?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Memperkasa semula dasar sukan di sekolah

Pada 9 Jun 2011, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan Dasar 1Murid 1 Sukan dengan tujuan melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Dasar ini telah dilancarkan dan dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin (ketika itu).

Penduduk Malaysia juga diharap dapat memupuk budaya bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas bermula dari murid sekolah.


Pelaksanaan dasar ini antaranya memerlukan pihak sekolah membuat perancangan sistematik, memaksimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran sedia ada, mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan sukan dan memastikan aktiviti sukan dijalankan sepanjang tahun.

Mengembalikan kecemerlangan sukan sekolah di seluruh negara dengan penyertaan menyeluruh semua murid dalam kegiatan sukan adalah perlu bagi membangunkan modal insan cergas.

Setiap murid di wajibkan menyertai sekurang-kurangnya aktiviti sukan di sekolah sepanjang tahun.

Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan.

Di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid.

Dibawah Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah.

Pada asasnya Dasar 1 Murid 1 Sukan adalah bertujuan dan berhasrat:

i) membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun bagi membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan.

ii) memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas tidak  yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian.

iii) memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

iv) memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal.

v) mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan dan memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.

Pada tahun 2012, sekumpulan 650 guru Malaysia pertama telah dipilih untuk julung kalinya  melengkapkan program Diploma Antarabangsa Akademi Pendidikan Sukan Jasmani (IDPESS) dan menerima diploma mereka dalam upacara konvokesyen yang diadakan pada hari Sabtu, 19 Oktober 2013 di Balai Budaya Tun Syed Nasir Ismail, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, Malaysia.



Program Akademi telah direka untuk membantu individu membangunkan asas kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam pembangunan, pendidikan jasmani, pengurusan, kecergasan dan disiplin yang berkaitan dengan sukan lain. Program diploma yang merangkumi 10 program kursus Akademi diluluskan pengiktirafan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) setaraf Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 3)

Dengan upacara konvokesyen tersebut, tahun kedua program sukan terus dijalankan dengan melatih lebih 1,000 guru pendidikan jasmani dan guru berpotensi dalam sukan bagi membantu negara meningkatkan sukan belia, antara faedah lain.

Kumpulan berikutnya berjaya memperolehi Diploma mereka pada March 6, 2014.

Kumpulan graduan terakhir Diploma Antarabangsa dalam Pendidikan Jasmani dan Kejurulatihan Sukan (IDPESC) telah menerima Diploma mereka pada 3 Disember 2015 di Kuala Lumpur yang disampaikan oleh YB Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan ketika itu.

Sejak program itu bermula pada 2012,  jumlah keseluruhan guru yang dikatakan terlatih dan berkelayakan itu adalah berjumlah 2,200 orang.

Kumpulan graduan ini diharapkan dapat membantu dan meneruskan meningkatkan kehidupan puluhan ribu pelajar di bawah pengaruh mereka.

Namun begitu, selepas peralihan kuasa berlaku dalam senario politik tanah air, program ini menjadi kaku dan seolah tidak berfungsi. Para guru yang dilatih tidak dilihat dapat dan membantu menyumbang kearah kecemerlangan yang diharapkan.

Tentu sekali peruntukan dan perbelanjaan kewangan bagi menampung program Antarabangsa ini melibatkan jutaan Ringgit Malaysia. Tenaga , usaha dan masa yang dicurahkan untuk menjayakan program ini seolah sia-sia.

Kini peralihan kuasa dan senario politik yang baru; dengan ‘harapan’ yang baru, peneraju yang satu ketika pernah berada dalam ‘pembinaan dan pembangunan’ program asas kembali semula.

Dengan semangat, pengembelingan, permaufakatan dan ‘harapan baru’ seharusnya program ini dijelmakan semula bagi memperkasakan dasar sukan negara yang kini sudah ketinggalan dalam banyak aspek.

Kelebihan yang dirangka untuk memberi banyak peluang dan galakkan kepada murid-murid di negara kita haruslah dilaksanakan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai.

Kita tidak harus bersikap sambil lewa, bak kata pepatah, “sekadar melepaskan batuk di tangga”. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti.

Azizi Ahmad adalah seorang Pendidik dan USSA Master Trainer

Azizi Ahmad Malaysiakini Sukan 25 Julai 2018

Posts from This Journal by “sukan” Tag

Latest Month

August 2018
S M T W T F S
   1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031 

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow