?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

21 MEI — Tahniah kepada kerajaan Pakatan Harapan yang kini membentuk kerajaan bermula Mei 2018.

Kenyataan perdana menteri ketujuh mengenai "beberapa ketua jabatan yang menyalah guna kuasa akan diambil tindakan" menarik minat sesiapa sahaja yang melihat integriti, akauntabiliti dan kredibiliti sebagai proses "Bersih, Cekap dan Amanah."

Tentunya ramai yang ditindas, dikambinghitamkan ingin melihat proses pembersihan dijalankan, namun adakah mereka yang ingin memberi maklumat dilindungi?

Terdapat beberapa artikel menyebut mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Whistle Blower Protection Act) 2010 sebagai tidak efektif dalam melindungi pemberi maklumat. Ini kerana pemberi maklumat tidak dilindungi sekiranya pendedahan itu bercanggah dengan undang-undang bertulis.

Kenyataan ketua pesuruhjaya SPRM bertarikh 11 Feb 2018 mengenai “Mereka tidak perlu takut kerana laporan dan maklumat yang disalurkan kepada SPRM adalah tertakluk kepada kepada kerahsiaan dan kita akan melindungi nama dan identiti setiap pemberi maklumat,” hanya menyatakan "akan melindungi nama".

Pemberi maklumat adalah seorang pekerja atau kakitangan organisasi yang membuat laporan mengenai salah laku majikan di tempat kerja. Pemberi maklumat adalah mereka yang memaklumkan, yang membuat aduan tentang mereka yang bertindak menyalahi etika dan tatacara kerja. Pemberi maklumat boleh jadi kakitangan yang sedang atau sudah berhenti kerja.

Turut dinyatakan, salah laku yang dimaksudkan boleh jadi kejadian lepas, kejadian terkini atau kejadian yang dirancangkan pada masa hadapan.

Berdasarkan akta yang dimaksudkan, identiti seseorang yang memberi maklumat kepada agensi penguatkuasaan bagi membolehkan agensi itu menjalankan dan membuka fail siasatan, akan dilindungi dan tidak dihebah.

Akta ini menyediakan perlindungan kepada mereka yang sukarela tampil untuk melaporkan atau mendedahkan maklumat mengenai aktiviti rasuah atau korupsi. Akta ini juga mengalakkan orang ramai dari seluruh sektor pekerjaan untuk mendedahkan aktiviti yang berkaitan dengan rasuah.

Pemberi maklumat juga diberi status imuniti atau kekebalan dari tindakan sivil, jenayah atau tatatertib apabila mendedahkan pelakuan rasuah.

Akta ini diluluskan di Parlimen pada Jun 2010 dan berkuat kuasa mulai 15 Disember 2010. Objektif akta ini adalah memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dalam bentuk kerahsiaan maklumat yang diberi, kekebalan dari tindakan sivil dan jenayah dan perlindungan daripada tindakan yang memudaratkan mereka.

Perlindungan kepada pemberi maklumat merupakan usaha kerajaan Malaysia dalam membanteraskan rasuah dan menggalakkan urus tadbir yang baik di bawah Program Transformasi Kerajaan (Government Transformation Program).

Ini bertujuan mendedahkan penyalahgunaan kuasa, pelanggaran undang-undang dan standard etika, memudaratkan kesihatan dan keselamatan awam, pembaziran, kerja haram dan tidak sah dan salah urus. Pendedahan itu hendaklah dibuat dalam "niat baik" berdasarkan "alasan yang jujur ​​dan munasabah pada masa kejadian" tanpa memerlukan bukti yang kuat daripada pemberi maklumat.

Kewajipan mengumpulkan bukti ditugaskan kepada unit penyiasatan agensi penguat kuasa untuk memastikan bahawa pemberi maklumat tidak dikompromi. Bagaimanapun, pemberi maklumat boleh memberi keterangan jika ia boleh didapati secara sah melalui kerja mereka.

Namun, dengan apa yang berlaku kepada beberapa ‘pemberi maklumat’ sebelumnya, tidak ramai yang sanggup tampil untuk memberi keterangan kerana ‘kita yang cuba membantu, kita yang kena ‘lutu’.

Mereka yang mendedahkan maklumat sulit dan rahsia pula akan didenda tidak melebihi RM 50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Begitu juga jika terdapat ‘pahlawan, pejuang atau hulubalang’ di tempat kerja, mereka yang memperjuangkan kebenaran, kebaikan, kejujuran, ketelusan dan keikhlasan akan dijadikan mangsa dan dilabel sebagai pengacau, perosak keharmonian, kaki lawan, penderhaka dan tindakan tatatertib pula dikenakan termasuklah dipindah ke tempat kerja lain.

Dari akhbar dan media, kebanyakan salah laku dan rasuah adalah dari kalangan mereka yang memegang kuasa atau berkedudukan seperti pemimpin di pejabat, tetapi apabila berlaku ‘salah laku’, mereka, tidak pula diambil tindakan berbanding dengan kakitangan yang tidak memegang jawatan.

Jelas, beberapa pandangan yang menyatakan "berdiam diri bukan bererti setuju sepenuhnya, memprotes bukan bermakna melawan" cuma budaya yang cuba dijelmakan untuk menjadi ikutan dan tidak memenuhi hasrat murni dan mulia yang dicadangkan.

Oleh itu, jika benar dan sesungguhnya niat untuk mempunyai satu sistem "Bersih, Cekap dan Amanah" dan kini ditambah dengan integriti serta dihormati, elok kita bersama benar-benar berlaku adil kepada semua dengan serius melaksanakan tindakan berdasarkan tuntutan al-Quran, nas dan hadis. Berani kerana benar, takut sendirilah tanggung.

* Azizi Ahmad adalah seorang pendidik Azizi Ahmad Malaymail Online Projek MMO Pendapat  21 Mei 2018

Posts from This Journal by “whistleblower” Tag

Latest Month

November 2018
S M T W T F S
    123
45678910
11121314151617
18192021222324
252627282930 

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow