. Manakala pasukan yang menghantar kurang atlet adalah daripada Australia, New Zealand, Bermuda, British Guiana, Newfoundland dan Afrika Selatan.

Acara yang dipertandingkan pula adalah olahraga (trek dan balapan), renang, mendayung, gusti dan boling padang. Ternyata temasya pertama ini dikuasai England yang muncul juara.


Angkat berat sumbang emas penyertaan pertama Malaysia

Malaysia mula mengambil bahagian sejak tahun 1950 melalui nama Malaya pada ketika itu di mana kejohanan tersebut masih dikenali dengan nama Sukan Empayar British. Pada tahun tersebut sebanyak 2 pingat emas, 1 perak dan 1 gangsa telah dimenangi yang kesemuanya melalui sukan angkat berat.

Koh Eng Tong merakam sejarah apabila muncul atlet pertama yang memenangi emas untuk Malaya menerusi acara angkat berat kelas Featherweight ketika temasya itu berlangsung di Auckland, New Zealand pada 1950.


KONTINJEN Malaysia yang menyertai temasya 1966 di Kingston, Jamaica terdiri daripada atlet olahraga, badminton, angkat berat, menembak dan renang.

Kejayaan beliau menjadi pendorong kepada pembangunan acara sukan angkat berat negara. Sebagai mengiktiraf pencapaian dan sumbangan beliau dalam sukan negara, Koh Eng Tong telah dipilih untuk menjadi pelari pertama dalam Queens Baton Relay pada 13 April 1994.

Sejak 1950 sehingga 1990 hanya dua sukan yang menyumbangkan pingat kepada negara iaitu angkat berat dan badminton secara berasingan. Tahun 1994 merupakan pertama kali kedua-dua sukan tersebut menyumbangkan pingat.

Sukan Komanwel 1994 menyaksikan kontinjen negara memperolehi tujuh pingat iaitu 2 pingat emas, 3 perak dan 2 gangsa dengan enam pingat daripada sukan badminton dan satu menerusi angkat berat. Menerusi kutipan tujuh pingat, menjadikan jumlah keseluruhan berjaya diperolehi sejak tahun 1950 ialah sebanyak 36 pingat.

Kuala Lumpur ’98 bukan sahaja telah berjaya dianjurkan oleh negara dengan cemerlang tetapi lebih membanggakan ialah kejayaan para atlet negara mencipta sejarah dengan menduduki tempat keempat keseluruhan di antara 70 buah negara anggota Komanwel. Kontinjen Malaysia berjaya memperolehi 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa yang berjumlah 36 kesemuanya dan ini telah menyamai keseluruhan pingat yang diperolehi sejak dari tahun 1950 hingga 1994.

Sejarah juga tercipta apabila Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) telah membenarkan tuan rumah Sukan Komanwel 1998, Kuala Lumpur untuk turut mengadakan acara sukan berpasukan buat pertama kali dalam usaha menjadikan temasya itu lebih menarik dan kekal sebagai antara sukan yang popular di dunia. Ternyata keputusan itu telah mendatangkan kejayaan yang gemilang.

Prestasi atlet negara di Sukan Komanwel seterusnya meningkat dengan jumlah pungutan pingat bertambah dari satu temasya ke temasya berikutnya. Pada Sukan Komanwel Melbourne 2006, kontinjen negara memperolehi tujuh pingat emas menerusi sukan badminton (4), boling padang (2) dan satu angkat berat. Antara penyumbang pingat emas ialah pemain badminton, Datuk Lee Chong Wei; atlet angkat berat, Mohd Faizal dan Siti Zalina Ahmad dari sukan boling padang.

Pada Sukan Komanwel New Delhi 2010 pula, atlet negara melepasi sasaran yang ditetapkan apabila memungut 12 pingat emas, pencapaian terbaik negara pada temasya berkenaan. Empat pingat emas disumbangkan menerusi badminton, sementara dua emas daripada menembak dan angkat berat, manakala sukan berbasikal, terjun, gimrama serta skuasy masing-masing satu emas.

Namun, ketika harapan lebih besar mula diletakkan, Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland menyaksikan kemerosotan ketara kontinjen negara apabila hanya mampu mengutip enam pingat emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Pencapaian tersebut boleh dianggap sedikit mengecewakan berbanding dengan pencapaian temasya yang sama di New Delhi. Badminton menjadi penyumbang terbesar dengan tiga emas manakala skuasy, terjun dan angkat berat masing-masing meraih satu pingat emas.

Tags: komanwel, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “sukan” Tag

  • Bersukan Membantu Meningkatkan Keperibadian Anda?

    Kita semua tahu bagaimana Sukan boleh menjadi baik untuk kita dalam tahap fizikal, menjaga kesihatan dan juga membantu anda untuk kekal cergas.…

  • Keyakinan Diri Dalam Bersukan

    Peminat sukan di negara kita dianggap bernasib baik berpeluang dan menonton perlawanan langsung badminton dan bola sepak ketika pandemik melanda.…

  • Remaja kita tidak gemar bersukan

    Jika dilihat dari segala dan kemudahan dan faedah yang disediakan, agak menghairankan dan mungkin juga tidak mengejutkan didapati bahawa remaja dan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments