Edisi ke-11 di Edmonton, Kanada menyaksikan temasya menggunakan nama baharu iaitu Sukan Komanwel berbanding Sukan Empayar British (sejak 1930) dan Sukan Komanwel British (sejak 1966). Nama yang ditukar buat kali ketiga itu kemudiannya kekal sehingga ke hari ini.
Namun perubahan nama tersebut tidak begitu menjadi tumpuan sangat ketika temasya yang berlangsung dari 3-12 Ogos itu sebaliknya ada insiden yang lebih menarik perhatian dan membayanginya iaitu tindakan boikot yang dilakukan Nigeria dan Uganda.
RATU ELIZABETH II (kiri) hadir untuk merasmikan temasya 1978 ditemani Putera Philip. |
Ini kali pertama temasya Sukan Komanwel berdepan tindakan sedemikian. Nigeria memboikot sebagai satu protes kepada tindakan New Zealand yang masih menjalinkan hubungan berkaitan sukan dengan negara yang mengamal Dasar Apartheid iaitu Afrika Selatan manakala Uganda bertindak serupa sebagai protes kepada tindakan Kanada mengiktiraf kerajaan yang dipimpin Idi Amin ketika itu.
Di sebalik tindakan boikot ini, temasya 1978 tetap berjalan seperti biasa dengan penganjur buat kali pertama menggunakan sistem berkomputer untuk melancarkan penjualan tiket masuk.
Malah, sebanyak 46 negara menghantar atlet mereka bertanding berbanding 38 di Christchurch pada 1974. Dengan peningkatan itu, jumlah atlet yang mengambil bahagian juga bertambah iaitu seramai 1,474 orang.
UPACARA pembukaan Sukan Komanwel 1978 yang disertai 46 negara di Edmonton, Kanada. |
Tidak pernah muncul juara keseluruhan, tuan rumah Kanada membuat kejutan apabila mengungguli carta kedudukan pingat pada hari terakhir untuk menamatkan penguasaan Australia dan England yang silih berganti bergelar juara sejak 1930.
Daripada 128 pingat emas yang ditawarkan dalam 10 jenis sukan seperti olahraga, badminton, tinju berbasikal, gimnastik, boling padang, menembak, renang/terjun, angkat berat dan gusti, Kanada meraih 45 daripadanya.
Antara faktor kejayaan Kanada ialah mungkin kerana mereka menyenaraikan buat kali pertama sukan gimnastik untuk dipertandingkan di Sukan Komanwel selain menguasai acara renang, menembak, angkat berat dan gusti.
Pencapaian Malaysia yang menghantar 18 atlet pula tidak banyak berubah dengan badminton kekal menjadi penyumbang tetap pingat untuk membolehkan kontinjen negara pulang dengan satu emas, dua perak dan 1 gangsa.
GIMNASTIK kali pertama dipertandingkan pada temasya 1978 dan banyak membantu tuan rumah Kanada menyapu emas |
Emas diraih menerusi Sylvia Ng dalam acara perseorangan wanita yang menewaskan rakan senegara, Katherine Teh. Satu lagi perak disumbang Moo Foot Lian/Ong Beng Teong dalam acara beregu lelaki. Buat pertama kali acara berpasukan campuran diperkenalkan di Edmonton dengan Malaysia meraih gangsa.
Kontinjen negara turut mengambil bahagian dalam sukan angkat berat, menembak, renang dan olahraga tetapi gagal meraih sebarang pingat tambahan.
Temasya 1974 terima kawalan paling ketat
Berikutan satu insiden 11 atlet dan jurulatih dari Israel diculik dari perkampungan sukan sebelum dibunuh ketika Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman, Sukan Komanwel British 1974 di Christchurch dari 24 Januari hingga 2 Februari terkena tempiasnya apabila berlangsung di bawah kawalan paling ketat dalam sejarah temasya ketika itu.
KONTINJEN tuan rumah, New Zealand berarak masuk memasuki stadium sewaktu acara pembukaan temasya 1974 di Christchurch. |
Ini menyaksikan setiap venue pertandingan serta keselamatan atlet dan penonton diberi keutamaan oleh pasukan keselamatan New Zealand sepanjang temasya. Malah pasukan polis berprofil tinggi turut terbabit.
Tempat tinggal penuntut Universiti Canterbury yang dijadikan perkampungan sukan bagi atlet pula dikelilingi pengawal keselamatan 24 jam manakala hanya kenderaan rasmi pegawai temasya dibenarkan memasuki kawasan-kawasan yang dianggap sensitif di setiap venue.
ANGKAT berat tidak pernah tercicir daripada dipertandingkan sejak Sukan Komanwel Pertama pada 1930. |
Hasilnya tiada insiden tidak diingini berlaku dengan temasya edisi ke-10 itu berjalan lancar tanpa apa-apa gangguan. Sambutan yang diberikan penduduk tempatan juga cukup hebat menerusi kehadiran penonton yang penuh sesak.
Bagaimanapun dari segi bilangan penyertaan negara yang bertanding sedikit berkurangan mungkin kerana bimbang tentang keselamatan mereka. Hanya 38 negara yang mengambil bahagian berbanding 42 ketika temasya 1970.
Namun sembilan jenis sukan kekal dipertandingkan iaitu olahraga, badminton, tinju, lumba berbasikal, boling padang, menembak, renang/terjun, angkat berat dan gusti bagi merebut 374 pingat yang ditawarkan.
AKSI atlet Tanzania, Filbert Bayi ketika mencipta rekod baharu dunia dalam acara lari 1,500 meter pada temasya 1974. |
Kontinjen negara yang membuat penampilan ketiga atas nama Malaysia berbanding Malaya sejak 1966 menghantar 14 atlet untuk menyertai enam jenis sukan iaitu angkat berat (1), renang (2), berbasikal (2), badminton (6), menembak (1) dan olahraga (2).
Bagaimanapun seperti biasa, hanya badminton kekal menjadi penyumbang tetap pingat apabila membawa pulang satu emas menerusi Punch Gunalan dalam acara perseorangan lelaki dan tiga gangsa menerusi Punch Gunalan-Dominic Soong dalam beregu lelaki, Sylvia Ng dalam perseorangan wanita dan Sylvia-Rosalind Singha Ang dalam beregu wanita.
Lain-lain atlet yang mewakili Malaysia ketika itu adalah Daud Ibrahim, Ramli Hashim (basikal), Ally Ong (skeet/menembak), Chiang Jin Choon, Rosanna Lam (renang), Sua Hingboo (angkat berat), Istiaq Mubarak dan Gladys Chai (olahraga).