kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Nilai moral terhadap orang tua kian terpinggir

1 Oktober telah dipilih oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Hari Orang Tua (Orang Lama) Sedunia.

Menurut statistik penuaan penduduk bagi abad ke-21, mereka yang berusia 60 tahun ke atas kini akan mencecah 1.4 bilion pada tahun 2030.

Malaysia turut terkesan dengan peningkatan ketara dan pesat ini dan Hari Antarabangsa Orang Tuan/Orang Lama bertujuan menyoroti sumbangan mereka kepada masyarakat dan untuk meningkatkan kesedaran mengenai peluang dan cabaran penduduk global yang semakin tua.


Orang tua/lama sentiasa memainkan peranan penting dalam masyarakat sebagai pemimpin, penjaga dan pengekal tradisi.

Namun golongan ini juga terdedah kepada persekitaran mereka seiring dengan usia, ada yang sering dan mula sakit, menjadi kurang upaya dan ada juga jatuh ke dalam kemiskinan.

Yang bertuah mungkin dipelihara oleh keluarga atau kerabat mereka, dan tak kurang yang dihantar ke rumah penjagaan orang tua.

Secara statistik, Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya mendapati bahawa, pada tahun 2020, terdapat kira-kira 3.5 juta rakyat Malaysia berusia 60 tahun ke atas, dan menjelang 2040, meningkat kepada kira-kira 6.3 juta, iaitu peningkatan kira-kira 20 peratus dari bilangan penduduk keseluruhan Malaysia.

Penduduk Malaysia dikatakan telah bersedia untuk ini. Kerajaan Malaysia dikatakan juga telah menyediakan dan mempunyai kemudahan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik untuk orang tua/lama, satu perkara yang perlu kita harapkan.

Yang terkurang adalah rasa hormat kepada warga tua/lama oleh remaja kita, keadaan yang lazim juga di banyak negara.

Contoh tingkah laku yang tidak menghormati termasuk tingkah laku yang tidak berperikemanusiaan, memberi komen yang tidak sensitif, gerak isyarat kasar, penyalahgunaan lisan dan fizikal, buli dan intimidasi fizikal.

Sungguhpun pakar mengatakan dengan pendidikan yang meningkat, terdapat kepekaan dan empati yang lebih besar, tetapi ini juga bergantung pada kualiti pendidikan manusia, yang idealnya, "akan memperluas cakerawala intelektual golongan muda".

Bayangkan gambaran anak-anak muda yang tidak menawarkan tempat duduknya kepada orang yang memerlukan semasa menaiki keretapi, anak muda yang tidak meminta maaf kepada seorang tua ketika terlanggar dan bertembung ketika di pasar raya, atau seorang anak muda memarahi ibu bapanya diatas ketidaksopanan beliau sendiri. Adegan membingungkan sedemikian seakan lumrah dan menjadi lazim.

Antara tahun 1960-an dan 1990-an, kumpulan anak muda melihat golongan tua/lama sebagai "perujuk yang berpengetahuan lagi berpengalaman", kata sebuah kajian pada tahun 2016.

Samada mereka mempunyai pendidikan atau tidak, golongan tua/lama dilihat sebagai orang yang mempunyai "kuasa", dihormati dan mesti dihormati. Sungguh menyedihkan bahawa hari ini ada golongan anak muda berpendidikan beranggapan dan berfikir mereka lebih baik daripada golongan yang ‘berpengalaman dan berpengetahuan’.

Untuk mengatasi "kanser sosial" ini, yang paling jelas adalah kita perlu bermula dari akar umbi; sekolah mesti menitik beratkan pendidikan moral dalam sukatan pelajaran mereka.

Langkah kerajaan untuk mengintegrasikan Pendidikan Sivik dalam lima mata pelajaran, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah adalah satu langkah ke arah yang betul.

Pendidik dan guru juga harus dilatih dalam pendidikan moral dan sivik sebelum mereka dapat memberikan pengetahuan kepada anak-anak kita.

Seorang ahli geriatri mencadangkan bahawa untuk menerapkan nilai moral kita hendaklah melaksanakan tindakan dengan betul untuk menjadikannya berkesan dan bermakna.

Kita perlu mengamalkan apa yang baik untuk diberikan kepada anak-anak kita. Kita semua hendaklah bekerjasama dan seiring membentuk dan memelihara anak-anak kita sebagai warga teladan.

Azizi Ahmad Berita Harian Surat Pembaca 2 Oktober 2019
Tags: moral, nilai, tua, writing
Subscribe

Posts from This Journal “nilai” Tag

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments