?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Kita perlu pentaksiran atau peperiksaan?

Kementerian Pendidikan kini dilaporkan memberi peluang dan membuka ruang kepada orang ramai untuk berkongsi pandangan dan pendapat mengenai pendidikan sebaik sahaja Menteri Pendidikan yang baru dilantik kedalam jawatan.

Ramai dan banyak rasanya berasakan Menteri Pendidikan yang baru bersedia menerima dan mempertimbangkan perkara untuk kebaikan pendidikan. Banyak juga sebelum ini  yang ditulis mengenai  'pendidikan holistik'.


Cuma mungkin ramai tidak bersedia untuk bercakap dan menulis tentang kebenaran mengenai 'realiti pendidikan'. Mungkin tiada yang berani menyatakannya atau melakukan sesuatu yang  yang berbeza tetapi lebih sebagai pengikut orang lain.

Ada yang menyatakan tentang pemikiran baru, keperluan inovasi, keperluan untuk berubah. Namun, tiada siapa yang bersedia untuk meletakkan 'realiti dan kebenaran'. Adalah lebih baik menunjukkan dan berkongsi dengan semua, cara untuk melakukan sesuatu dalam pendidikan tanpa perlu menghadapi ujian dan peperiksaan.

Sama ada di United Kingdom, Amerika Syarikat, malah Australia; sama ada di Negara Dunia Ketiga, semua orang perlu menghadapi ujian yang standard. Apabila tiada ujian atau peperiksaan diadakan, bagaimanakah kita boleh mendiskriminasi atau mentaksir siapa yang 'tahu dan yang tidak tahu'.

Kebanyakannya mahu mengikuti pendidikan progresif Finland, tetapi tidak ada yang mengatakan tentang peperiksaan matrikulasi yang ketat lagi sukar; yang pelajar perlu lulus untuk memasuki universiti.

Saya bersetuju dan bersama dengan 'pendidikan holistik'. Tetapi istilah 'holistik' mesti diubah menjadi 'whole ~ istik'. Bagi seseorang yang merujuk kepada Kamus, 'holistik' adalah berunsur keagamaan; tetapi dengan 'whole ~ listik' ia merangkumi ilmu sains, teknologi, agama, kejuruteraan, seni dan matematik (STREAM).

Kami juga mahukan institusi pendidikan negara kita untuk mengintegrasikan sukan dan permainan, persatuan, unit pakaian berseragam serta muzik, seni tarian ke dalam kurikulum, tetapi saya percaya pentaksiran atau peperiksaan standard yang direka dengan sahih dan adil  akan mengukur realiti pembelajaran.

Dimana pelosok dunia sekali pun, ukuran pencapaian akademik pelajarlah yang mengukur siapa 'orang' kita. Malah dalam pemilihan kabinet baru pun ia memerlukan orang yang mempunyai kelayakan dan pengalaman, agar tidak ada ahli yang dipilih akan menjadi saham bahan ketawa kemudiannya.

Akhir-akhir ini, sekumpulan Ahli Akademik dan Persatuan Ibubapa menyuarakan dengan lantang mengenai  ujian atau pentaksiran piawai (standard) di sekolah, kebanyakannya mengatakan bahawa peperiksaan memberi tekanan dan bebanan pada kanak-kanak dan tidak mengukur pembelajaran. Tetapi jika tidak ada peperiksaan yang diadakan, bagaimana mereka akan tahu, pencapaian baik buruk anak-anak mereka yang telah dilaksanakan di sekolah.

Kumpulan Ahli Akademik dan Persatuan ibubapa yang menentang 'peperiksaan' ini lah juga merupakan mereka yang sangat peduli akan prestasi anak-anak mereka dan sanggup membelanjakan lebih banyak wang ringgit, tenaga dan usaha untuk pendidikan. Inilah hipokrasi yang sebenarnya.

Hakikat dan kebenarannya ialah ahli akademik dan persatuan ibubapa yang  vokal , sebenarnya adalah dari kumpulan pendapatan yang lebih baik; yang mahukan lebih banyak untuk anak-anak mereka dan sanggup membayar lebih banyak berbanding keluarga berpendapatan rendah.

Ketidaksamaan adalah penyebab kepada jurang tindakan diantara yang kaya dengan yang miskin, yang telah berkali-kali (dalam beberapa dekad yang lalu), menjadi isu dan penyebab penting mengapa mereka sebenarnya serius dengan peperiksaan atau ujian standard.

Tidak ada ahli akademik atau ibu bapa yang ingin melihat peperiksaan disediakan dan direkabentuk secara yang tidak sahih dan nilai kebolehpercayaan yang rendah. Penyediaan dan persiapan peperiksaan yang lemah akan membawa kepada pengajaran yang membosankan; namun kita masih perlu mengetahui domain tahap rendah (asas) iaitu 'memahami dan mengingat' dalam Taksanomi Bloom.

Adakah kita tidak pasti dan yakin dengan  Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (yang sering bertukar dan diperbaharui)? Panggil dan kumpulkan 'pakar kurikulum' untuk merancang bagi pembinaan kurikulum yang lebih baik, walaupun membina kurikulum terbaik adalah rumit dan sukar. Atau kita sendiri sebenarya meragui mereka yang dipanggil  'pakar' dan oleh itu siapa sebenarnya yang harus kita percayai?

Dalam mengambil ujian dan peperiksaan, pengetahuan, kemahiran dan kecekapan diperlukan untuk membantu pelajar menjawab soalan; mereka mesti tahu, ingat dan faham strategi  5W dan 1H. Percubaan untuk menjadi kreatif (mencipta) mungkin tidak dapat mengubah hakikat bahawa mereka mesti memiliki pengetahuan yang tinggi dan bersedia untuk menjawab ujian.

Pembelajaran berasaskan projek mungkin berfungsi dengan institusi yang mempunyai sumber kewangan yang kuat tetapi tidak dalam senario kurikulum pendidikan semasa kita.

Saya berpandangan bahawa untuk mempersiapkan dan membolehkan pencapaian akademik anak-anak kita untuk cemerlang dalam peperiksaan yang dirancang dengan baik adalah melalui penggunaan kurikulum yang mantap dan pengajaran yang berkesan.

Anak-anak mesti melakukan banyak bacaan, aktif dalam perbincangan terbuka; belajar untuk menyatakan idea secara bertulis. Mereka mesti dilatih tubi dalam membuat pengiraan matematik, membina pemahaman konseptual dan penguasaan pengkomputeran.

Guru atau pendidik mestilah diakui berkepakaran, berpengetahuan dan berintelektual dalam kurikulum dan pentaksiran supaya mereka dapat memaksimakan penyampaian pembelajaran dan penglibatan bermakna.

Sekiranya anda masih tidak bersetuju bahawa peperiksaan atau pentaksiran standard tidak membantu pendidikan anak-anak kita dan juga mengenai realiti pembelajaran; cuba anda kongsi pandangan anda mengenai dunia yang bebas  dari peperiksaan atau  ujian.

Bagi guru dan pendidik, tanggungjawab anda adalah untuk membantu anak-anak kita menghadapi dunia sebenar seperti sekarang, dan menghadapi pentaksiran dan peperiksaan standard. Bantu sahaja dengan berkata atau bersetuju dengan YA.

Azizi Ahmad. (2018, Jun 26). Kita perlu pentaksiran atau peperiksaan?. Utusan Malaysia Rencana Forum.Ms 10

Posts from This Journal by “peperiksaan” Tag

Latest Month

December 2018
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow