kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

England tumbang di bumi sendiri, Isu suaka politik bayangi temasya termahal

Isu suaka politik bayangi temasya termahal

ATLET menghilangkan diri dari perkampungan sukan untuk mendapatkan suaka politik mewarnai Sukan Komanwel 2006 di Melbourne, Australia. Bukan seorang atau 10 orang tetapi 25 orang yang terlibat.


Kebanyakan atlet tersebut dari benua Afrika seperti Sierra Leone (14 orang), Cameroon (9) dan Tanzania (seorang). Tidak kurang juga dari Asia seperti Bangladesh (seorang). Ada yang dibenarkan tinggal di Australia dan ada yang dihantar pulang ke negara masing-masing.

Atlet lari dari perkampungan sukan untuk mendapatkan suaka politik sebenarnya bukan isu baharu kerana ia telah mula menjadi pencetus trend empat tahun sebelum itu di Manchester, England apabila 27 atlet terlibat. Namun, masalah itu tidak didedahkan secara terbuka kepada umum.


Upacara penutup gilang gemilang antara faktor yang menjadikan temasya 2006 sebagai yang termahal penganjurannya ketika itu.

Ternyata ia menjadi semakin serius pada temasya 2006 kerana beberapa hari selepas upacara pembukaan dilangsungkan pada 15 Mac, trend itu sudah bermula. Kes pertama dilaporkan kepada polis ialah pada 20 Mac membabitkan dua atlet iaitu petinju Tanzania, Omari Idd Kimweri dan pelari Bangladesh, Mohammad Tawhidul Islam.

Dua hari selepas itu, tujuh lagi atlet Sierra Leone (3 wanita, 4 lelaki) dilaporkan hilang. Ini tidak termasuk tujuh lagi atlet dari negara sama hilang selepas tarikh tersebut. Polis percaya mereka ke Sydney untuk menyertai komuniti Sierra Leone sedia ada yang lebih besar di sana dan ia ternyata benar.


Perkampungan sukan temasya 2006 di Melbourne yang dibina secara terbuka memudahkan 25 atlet melarikan diri untuk mendapat suaka politik daripada kerajaan Australia.

Dua jam sebelum upacara penutup dilangsungkan pada 26 Mac, sembilan atlet Cameroon pula hilang. Dua dari mereka kemudian ditemui berada di Perth.

Semua insiden kontroversi itu, bagaimanapun, tidak menjejaskan kemeriahan temasya edisi ke-18 yang dilapor menelan belanja AUS$1.144 bilion dolar (RM3.66b) dan dianggap termahal ketika itu mengatasi Manchester yang melibatkan kos 600 juta pound (RM3.3b) empat tahun sebelumnya.

Kos penganjuran meningkat didorong oleh penyertaan lebih ramai atlet berikutan penambahan acara yang dipertandingkan. Namun, jumlah sukan yang dipertandingkan dan jenisnya hampir sama seperti sebelum ini.


Perkampungan sukan temasya 2006 di Melbourne yang dibina secara terbuka memudahkan 25 atlet melarikan diri untuk mendapat suaka politik daripada kerajaan Australia.

Sukan yang dipertandingkan ialah akuatik, olahraga, badminton, bola keranjang, boling padang, tinju, berbasikal, gimnastik, hoki, bola jaring, ragbi 7-sebelah, menembak, skuasy, ping pong, triathlon dan angkat berat.

Seperti biasa selaku tuan rumah, Australia muncul juara keseluruhan dengan memungut 84 emas, jauh meninggalkan England di tempat kedua dan Kanada ketiga.

Pencapaian Malaysia pula boleh dibanggakan apabila kekal di tempat kelapan keseluruhan kali kedua berturut-turut dengan memungut tujuh emas, 12 perak dan 10 gangsa.

Emas diperoleh seperti biasa menerusi badminton (4 pingat) selaku penyumbang tetap kontinjen negara sejak 1966 selepas Lee Chong Wei menjuarai perseorangan lelaki, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat dalam beregu lelaki dan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty untuk beregu wanita, selain acara berpasukan campuran.


Upacara penutup gilang gemilang antara faktor yang menjadikan temasya 2006 sebagai yang termahal penganjurannya ketika itu.

Tiga lagi emas disumbang atlet boling padang menerusi Siti Zalina Ahmad, trio Azlina Arshad, Nor Hashimah Ismail dan Nor Iryani Azmi serta atlet angkat berat, Mohd. Faizal Baharom.

Selain tiga sukan itu, Malaysia juga mengambil bahagian dalam acara terjun, menembak, hoki dan gimnastik yang turut menyumbang pingat tetapi bukan emas.



England tumbang di bumi sendiri

Sebagai tuan rumah buat kali kedua selepas temasya London 1934, England mempertaruhkan Manchester kali ini dalam percubaan untuk kembali sebagai juara keseluruhan Sukan Komanwel 2002 di laman sendiri dari 25 Julai hingga 4 Ogos.


Amirul Hamizan Ibrahim ketika beraksi dalam kategori 56kg di Sukan Komanwel 2002 di Manchester, England.

Bagaimanapun, impian mereka tidak menjadi kenyataan apabila seteru tradisi Australia terus unggul, malah dilihat terlalu kuat buat kontinjen tuan rumah apabila meninggalkan England jauh di belakang di tempat kedua keseluruhan dalam senarai kedudukan pingat.


Dengan sukan renang/terjun (30 emas) menjadi nadi kepada kekuatan Australia, negara Kanggaru itu berjaya merentap ego England untuk muncul juara ke­seluruhan buat kali keempat berturut-turut sejak temasya 1990 dengan memungut 82 emas.

England yang kali terakhir muncul juara pada 1986 pula hanya mampu memungut 54 emas, sekali gus memberi tamparan hebat kepada proses membida London sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2012. London bagaima­napun, tetap berjaya mendapat hak penganjuran yang diumumkan pada 2005.


Upacara pembukaan penuh warna warni pada temasya 2002.

Namun, di sebalik kegagalan England pada Sukan Komanwel 2002 itu, Manchester mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali menganjurkan sukan untuk atlet para, serentak dengan atlet normal dengan permulaan hanya olahraga, po­werlifting, renang, pingpong dan boling padang dipertandingkan mengikut kategori kecacatan.


Langkah itu menjadi ikutan hingga ke hari ini, malah kini melibatkan sukan seperti berbasikal. Emas yang dimenangi atlet para turut dikira dan dicampur dengan atlet normal dalam senarai kedudukan pingat keseluruhan.


Renang menjadi lubuk emas yang membantu Australia muncul juara keseluruhan Sukan Komanwel 2002

Bagi Malaysia, pencapaian kontinjen negara tidak kurang hebatnya apabila berjaya membawa pulang tujuh emas, sembilan pe­rak dan 18 gangsa dengan sukan angkat berat mencatat kejayaan mengejutkan setelah meraih tiga emas, sama seperti penyumbang tetap iaitu badminton.

Emas angkat berat disumbang Amirul Hamizan Ibrahim yang menyapu bersih gelaran snatch, clean & jerk dan keseluruhan kategori 56kg yang ditawarkan pingat secara berasingan.

Seperti biasa pemain badminton negara unggul dalam acara perseorangan lelaki menerusi Muhammad Hafiz Hashim, beregu lelaki Chan Chong Ming-Chew Choon Eng dan kejutan dalam beregu wanita menerusi Lim Pek Siah-Ang Li Peng.

Satu lagi emas disumbang Siti Zalina Ahmad yang menjuarai acara perseorangan wanita bo­ling padang. Selain tiga sukan itu, atlet Malaysia turut mengambil bahagian dalam sukan renang, olahraga, tinju, gimnastik, me­nembak dan skuasy daripada 17 jenis sukan yang dipertandingkan.

Tags: komanwel, sukan
Subscribe

Posts from This Journal “komanwel” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments