?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Integriti, hipokrasi sistem pendidikan

Budaya integriti tersirat bermula dengan kempen Bersih, Cekap dan Amanah,  hinggalah kepada Pekeliling Perkhidmatan Awam dan penubuhan Unit Integriti di agensi kerajaan.

Ciri positif dan murni yang menjadi asas kepada budaya berintegriti di tempat kerja, usaha pemupukan dan penghayatan budaya berintegriti digariskan dalam Pelan Integriti Nasional (PIN) memang dipatuhi oleh  sebahagian besar pekerja kita namun tidak terlihat dengan berkesannya bagi pihak atasan terutama pengurusan dan pentadbiran.

Dalam sektor awam, kemungkinan yang terlibat dengan ‘makan suap’ mudah dikesan tetapi ‘penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa’ oleh Ketua Jabatan kurang dapat dibanteras sepenuhnya kerana sering mampu dimanipulasi oleh mereka yang mempunyai kuasa tertinggi.

Dalam kes yang terlibat dengan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, keadaan memerlukan mereka yang berani, tabah dan gigih menghadapi kerenah birokrasi yang dihadapi.

Ramai yang cuba mendedahkan penyelewengan yang berlaku namun terpaksa berhadapan dengan mereka yang mampu lagi ‘berkuasa memanipulasi’ perkara.

Mereka yang cuba melaporkan dan mendedahkan kes salahguna kuasa juga terpaksa berhadapan dengan AKTA 711 : Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang tidak diyakini ramai dan  Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan baru-baru ini.

Bagi sesiapa yang membuat laporan dan aduan mereka pula yang dikenakan tindakan.

Kebiasaannya, jika ada mereka yang membuat aduan dan laporan salah laku, tindakan dari pihak pengurusan adalah ‘menyapu dibawah permaidani’ atau menyembunyikan atau tidak meneruskan tindakan ke pihak yang lebih tinggi.

Pelapor atau pengadu kemudiannya akan di senarai hitamkan, di tukarkan, dinasihatkan bersara atau kehidupan sebagai kakitangan yang normal di porak perandakan.

Beberapa laporan dan aduan melalui media akhbar turut tidak diambil tindakan, walhal umum tahu disetiap jabatan kerajaan telah ditubuh Unit Integriti dimana terdapat pegawai yang ditugaskan untuk memetik laporan dan aduan yang tersiar dimedia yang berkaitan dengan jabatan masing-masing.

Ramai pegawai yang memegang kuasa telah sanggup menggadaikan prinsip dan etika semata-mata demi menjaga kedudukan dan kepentingan masing-masing.

Dalam ruangan  Pendapat/Surat, kerap artikel yang ditulis oleh ‘Penulis Tanpa Nama’ (Anonymous) kerana mereka juga risau dan takut akan diambil tindakan, dan pihak media sendiri akan menapis penulisan yang dihantar.

Sebagai contoh, artikel terkini berjudul ‘Easy passage for students’, penulis yang merupakan seorang pensyarah perubatan bergelar Doktor telah memaklumkan akan keresahan  beliau mengenai pencapaian pelajar yang semakin menurun kerana pelajar mengetahui mereka tidak perlu belajar sebaik mungkin kerana mereka tetap akan lulus dalam peperiksaan.

‘Laluan mudah’ ini adalah penyebab mengapa sekurang-kurangnya 30% dari mereka yang tamat pengajian tidak berjaya menamatkan program ‘housemanship’.

Kita sering menyalahkan dan menunding jari kepada pihak lain mengenai piawaian atau standard pusat pengajian luar yang dikatakan tidak meluluskan pelajar kita kerana dikatakan ada unsur diskriminasi, tetapi perkara ini berlaku di dalam negara kita sendiri.

Ketua Jabatan didapati telah mengarah pensyarah/pengajar untuk tidak membebankan pelajar dengan tugasan atau kerja tambahan maupun membuat persediaan sebelum kuliah. Dengan pendekatan PdPc , pensyarah hanya diminta ‘memudahcarakan’ pengajaran, juga dengan sinis dimaklumkan dengan kenyataan ‘jika anda mengajar dengan baik, mereka pasti lulus’.

Walaupun dalam Buku Peraturan Pelajar peratusan kehadiran adalah 80%, dengan program aktiviti yang diikuti pelajar, laporan kehadiran mereka akan menjadi kurang dari 80% tetapi pensyarah diarahkan untuk ‘menukar’ untuk menjadi 90% agar kelihatan cantik.

Pensyarah juga terpaksa menjalankan kelas gantian dan tambahan bagi mencantikkan laporan kehadiran dan untuk membolehkan pelajar menduduki peperiksaan. Mana-mana pensyarah yang ingkar menurut arahan ‘menukar’ maka pensyarah tersebutlah yang akan diambil tindakan dengan salah laku ‘ingkar perintah’

Pentadbir, ketua Jabatan akan menganggu dan mengertak pensyarah untuk meluluskan semua calon pelajar dan kalau boleh memberi semua ‘A’ kepada calon. Sekiranya terdapat sejumlah 2-3% calon yang gagal, satu ujian khas akan diadakan bagi membolehkan calon lulus, walaupun bagi kali keduanya calon tetap gagal. Tidak ada kali ketiga, dan Ketua Jabatan akan ‘memintas’ dengan kuasa yang ada (dari mana kuasa ini diperolehi kami tidak tahu) bagi memastikan pencapaian menunjukkan kadar 100%.

Pensyarah yang terlibat akan terpaksa menjawab dengan panjang lebar jika terdapat calon yang gagal. Mereka yang dikatakan mengagalkan calon (walaupun calon memang gagal) akan diketepikan, disisihkan,  kehilangan prospek dan sebagainya.

Ketua Jabatan, Setiausaha Akademik, Pakar Mata Pelajaran, Pemeriksa Dalaman dan pentadbir akan terus mengecam pensyarah yang terlibat.

Walaupun telah dicadangkan untuk mengambil pemeriksa luar (untuk dikatakan berlaku adil) perkara ini tidak berlaku dengan alasan melibatkan kos, masa dan tenaga. Mereka yang didapati mengagalkan calon akan turut dikambing hitamkan oleh rakan pensyarah (yang hipokrit).

Menambah kesengsaraan kepada tragedi ini, pernah kertas peperiksaan disemak oleh pemeriksa luar, namun ia hanya seolah ‘menutup’ kecacatan yang berlaku.

Para pensyarah yang juga pemeriksa kertas peperiksaan tidak tahu lagi bagaimana untuk menyelesaikan isu ini kerana elok saja kaedah ‘timbang kati’ dijadikan proses dan prosedur.

Jika isu dan permasalahan ini tidak diuruskan dengan bijak, betul dan bersungguh-sungguh, ianya akan menjadi tragedi yang berlanjutan bagi pendidikan negara ini.

Hanya dengan ini, keadilan dan perlakuan berat sebelah dapat dielakkan dan ketelusan serta  kualiti graduan dapat dikekalkan. Amalan hipokrasi adalah nyata dalam institusi pekerjaan negara ini.

Azizi Ahmad Utusan Malaysia Rencana Forum 26 Julai 2018

Posts from This Journal by “integriti” Tag

Latest Month

August 2018
S M T W T F S
   1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031 

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow