kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Afrika Selatan kembali 
selepas 36 tahun, Malaysia pertama di Asia

Malaysia pertama di Asia

JIKA Jamaica menjadi negara Afrika pertama menganjurkan Sukan Komanwel pada 1966, tiba giliran Malaysia memecah monopoli negara yang dikuasai bangsa Inggeris apabila muncul negara Asia pertama menjadi tuan rumah untuk temasya 1998 di Kuala Lumpur.

Dikenali sebagai temasya pertama yang mempertandingkan sukan berpasukan seperti kriket, hoki, bola jaring dan ragbi 7-se­belah, edisi ke-16 ini turut mempertandingkan buat kali pertama tenpin boling dan skuasy.


KONTINJEN Malaysia berarak masuk ketika upacara pembukaan Sukan Komanwel 1998 di Stadium Nasional, Kuala Lumpur.

Ini menjadikan 15 jenis sukan kesemuanya dipertandingkan pada 1998 termasuk sukan tetap seperti olahraga, badminton, tinju, berbasikal, gimnastik, boling padang, menembak, renang/terjun dan angkat berat (kecuali gusti digugurkan).

Berlangsung dari 11 hingga 21 September, Kuala Lumpur yang mengalahkan Adelaide, Australia ketika proses bidaan menjadi Sukan Komanwel terakhir dilangsungkan pada abad ke-20 sekali gus muncul negara kelapan pernah menganjurkannya selepas Kanada, England, Australia, New Zealand, Wales, Jamaica dan Scotland.

Malaysia ternyata memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan sejak 1950 apabila buat kali pertama menduduki tempat keempat ke­seluruhan dalam se­narai kedudukan pingat di belakang Australia yang muncul juara keseluruhan, diikuti Kanada dan England.

Bukan Malaysia sahaja mempamerkan peningkatan, negara-negara yang bertanding juga me­nunjukkan peningkatan ke­tara dari segi kualiti pencapaian apabila beberapa rekod temasya berjaya dipecahkan.


S. GOVINDASAMY (kiri) meraikan kejayaannya melakukan kejutan dengan menjuarai acara 50km jalan kaki untuk menyumbang emas buat kontinjen negara menerusi sukan olahraga pada 1998.

Dengan 70 negara mengambil bahagian membabitkan 3,638 atlet, temasya 1998 dianggap berjaya kerana tiada langsung membabitkan sebarang kontroversi malah berakhir dengan meletakkan satu penanda aras baharu dari segi pencapaian dan kualiti.

Selaku tuan rumah, Malaysia berjaya meraih 10 emas - jumlah tertinggi pernah dimenangi de­ngan tiga disumbangkan badminton, dua tenpin boling dan masing-masing satu menerusi olahraga, angkat berat, gimrama, menembak dan tinju.

Badminton penyumbang tetap pingat emas, Wong Choong Hann menjuarai acara perseorangan lelaki, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah (beregu lelaki) dan acara berpasukan lelaki.

Tenpin boling pula menyaksikan Kenny Ang menyumbang dua emas menerusi acara perseorangan lelaki dan beregu lelaki berpasangan dengan Beng Heng. Olahraga S. Govindasamy (50km jalan kaki lelaki), angkat berat Muhamad Hidayat Hamidon (kategori 69kg), menembak Nurul Huda Baharin (air rifel individu wanita), tinju Sapok Biki (ka­tegori light-flyweight 48kg) serta gimrama berpasukan Carolyn Au Yong, El Regina Tajudin, Sarina Sundara Rajah, Thye Chee Kiat (all-around).


Afrika Selatan kembali 
selepas 36 tahun


PERSEMBAHAN menarik disajikan pada pembukaan Sukan Komanwel 1994 di Victoria, Kanada

Berakhirnya Dasar Apartheid pada 1990 memberi kelegaan besar kepada pe­nganjur Sukan Komanwel 1994 iaitu Victoria, Kanada. Ia bermakna berakhirnya masalah terbesar yang sentiasa membelenggu temasya empat tahun sekali itu sebelum ini.

Dengan kata lain, berakhirnya era Apartheid itu bermakna tiada lagi isu boikot memboikot oleh negara Komanwel susulan rasa tidak puas hati terhadap sistem pemisahan kaum yang tidak adil antara kulit putih yang dipandang tinggi dan kulit hitam yang dipandang rendah di negara Afrika Selatan.

Pada penampilan pertamanya sejak 1958, Afrika Selatan berjaya membawa pulang dua emas, empat perak dan lima gangsa walaupun hanya menyer­tai semula gabungan Komanwel ini pada 1991.

Pada temasya yang berlangsung dari 18-28 Ogos itu juga menyaksikan penampilan pertama Namibia sejak merdeka daripada Afrika Selatan pada 1990 selain Kepulauan Montserrat manakala Hong Kong pula membuat penampilan terakhir kerana bakal dikembalikan kepada pemerintahan China pada 1997.


ELANA MEYER meraih pingat perak buat Afrika Selatan dalam acara 10,000m wanita Sukan Komanwel 1994 di Victoria, Kanada.

Walaupun berlangsung dalam suasana aman dan meriah, temasya 1994 terpahat dalam sejarah sebagai yang terakhir mempertandingkan acara sukan yang berbentuk individu kerana mulai temasya 1998 di Kuala Lumpur, sukan berpasukan akan diper­kenalkan buat kali pertama seperti acara ragbi 7-sebelah, bola keranjang dan hoki.

Ini bermakna jumlah sukan yang dipertandingkan akan bertambah pada 1998 berbanding 10 sahaja pada 1994 seperti olahraga, badminton, tinju, berbasikal, gimnastik, boling padang, me­nembak, angkat berat dan gusti lantai.

Penambahan sukan berpasukan ini bertujuan meningkatkan pendapatan pihak penganjur menerusi hak penyiaran televisyen selain menjadikan temasya lebih meriah selain menarik lebih ramai penonton.

Di penghujung temasya edisi ke-15 itu, Australia muncul juara keseluruhan dengan meraih 86 emas, jauh meninggalkan tuan rumah, Kanada (46 emas) di tempat kedua dan England (31), ketiga.

Malaysia pula berada di tempat ke-14 dengan meraih dua emas, tiga perak dan dua gangsa. Ke­dua-dua emas disumbangkan menerusi badminton apabila Rashid Sidek menjuarai acara perseorangan lelaki dan Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang menjuarai acara beregu lelaki.

Badminton turut menyumbang dua lagi pingat perak dan dua gangsa. Satu lagi perak disumbangkan atlet angka berat, Matin Guntali. Malaysia turut mengambil bahagian dalam olahraga, tinju, berbasikal, gimnastik, menembak dan boling padang.

Tags: komanwel, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “sukan” Tag

  • Bersukan Membantu Meningkatkan Keperibadian Anda?

    Kita semua tahu bagaimana Sukan boleh menjadi baik untuk kita dalam tahap fizikal, menjaga kesihatan dan juga membantu anda untuk kekal cergas.…

  • Keyakinan Diri Dalam Bersukan

    Peminat sukan di negara kita dianggap bernasib baik berpeluang dan menonton perlawanan langsung badminton dan bola sepak ketika pandemik melanda.…

  • Remaja kita tidak gemar bersukan

    Jika dilihat dari segala dan kemudahan dan faedah yang disediakan, agak menghairankan dan mungkin juga tidak mengejutkan didapati bahawa remaja dan…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments