?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Program pendidikan guru adalah bertujuan untuk menghasilkan guru-guru yang mulia, progresif,  berilmu, berpandangan saintifik dan komited untuk menegakkan aspirasi pendidikan negara.

Program pendidikan guru juga bertujuan untuk menghasilkan pendidik yang menghargai warisan budaya kebangsaan, dan memastikan pembangunan modal insan serta memelihara dan membentuk masyarakat yang bersatu, demokratik, progresif dan berdisiplin.

Berdasarkan Falsafah Pendidikan Guru dan Pelan Induk Pembangunan  Pendidikan Malaysia (2013-2025), Institut Pendidikan Guru Malaysia diharap untuk meningkatkan keupayaan, kebolehan dan kelayakan  guru melalui perubahan dan transformasi kurikulum.

Perubahan dan transformasi dalam penggunaan kemahiran berfikir dan teknologi maklumat, serta kerja kursus berasaskan pengetahuan, bertujuan untuk menghasilkan guru berkualiti tinggi dan meningkatkan kualiti pengajaran.

Oleh itu, institusi pendidikan guru bertanggungjawab untuk menghasilkan kumpulan guru bertaraf pendidik  yang berkelayakan tinggi yang akan menjadi agen perubahan dan melaksanakan keupayaan autonomi dalam amalan pengajaran mereka.

Antara  usaha dan aktiviti yang disarankan adalah melaksanakan ‘refleksi’ atau penilaian kendiri dalam program pendidikan guru.

Dengan melaksanakan ‘refleksi’ atau penilaian kendiri ke dalam program pendidikan guru, pelatih guru akan berpeluang mempelajari teori-teori baru yang boleh membantu membentuk falsafah pengajaran mereka.

Sungguh pun ‘refleksi’ bukan perkara yang baru di dalam program pendidikan guru namun adalah popular (di negara maju) sebagai amalan  untuk memotivasi guru untuk melaksanakan pembaikan diri supaya mereka dapat mengajar dengan lebih baik.

Ia telah dikenal pasti sebagai bahagian penting dalam pengajaran dan elemen utama untuk pembangunan profesional guru.

Ia juga dikatakan untuk merapatkan jurang antara teori dan amalan, mengalihkan kebolehan guru kepada penilaian kritikal dan membolehkan guru memainkan peranan yang lebih aktif dalam kebertanggungjawaban mereka sendiri.

Meningkatkan kemahiran dan amalan refleksi dapat dilihat sebagai cara untuk meningkatkan amalan pengajaran dan hasil refleksi dalam pendidikan guru.

Oleh itu, terdapat keperluan untuk menghasilkan guru yang bertanggungjawab, berkeupayaan dan peka dengan persekitaran mereka.

Guru harus dapat bertindak balas terhadap tingkah laku, perlakuan  dan persekitaran mereka, serta membuat keputusan dan melaksanakan perubahan.

Kementerian Pendidikan tentunya menyedari akan kepentingan menghubungkan teori dan amalan dalam pengajian dan pembelajaran di Institut Pendidikan Guru.

Untuk menangani masalah mengintegrasikan teori dan amalan, guru pelatih di Institut Pendidikan Guru hendaklah diterapkan dengan amalan ‘refleksi’ sebagai sebagai salah satu teknik penting dalam pengajaran.

Institusi pendidikan guru disarankan untuk menitikberatkan amalan refleksi di kalangan guru pelatih, terutama semasa menjalani latihan praktikum mengajar di sekolah.

Buku Panduan Latihan Praktikum Pengajaran hendaklah tercatat "guru pelatih dikehendaki menyedia dan menulis serta memberikan laporan refleksi atau penilaian kendiri" selepas tamat menjalani latihan praktikum mengajar mereka.

Panduan dan tatacara menulis ‘refleksi dan penilaian kendiri’ hendaklah disediakan oleh Institut Pendidikan Guru untuk dipatuhi oleh guru pelatih.

Ini bermakna guru pelatih dikehendaki untuk mengaplikasikan pemikiran reflektif sebagai amalan.

Guru pelatih yang akan menjalani Latihan Praktikum Mengajar di sekolah sepatutnya dapat; mengenalpasti isu dan aspek amalan pengajaran yang diguna di sekolah; menyatakan dan meluahkan perasaan atau suara hati yang terpendam; membentuk dan mengembangkan persepsi kendiri; mendapatkan dan memperolehi kesedaran baru; menyediakan cadangan dan maklumbalas dan merancang pelan tindakan selanjutnya dalam menyelesaikan isu atau aspek berkaitan pendidikan.

Adalah penting bagi guru pelatih untuk mengetahui peranan mereka semasa menjalani latihan praktikum mengajar kerana ia  adalah komponen penting dalam pendidikan guru, yang menyediakan mereka untuk kerjaya dalam pendidikan.

Marilah kita mengambil sedikit masa dan melihat cabaran yang dihadapi oleh guru dalam membantu kanak-kanak belajar, berfikir dan membuat pilihan dan keputusan  yang tepat dalam hidup.

Mereka di lihat mengajar dengan penuh dedikasi. Mereka adalah agen perubahan, sumber inspirasi dan penemu bakat tersembunyi dan mampu mengesan bakat dalam diri anak-anak.

Keringat, darah dan air mata mereka telah membantu ramai yang menikmati kerjaya  yang berbeza dalam menjalani kehidupan yang berjaya dan memuaskan. Mereka melakukan yang terbaik demi kecintaan kepada anak-anak dan profesion mereka.

Oleh kerana guru menghasilkan generasi yang berwawasan dan berteladan, mereka sebenarnya menyelamatkan dunia daripada kemusnahan dan memastikan hak asasi manusia tidak dicerobohi dan dilindungi. .

Ramai juga yang berpendapat bahawa guru adalah mereka yang tidak berintegriti, kredibiliti mereka adalah meragukan, malahan ada yang tidak yakin dengan kemampuan guru dalam memastikan anak-anak bersedia untuk menghadapi dunia yang nyata setelah tamat persekolahan.

Apabila kes anak-anak sekolah terlibat dalam tindakan jenayah seperti rompakan, rogol, terlibat dengan kumpulan samseng, penyalahgunaan dadah dan pembunuhan dilaporkan, orang ramai mula hilang kepercayaan terhadap guru.

Tetapi, adakah bijak dan patutkah kita menyalahkan guru diatas apa yang berlaku?  Adakah disebabkan dasar yang dikatakan berorientasikan peperiksaan menjadikan pelajar terlalu tertekan untuk cemerlang dan menjadi yang terbaik di antara yang terbaik?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sistem pendidikan telah disemak semula, kurikulum, sukatan pelajaran, subjek, pendekatan dan piawaian baru telah dilaksanakan di sekolah. Usaha-usaha ini dirancang, terutama untuk memenuhi keperluan milenium dan generasi celik teknologi, yang menjalani gaya hidup dan belajar dengan cara yang berbeza.

Realiti ini menimbulkan cabaran besar untuk guru, yang perlu mengadaptasi dan menyesuaikan kaedah pengajaran revolusioner dan kontemporari dalam membentuk pelajar menjadi pemikir kreatif, bebas dan matang.

Berurusan dengan pelajar yang bermotivasi dan tidak bermotivasi adalah menakutkan dan mencabar.  Pelajar yang berilmu dan bersemangat adalah mereka yang penuh dengan tenaga untuk belajar, dan mereka menetapkan jangkaan yang tinggi terhadap guru untuk membantu mereka meneroka pengetahuan baru dan mencabar kemampuan mereka untuk berfikir diluar kotak.

Sebaliknya, pelajar yang tidak bermotivasi dan bermasalah gagal atau sengaja tidak mahu memahami bahawa pendidikan akan membantu mereka menyinar dan membimbing mereka untuk berjaya.

Daripada merasai kemanisan dan kepuasan yang tertunda, mereka mencari kesenangan dan keseronokan sementara, membuang masa dan wang ringgit, sambil terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti merokok, melepak, menonton pornografi dan merempit.

Bagi mereka, sekolah adalah untuk ‘ulat buku’, kerja rumah adalah penyeksaan dan peraturan sekolah adalah halangan yang membunuh kebebasan dan kebahagiaan mereka.

Sedikitnya mereka menyedari bahawa pendidikan membantu mereka menjadi pemikir unggul, yang akan membuat keputusan pintar ketika mereka menguruskan kerjaya, perkahwinan dan kewangan mereka pada masa akan datang.

Pengetahuan adalah penting kerana ia berfungsi sebagai ramuan untuk hati, minda dan jiwa, tidak kira betapa kecil atau besarnya bahagian yang diperoleh oleh pelajar ketika mereka bersekolah setiap hari.

Pendidik sejati sentiasa cemerlang apabila berurusan dengan pelajar yang sukar dan yang mempunyai pelbagai masalah. Mereka tidak akan menghindari atau lari dari tugas mereka atau mudah digoncangkan oleh tekanan kerana mereka percaya bahawa ‘sinar pelangi’ akan mewarnai kehidupan mereka.

Latest Month

April 2018
S M T W T F S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow