?

Log in

No account? Create an account

Previous Entry | Next Entry

Guru senior, fahami dan hormatilah kami

Seperti biasa pada hari Khamis petang saya akan ke pasar malam Jalan Kuching yang terletak lebih kurang 1Km sahaja dari tempat tinggal saya bersama isteri.

Isteri saya sering berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis tetapi hari Isnin tiada pasar malam di persekitaran tempat tinggal saya cuma pada hari Khamis yang ada pasar malam.

Tujuannya adalah untuk membeli jaudah berbuka puasa pada hari tersebut, tak kira hujan atau panas kerana hari tersebut isteri saya tidak akan memasak untuk makan malam. Kata orang biarlah dia rihat sehari dalam seminggu  dari memasak.

Lagi pun in syaa Allah pahala puasa akan dapat kepada saya juga, kata orang-orang tua. Benar atau tidak wallahualam lah.

Suasana di pasar malam Jalan Kuching memang sesak dengan kenderaan dan orang ramai terutama ketika kerja pembinaan jalan masih lagi berjalan sejak 2 tahun lalu. Entah bila nak siap tak tahu lah, tunggu sajalah rungut mereka yang sering ke situ.

Dalam kesesakan ke pasar malam, tiba-tiba saya terlihat satu pasangan suami isteri tersenyum dihadapan saya.

“Assalamualaikum, apa khabar Encik” Masih ingat kami lagi?” sapa pasangan tersebut.

“Alhamdulillah, ingat, ingat kata saya. Dah nak balik ke?” tanya saya pada pasangan tersebut.

“Sekejap lagi, ada satu dua barang yang belum kami beli” sambil kami beredar ketepi bagi membolehkan orang ramai lalu lalang.

Kemudian si isteri berkata pada suaminya, “Abang, abang pergi beli barang yang belum dibeli, saya ada hal nak berborak dengan Encik sekejap”.

“Okay, tunggu sini ya,” kata si suami dan terus beredar untuk membeli barangan yang belum dibeli. Sementara isteri saya sudah pun entah kemana. Biarlah sahaja kerana dia tentu tahu nak beli apa untuk berbuka puasa.

Sebenarnya, pasangan ini adalah merupakan bekas pelajar saya semasa mereka mengikuti program KPLI dulu.

Dan saya masih berhubung dengan mereka walaupun melalui Facebook sahaja tapi hari ini baru berkesempatan bertemu bersemuka. Biarlah saya rahsiakan nama mereka (untuk tujuan penulisan ini).


Tanpa melengahkan masa, si isteri memulakan perbualan dengan saya.

“Encik, kalau saya minta pandangan dan bercerita dengan Encik boleh tak?” kata pasangan isteri tersebut.

“Eh, tentulah boleh, nampak serius ni” kata saya sambil tersenyum.

“Okay, saya masih ingat bila kita berbincang dalam kuliah dulu mengenai guru senior dan guru novis. Encik ada menceritakan pengalaman Encik sendiri sebagai guru muda dan sebagai guru senior. Saya rasa memang benar apa yang Encik kongsi pengalaman tersebut kerana ianya berlaku kepada saya juga.” katanya lagi.

Saya mengerut kening saya, sambil meminta beliau meneruskan hasrat beliau.

“Guru senior di sekolah saya sentiasa cuba untuk mengelat (mengelak) dari membuat kerja yang sepatutnya dan pentadbir pula sentiasa menekan kami guru novis (muda) disebabkan ramai guru senior memberi alasan sakit dan tidak sihat”, cerita beliau lagi.

“Dan pentadbir sekolah pula sering dan asyik sahaja menyerah tugas dan tanggungjawab kepada guru muda kerana dikatakan kami masih muda, baru dan bertenaga serta untuk memberi peluang menimba pengalaman, “ katanya lagi.

Saya pernah berkongsi pengalaman ini dengan bekas pelajar saya tentang alasan yang sering diberikan oleh guru senior iaitu ‘tiba masa untuk menyerahkan tanggungjawab kerana guru senior akan sering berkata mereka sudah tak larat, penat, jenuh kerana sudah lama membuat kerja rutin atau kebiasaan yang diarahkan oleh pihak sekolah.’ dan nampaknya putaran kisah berkisar semula.

“Kami sebagai guru muda tidak terbela oleh mana-mana pihak samada dari pihak Pejabat Pendidikan Daerah mahupun pentadbir sendiri.” tambah beliau lagi.

Cuma saya tidak bersetuju dengan beliau apabila beliau merungut mengenai gaji guru senior.

Katanya, boleh dikatakan pentadbir sentiasa memberi muka pada guru senior yang kebanyakannya bergaji besar dan berpangkat tinggi tetapi bebanan kerja yang diberikan sangatlah sedikit jika dibandingkan dengan gaji yang guru muda perolehi.

Tentulah gaji guru senior nampak lebih besar dan tinggi kerana guru senior pun sudah berusia dan hampir tamat tempoh perkhidmatan dalam kerajaan iaitu dah nak dekat pencen dah.

Yang saya setuju dengan beliau adalah apabila beliau berkata “kami guru muda sentiasa positif untuk menerima kerja yang diberikan tetapi biarlah ada keadilan dalam perkongsian bebanan kerja. Walaupun kami muda, punya kudrat yang lebih dari guru senior, kami masih di peringkat sedang mengadaptasi tekanan kerja dan kehidupan yang secara realitinya masih belum stabil dari segi kewangan.”

Alhamdulillah, semangat yang saya tiupkan kepada beliau ketika menjalani latihan kursus sekurang-kurangnya tersemat dalam jiwa beliau.

Saya mencelah dengan menyatakan bahawa guru muda tidak boleh memberi alasan masalah kehidupan untuk mengelak kerja yang diberikan danguru senior juga tidak boleh berikan alasan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan sentiasa mencari jalan agar tugas dan tanggungjawab diberikan kepada guru yang lebih muda.

Saya percaya dan berharap agar generasi muda guru yang menjadi harapan negara mampu menempuhi dan menghadapi tekanan kerja, kemurungan, kematian mengejut dan sebagainya.  Semua ini adalah kerana tekanan (stress) melampau.

“Bukan kami tidak pernah meluahkan, tetapi suara kami tidak didengari atau dengan erti kata lain tiada siapa pernah peduli isi hati kami. Jangan lah disebabkan segelintir guru muda yang pemalas semua guru muda yang rajin terpaksa menerima natijahnya. Berilah sedikit rasa kasihan, suntiklah sedikit rasa perikemanusiaan dan tanamlah sifat keadilan dalam menguruskan sesebuah organisasi.” kata beliau lagi.

Saya mengangguk dan bersetuju dengan luahan beliau. In syaa Allah moga luahan ini dapat didengari dan diambil perhatian oleh pihak yang berkenaan.

Guru muda juga perlu diberi peluang dan masa untuk menghadapi profesion yang mulia lagi mencabar ini.

Saya kemudiannya berjanji untuk mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan beliau suami isteri dalam menempuh cabaran profesion ini.

Azan maghrib pun berkemundangan dan kelihatan isteri saya berbuka puasa di tepi jalan pasar malam Jalan Kuching. Jom kita balik.


Azizi Ahmad Utusan Malaysia Forum 28 Oktober 2018

Posts from This Journal by “guru” Tag

Latest Month

December 2018
S M T W T F S
      1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031     

Tags

Powered by LiveJournal.com
Designed by Tiffany Chow