?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Glasgow kurangkan bajet

PENINGKATAN mendadak kos penganjuran yang menjadi isu sejak beberapa temasya lalu berjaya diatasi Glasgow, Scotland selaku tuan rumah edisi ke-20 Sukan Komanwel pada 2014.

Selain berjaya mengurangkan jumlah perbelanjaan, tuan rumah juga dapat menjimatkan berjuta pound hasil daripada perolehan penajaan, penjualan tiket, hak penyiaran dan penjualan barangan cenderamata.


Logo 2014

Daripada 575.6 juta pound bajet yang diperuntukkan, 472.3 juta pound merupakan untuk penganjuran, manakala 90 juta pound lagi bagi keselamatan. Daripada kos penganjuran pula, 372 juta pound datang daripada duit kerajaan.


Patricia Bezzoubenko

Selepas bekerja keras, 25 juta pound dapat dikurangkan walaupun pada awalnya bajet asal itu dianggap tidak mencukupi untuk menganjurkan temasya besar seperti ini. Namun, ia tidak boleh dianggap keuntungan tetapi hanya satu bentuk penjimatan sahaja yang berjaya dilakukan.

Ternyata kos yang dibelanjakan ini jauh lebih rendah berbanding Manchester 2002 yang menelan belanja 600 juta pound (RM3.3b), Melbourne 2006 sebanyak AUS$1.144 bilion (RM3.66b) dan New Delhi 2010 AS$11 bilion (RM41b).

Dilaporkan kos dijangka kembali meningkat apabila Gold Coast 2018 menjadi tuan rumah berikutan pengumuman awal yang dibuat penganjur mengatakan bajet AUS$1.5 bilion telah diperuntukkan bagi tujuan tersebut.


Usain Bolt (kiri) ketika beraksi dalam acara 4x100 meter pada Sukan Komanwel 2014.

Apa juga jumlah bajet, temasya tetap berlangsung dengan jayanya termasuk Glasgow yang mempertandingkan 18 jenis sukan membabitkan 4,950 atlet daripada 71 negara Komanwel yang mengambil bahagian.

Sukan yang dipertandingkan dari 23 Julai hingga 3 Ogos itu ialah olahraga, badminton, tinju, berbasikal, terjun, gimnastik, hoki, judo, boling padang, bola jaring, ragbi 7-sebelah, menembak, skuasy, renang, ping pong, triathlon, angkat berat dan gusti.

Buat pertama kali sejak 1990, England kembali bergelar juara keseluruhan sekaligus berjaya menyekat Australia daripada meraih gelaran itu buat kali ketujuh berturut-turut.


Glasgow 2014 tetap meriah dan hebat walaupun dianjurkan menggunakan bajet yang kurang


Bagi Malaysia, Glasgow 2014 menyaksikan pencapaian terburuk dicatat kontinjen negara buat kali pertama sejak 1998 apabila hanya meraih enam emas dengan tiga daripadanya menerusi badminton dan masing-masing satu daripada skuasy, terjun serta angkat berat.

Walaupun tanpa jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei, skuad badminton kekal penyumbang terbaik pingat emas apabila mempertahankan kejuaraan acara berpasukan campuran, selain menerusi gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dalam beregu lelaki dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei bagi beregu wanita.

Emas skuasy pula disumbang Datuk Nicol David dalam acara perseorangan wanita, Mohd. Hafifi Mansor menerusi angkat berat kategori 69kg dan Ooi Tze Liang dalam acara terjun 3 meter papan anjal lelaki.

New Delhi pecah rekod


Kontinjen Malaysia sewaktu menyertai perbarisan pada upacara pembukaan Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland


Sebagai penganjur edisi ke-19 Sukan Komanwel pada 2010, New Delhi, India mencipta rekod baharu dalam sejarah temasya itu dari segi penyertaan apabila 6,081 atlet mengambil bahagian.

Kebanjiran ramai atlet yang mengambil bahagian dalam 17 jenis sukan atlet normal dan empat atlet para itu meletakkan negara Asia Selatan tersebut sebagai penganjur terbesar temasya setakat ini.

Sukan yang dipertandingkan adalah memanah, akuatik, olahraga, badminton, tinju, berbasikal, gimnastik, hoki, boling padang, bola jaring, ragbi 7-se­belah, menembak, skuasy, pingpong, tenis, angkat berat dan gusti manakala atlet para hanya bertanding dalam olahraga, renang, powerlifting dan pingpong.

Walaupun persiapan awal bandaraya itu menerima kritikan hebat dari segi kelewatan menyiap­kan venue dan perkampungan sukan, keselamatan dan soal kebersihan namun sebaik sahaja bermula upacara pembukaan, semua cemuhan yang dilemparkan terpadam begitu sahaja.

Pujian mula dihamburkan kepada New Delhi termasuk daripada Presiden Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge yang menyifatkan India sudah berjaya menyediakan asas yang kukuh untuk membida pula pe­nganjuran Sukan Olimpik.

SKUAD badminton Malaysia (tengah) muncul juara berpasukan campuran menewaskan India (kiri) menang perak dan England yang menang gangsa.

Menjelang upacara penutup, Ketua Persekutuan Sukan Komanwel, Mike Fennel memuji New Delhi sebagai penganjur temasya yang menakjubkan manakala para pemerhati mula menuding jari kepada media sebagai berat se­belah, melakukan penilaian yang tidak adil dan sengaja membuat laporan negatif.

Akhirnya temasya yang berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober itu bukan sahaja menutup tirai dengan jayanya malah turut menutup mulut pengkritik menerusi sambutan hebat yang diterima daripada 71 negara Komanwel.

India yang menjadi negara Asia kedua selepas Malaysia sebagai tuan rumah Sukan Komanwel dan kali pertama menganjurkannya menamatkan cabaran de­ngan mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan mereka iaitu sebagai naib juara keseluruhan di belakang Australia.


INDIA menutup mulut pengkritik menerusi penganjuran terhebat, terbesar dan termahal dalam sejarah pada temasya 2010 walaupun terpaksa menanggung hutang selepas itu

Temasya 2010 juga diiktiraf sebagai temasya termahal, mengatasi Melbourne (RM3.66b) empat tahun sebelum itu apabila dikatakan menelan belanja sebanyak AS$11 bilion (RM41b).

Malaysia yang turut mengambil bahagian juga mencatat pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan apabila membawa pulang 12 emas sekali gus mengatasi pencapaian 10 emas pada 1998.

Badminton kekal penyumbang terbesar dengan empat emas di­ikuti menembak dan angkat berat masing-masing dua emas dan selebihnya masing-masing satu emas menerusi gimrama, terjun, berbasikal dan skuasy.

Lee Chong Wei mempertahankan emas acara perseorangan lelaki selain Koo Kien Keat-Chin Eei Hui dalam beregu campuran, Kien Keat-Tan Boon Heong dalam beregu lelaki dan acara berpasukan campuran.

Menembak pula menerusi Bibiana Ng (10m air pistol perseorangan wanita) dan gandingan Nur Suryani Mohd. Taibi/Nur Ayuni Farhana Abdul Halim (10m air rifel berpasangan wanita) manakala angkat berat menerusi Amirul Hamizan Ibrahim (56kg lelaki) dam Aricco Jumitih (62kg lelaki).

Josiah Ng pula menang emas keirin, Nicol David acara perseorangan wanita skuasy, Pandelela Rinong acara 10 meter platform wanita dan Elaine Koon menerusi gimrama acara tali individu.

Tags:

Posts from This Journal by “komanwel” Tag

Latest Month

June 2019
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30      

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow