kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Brisbane diiktiraf terbaik, Temasya 1986 bermasalah

Temasya 1986 bermasalah

DIKENALI sebagai temasya paling bermasalah, Sukan Komanwel 1986 di Edinburgh, Scotland tetap berlangsung dari 24 Julai hingga 2 Ogos. Ini kali kedua Edinburg menjadi tuan rumah dalam tempoh 16 tahun.

Berbeza ketika menganjurkannya pada 1970 dengan jaya sehingga sukar dilupakan, temasya 1986 ini tidak henti-henti diulit masalah baik sebelum mahu pun selepas dilangsungkan.


UPACARA pembukaan temasya 1986 di Edinburgh, Scotland yang tetap berlangsung walaupun menghadapi masalah kewangan.

Masalah paling teruk adalah tindakan 32 daripada 59 negara Komanwel memboikot temasya berikutan tindakan kerajaan Bri­tain pimpinan Margaret Thatcher ketika itu yang mengiktiraf Dasar Apartheid Afrika Selatan.

Ini menyebabkan pihak pe­nganjur gagal mendapatkan jumlah tajaan dan hak penyiaran yang mencukupi, sekali gus menimbulkan masalah kewangan yang besar. Walaupun pada awalnya seorang ahli perniagaan, Robert Maxwell berjanji untuk membantu menyalurkan sebanyak 2 juta pound, akibat pengurusan yang kelam kabut hanya 250,000 pound sahaja disalurkan.


BEN JOHNSON (tengah) dari Kanada muncul raja pecut Sukan Komanwel 1986 selepas menyapu bersih emas dalam acara 100 dan 200 meter dengan mengejutkan Linford Christie (kanan).

Namun, ia masih gagal mencapai bajet yang diperlukan iaitu 14 juta pound. Ketika berlangsungnya upacara pembukaan, penganjur masih kekurangan 3 juta pound tetapi kemudiannya meningkat kepada 4.3 juta pound.

Selepas tiga tahun berlalu, penganjur masih menanggung hutang sebelum berjaya dilangsaikan. Dalam proses melakukannya, Bandaraya Edinburgh akhir­nya mengisytiharkan pihaknya rugi 500,000 pound dalam meng­anjurkan temasya 1986.


RENANG berirama kali pertama dipertandingkan pada temasya 1986.

Secara keseluruhannya berlaku penurunan mendadak apabila hanya 26 negara mengambil bahagian membabitkan 1,662 atlet dan 461 pegawai. Mereka bertanding dalam 10 jenis sukan iaitu olahraga, akuatik (renang, terjun, renang berirama), badminton, tinju, berbasikal, boling padang, mendayung, menembak, angkat berat dan gusti.

Malaysia bagaimanapun tidak menyertai temasya 1986 ini kerana turut terlibat dengan tindakan memboikot yang dilakukan negara Komanwel kebanyakkan dari benua Afrika, Asia dan Carribean.

Maka Sukan Komanwel 1986 ini lebih sesuai digelar sebagai sukan negara kulit putih ketika itu.



Brisbane diiktiraf terbaik


PERTARUNGAN sengit Allan Wells (kiri) dan Mike McFarlane dalam acara 200 meter pecut yang sukar diputuskan siapakah pemenangnya pada temasya 1982

Pemilihan Brisbane meng­anjurkan Sukan Komanwel 1982 membolehkan Austra­lia muncul negara kedua selepas Kanada menjadi tuan rumah buat kali ketiga dalam tempoh 52 tahun sejarah temasya itu.

Sebelum Brisbane, Sydney dan Perth pernah menjadi tuan rumah pada 1938 dan 1962. Cuma istimewanya penganjuran di Brisbane, ia muncul antara yang terbaik sehingga ke hari ini mempertandingkan 10 jenis sukan dengan memanah kali pertama dipertandingkan selain olahraga, badminton, angkat berat, tinju, gusti, renang/terjun, berbasikal, menembak dan boling padang.

Paling diingati, pada majlis pembukaannya ialah pengenalan maskot gergasi temasya yang diberi nama Matilda. Kemunculan kangaroo mekanikal setinggi 13 meter mengagumkan mereka yang menyaksikan upacara gilang gemilang itu.


MEMANAH tersenarai buat kali pertama sebagai sukan yang dipertandingkan di Sukan Komanwel pada 1982

Semuanya berjalan lancar tanpa ada tindakan boikot berlaku lagi dalam kalangan negara yang mengambil bahagian. Pada akhir­nya, Australia muncul juara ke­seluruhan dengan memungut 39 emas untuk menewaskan England di tempat kedua dan Kanada ketiga.


Kontinjen Malaysia yang tampil pada penyertaan kelapan di Sukan Komanwel sejak 1950 masih terus mengharapkan badminton untuk menyumbang pi­ngat selepas tidak menghantar atlet bertanding dalam sukan lain.


MASKOT gergasi bernama Matilda yang memeriahkan acara pembukaan temasya 1982

Ini merupakan kontinjen ketiga terkecil yang pernah kita hantar iaitu hanya enam atlet sahaja berbanding 18 orang empat tahun sebelum itu di Edmonton, Kanada. Pada temasya 1950 dan 1954, Malaya ketika itu menghantar 4 pegawai dan 3 atlet sahaja.


Namun Malaysia berjaya mengekalkan pencapaian hampir sama dengan temasya 1978 apabila berjaya membawa pulang satu emas dan satu gangsa. Emas menerusi gandingan Razif Sidek/Ong Beng Teong dalam beregu lelaki dan gangsa menerusi Razif dalam perseorangan lelaki.

Dalam acara berpasukan campuran, kehadiran James Selvaraj dalam perseorangan lelaki masih gagal membantu Malaysia menang pingat apabila tersekat di suku akhir. Faktor ketiadaan Sylvia Ng yang sudah bersara ketika itu ternyata amat dirasai.

Tags: komanwel, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “sukan” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments