kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Jamaica pecah monopoli kulit putih, Temasya 1970 diberi nafas baharu

Temasya 1970 diberi nafas baharu

Boleh dikatakan temasya 1970 berlaku beberapa perubahan yang dilihat berjaya memberi nafas baharu dari segi penganjurannya. Malah perubahan yang cuba dilakukan itu semuanya pertama kali digunakan.

Antara perubahan yang dilakukan ialah ke atas nama temasya. Daripada Sukan Empayar British yang digunakan sejak edisi pertama pada 1930, nama temasya buat kali pertama pada edisi kesembilan ini telah ditukar kepada Sukan Komanwel British.


Ratu Elizabeth II (kiri) hadir untuk menyertai ribuan penonton pada acara penutup temasya 1970.

Buat kali pertama juga, semua acara sukan menggunakan jarak metrik dan teknologi catatan masa elektronik termasuk rakaman photo-finish. Dari segi negara penganjur, ini kali pertama Edinburg, Scotland menjadi tuan rumah yang berlangsung dari 16 hingga 25 Julai 1970.

Malah buat kali pertama, Queen Elizabeth II selaku ketua Komanwel hadir bagi merasmikan temasya. Sebelum ini hanya kaum kerabatnya sahaja yang hadir seperti Putera Philip dan Putera Charles.


Persaingan sengit dalam acara basikal lebuh raya yang menyaksikan pelumba New Zealand, Bruce Biddle (kanan) menang emas menewaskan pelumba Australia, Ray Bilney.

Tidak hairanlah temasya kali ini menerima penyertaan tertinggi iaitu membabitkan 42 negara dan 1,744 atlet dan pegawai. Negara kecil seperti Tanzania, Malawi dan St. Vincent pula mencipta sejarah apabila buat kali pertama berjaya memenangi pingat.

Seperti kebiasaan sejak edisi 1950, sebanyak sembilan jenis sukan dipertandingkan dengan mengekalkan sukan sama pada 1966 di Jamaica kecuali menembak iaitu olahraga, badminton, tinju, berbasikal, lawan pedang, boling padang (dimasukkan semula), renang dan terjun, angkat berat serta gusti.

Kontinjen negara yang menggunakan nama Malaysia buat kali kedua selepas temasya 1966 menghantar 14 atlet untuk menyertai tiga jenis sukan iaitu badminton, lawan pedang (3 atlet) dan angkat berat (1).


Atlet wanita Scotland ketika menyertai acara perbarisan masuk kontinjen pada acara pembukaan temasya 1970.

Bagaimanapun hanya badminton yang berjaya menyumbang pingat. Satu emas (Punch Gunalan/Ng Boon Bee) dan satu perak (Ng Tat Wai/Tan Soon Hoi) dalam acara beregu lelaki dan satu gangsa (Rosalind Singha Ang/Teoh Siew Yong) dalam beregu wanita.


Jamaica pecah monopoli kulit putih

PADA 1966, buat kali pertama temasya Sukan Komanwel dianjurkan di luar kepompong negara yang dikuasai bangsa Inggeris apabila Kingston, Jamaica menjadi tuan rumah dari 4 hingga 13 Ogos.


KONTINJEN Isle Of Man yang baru tiba di Kingston, Jamaica untuk menyertai Sukan British Komanwel 1966.

Sebelum ini sejak 1930, hanya negara seperti Kanada, Australia dan England sahaja silih berganti menganjurkannya namun atas kesedaran untuk mengelak tanggapan wujudnya monopoli kulit putih maka negara kulit hitam pertama dipilih.

Jamaica bagaimanapun dalam penampilan pertama selaku tuan rumah gagal mempamerkan penguasaan seperti yang dilakukan Australia dan England yang biasanya akan muncul juara keseluruhan di tempat sendiri.

Bukan itu sahaja, lebih malang daripada itu apabila Jamaica tidak langsung berjaya meraih walau satu pingat emas sekali pun di tanahair mereka sendiri.

Edisi kelapan ini berakhir dengan England muncul juara keseluruhan walaupun sebelum itu negara tersebut mempertikaikan kemampuan Jamaica dan mempersoalkan kekurangan infrastruktur untuk menganjurkan Sukan Komanwel.

Namun di akhir temasya, Jamaica berjaya menutup mulut pengkritiknya dengan 34 negara dan 1,316 atlet menyatakan rasa puas hati dengan penganjuran yang dilakukan. Cuma sedikit kontroversi apabila tuan rumah menggugurkan dua sukan yang biasa dipertandingkan iaitu boling padang dan mendayung.

Sebaliknya Jamaica menyenaraikan buat kali pertama sukan badminton dan menembak sebagai pengganti untuk mengekalkan sembilan jenis sukan sejak 1950. Yang dikekalkan adalah olahraga, tinju, berbasikal, lawan pedang, renang/terjun, angkat berat dan gusti.


SUKAN angkat berat kekal dipertandingkan pada temasya 1966.

Langkah Jamaica itu ternyata membuka ruang kepada Malaysia untuk menghantar skuad badmintonnya yang ketika itu antara terkuat di dunia buat kali pertama ke Sukan Komanwel dan terus menyerlah dengan menyumbang dua emas, dua perak dan satu gangsa.

Bagaimanapun Malaysia gagal meraih sebarang pingat dalam angkat berat, menembak, olahraga dan renang. Olahraga ketika itu diwakili Dr. M. Jegathesan (acara lari pecut), Nashatar Singh (rejam lembing), R. Subramaniam (lari sebatu), M. Rajamony (440 ela wanita) dan Dilbagh Singh Kler (lari 3 batu)

Tags: komanwel, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “sukan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments