kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Banyak beza bijak dan pandai

9 OGOS — Seorang yang dikatakan bijak, pandai menemplak adalah mereka yang mengeluarkan ‘soalan bodoh’.


Didalam bidang akademik, seharusnya yang bijak pandai hendaklah membimbing yang kurang pandai, menegur dengan berhemah dan memberi peluang seseorang memperbaiki kekurangan.


Namun, senario masa kini, ramai pula bijak pandai dikategorikan sebagai ‘bodoh sombong’, tambahan dengan jawatan, gelaran dan kedudukan yang mereka pegang.


Dalam sebarang perbincangan, pastinya kita akan memperolehi jawapan yang dipersetujui dan juga keputusan yang tidak menyebelahi.


Kita harus bersetuju dengan pendapat bahawasanya kita mempunyai kepercayaan sendiri yang mana tiada siapa boleh menukar fikiran kita dan begitu juga dengan pandangan mereka yang kita tidak boleh sesuka hati meminta mereka bersetuju dengan kita.


Saya percaya ini adalah merupakan salah satu perbezaan diantara seorang yang  bijak dengan seorang yang pandai. Walaupun seorang pendidik dikatakan bijak (melalui kelulusan, kelayakan dan pengalaman) dan pelajar dikatakan pandai (kebanyakan pelajar saya adalah ‘pelajar terpilih’) ini juga merupakan perbezaan diantara bijak dan pandai, namun ‘kepintaran’ ini akan teruji apabila ianya membawa kita ke tahap pemikiran yang lebih tinggi.


Kita juga sering mendengar, ibubapa memuji bahawa anak-anak mereka adalah pandai tapi tidak ‘bijak’. Ungkapan bijak biasanya dikaitkan ‘kejayaan’. Jika anda membesar secara ‘bijak’ sayugianya anda berjaya dalam kerjaya dan kehidupan kelak.



Bolehkah atau tidak sesorang itu menjadi bijak? Jika seseorang itu menghabiskan masa beliau selama 10 tahun mempelajari sesuatu bidang atau mentelaah 100 buah topik buku yang sama dan mengambil program kursus topik yang sama, adakah beliau tidak boleh dikatakan ‘bijak’ atau adakah dengan keadaan demikian beliau adalah bijak?


Anda mungkin pernah berjumpa dengan seseorang yang bertan-tan pengetahuan beliau mengenai sukan tetapi beliau bukan seorang ahli sukan; atau sesorang yang mempelajari bidang agama tetapi tidak mengamalkan doktrin yang dipelajari dalam bidang tersebut. Mereka ini mungkin pintar tetapi tidak bijak mungkin.


Kebiasaannya orang pintar cenderung untuk memproses maklumat secara logik sedangkan orang bijak memproses emosi, rohani, dan sisi halus dengan logik.


Kita sering bertemu ramai orang yang pintar dalam kehidupan kita, malangnya mereka melepaskan peluang untuk meletakkan diri mereka dalam situasi di mana mereka akan berkembang pada kadar yang lebih cepat.


Pengalaman adalah satu kelebihan yang hebat. Masalahnya ialah apabila anda mendapat pengalaman itu, anda sudah terlalu tua untuk melakukan apa-apa.


Tidak ada keraguan bahawa sebahagian besar kebijaksanaan datang bersama pengalaman, tetapi salah satu formula yang paling penting untuk memperoleh kebijaksanaan adalah berada bersama dengan orang-orang yang lebih bijak daripada anda; yang anda percaya dan membantu anda dalam memperoleh kebijaksanaan.


Mereka yang bijak tahu bahawa mereka bukanlah orang yang paling bijak di luar sana, inilah yang membuat mereka mencari maklumat baru agar mereka belajar dan berkembang.


Kita juga pastinya pernah mendengar ungkapan  "dia terlalu pintar untuk kebaikan diri sendiri," tetapi saya tidak pasti berapa kerap anda pernah mendengar "dia terlalu bijak untuk kebaikannya sendiri."


Terdapat perbezaan yang besar antara mengetahui perkara dan mengetahui cara menggunakan apa yang anda tahu.


Perbezaan yang jelas adalah bahawa kepintaran adalah proses pembelajaran sementara kebijaksanaan adalah produk pengalaman.


Rancangan yang ideal ialah untuk menjadi bijak dan pintar. Benarkan pemikiran anda dicabar agar dapat menjadi lebih tajam.


Terapkan apa yang anda pelajari untuk menjadikan pengetahuan anda menjadi kebijaksanaan. Jika anda tahu tetapi tidak melakukan atau mengamalkannya, anda dianggap sebagai seseorang pandai. Jika anda belajar dan menerapkan pengetahuan itu, walaupun anda mungkin melakukan kesalahan, anda berusaha untuk menjadi bijak.


Dan dengan berbuat demikian, anda akan melihat perbezaan dalam cara anda menangani orang, mengatasi cabaran, menyelesaikan masalah, menguruskan kewangan, dan meningkatkan nilai anda dalam pekerjaan dan kerjaya anda.


Azizi Ahmad Malaymail Projek MMO Pendapat 09 Ogos 2019


Tags: bijak, bodoh, pandai, writing
Subscribe

Posts from This Journal “bijak” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments