?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Tiga cara peroleh bijaksana

20 OGOS — Saya telah memberi kuliah kepada pelajar saya dalam Falsafah dalam Pendidikan sudah agak lama.

Saya sendiri tidak pasti sama ada pelajar menyukai atau tidak subjek ini kerana ia memerlukan pembacaan, kefahaman, keterbukaan dalam berfikir dan menentukan falsafah apakah yang perlu digunakan dalam kehidupan seharian.

Ketabahan dan kesabaran amat diperlukan dalam memberi dan menyumbang buah fikiran, kejujuran dan ketelusan dalam membicarakan dan menerima pandangan.

Pendapat pelajar juga harus diambil kira agar mereka tidak rasa akal pemikiran mereka tidak diperkecilkan mahu pun diri sendiri berasa terlebih tahu, apa lagi berhadapan depan dengan anak muda yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 19 tahun.

Satu pengalaman biasa apabila dalam sesi ‘soal-jawab’ adalah ‘saya bertanya, saya yang menjawab’, adakah itu keadaan biasa dimana-mana institusi pengajian?

Pada suatu hari, seorang pelajar muda yang sering mendiamkan diri sepanjang kuliah membangkitkan keberanian di kelas untuk bertanya satu soalan mudah:

“Bagaimanakah seseorang itu dikatakan memperolehi kebijaksanaan?”

Sudah pasti saya terkejut dan tidak tahu apa yang hendak dikatakan dan cuba menjelaskan bahawa buat masa ini saya tidak dapat memberikan jawapan kepada soalannya, kerana sedang memberi tumpuan kepada etika dan falsafah politik, dan bukan epistemologi (ilmu pengetahuan).

Anak muda itu terus merenung saya dengan tajam, “Encik selalunya akan mampu menjawab semua soalan dan perbincangan dan kami sering terpinga dan terlopong dengan maklum balas yang diberikan, tetapi encik tidak boleh menjawab soalan mudah tentang bagaimana seseorang memperolehi kebijaksanaan?”

Seluruh kelas menjadi bising dengan gelak ketawa kerana ini merupakan seperti ‘hari ini dalam sejarah’.

Keesokan harinya, saya bertemu lagi dengan anak muda tersebut, “Maaf dari saya kerana tidak dapat menjawab soalan anda semalam adalah kerana saya tidak memberi masa untuk memikirkannya, jika tidak jawapannya adalah mudah: Anda mendapat kebijaksanaan melalui introspeksi  (proses penilaian diri (fikiran, idea, perasaan dengan mendalam)

Malah, inilah satu-satunya cara untuk mendapatkan kebijaksanaan.”

Anak muda tersebut tersenyum sinis,  ”Adakah encik pasti? Jika kita dapat memperolehi kebijaksanaan dengan berfikir sendiri, maka mengapa kami harus menghadiri dan mengambil kelas falsafah ini?”

Saya terdiam dengan kenyataan dan mengangguk, betul juga kata beliau.

“Terima kasih kerana memberi pandangan dan pelajaran penting: Anda juga boleh mendapatkan kebijaksanaan dari orang lain.”

Anak muda itu tersenyum bangga sambil berkata “Jika begitu, saya tahu jauh lebih daripada encik, biar saya pula yang mengambil kelas ini kerana tidak ada lagi yang dapat encik ajar kami.”

Saya kemudiannya bertanya, “Betulkah awak nak menggantikan saya untuk subjek ini? Saya baru saja hendak berkongsi perkara ketiga untuk memperolehi kebijaksanaan yang tidak disebutkan lagi. Tetapi saya rasa anda boleh memberitahu kami.”

Anak muda itu tertunduk seakan menyesali, “Saya tidak tahu...” Teman-teman sekelasnya turut tersengih-sengih. Selepas beberapa ketika, dia bertanya, “Apakah perkara ketiga itu?”

“Anda boleh mendapatkan kebijaksanaan dari pengalaman. Pengalaman kerana tidak dapat memberi jawapan ketika sesi soal-jawab kerana agak tidak bersedia telah mengajar saya kerendahan hati. Saya harap ia mengajar perkara yang sama kepada anda juga.”

Confucius telah berkata “Kita boleh belajar kebijaksanaan melalui tiga kaedah: Pertama, dengan membuat refleksi, sesuatu yang paling mulia; Kedua, dengan meniru apa yang orang lain lakukan, yang paling mudah; dan ketiga dengan pengalaman, yang paling pahit.”

Ada cara lain untuk memperolehi kebijaksanaan, tetapi saya rasa ketiga-tiganya adalah permulaan yang baik.


Azizi Ahmad The Malaymail Projek MMO Pendapat 20 Ogos 2018

Posts from This Journal by “bijak” Tag

Latest Month

December 2018
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow