kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Mereka yang celaru minda

Peluang mendapat pekerjaan sejak pengambilan kerajaan baru memang sukar. Laporan media juga melaporkan bahawa lebih dari 60 peratus bilangan graduan sejak tahun 2018 masih belum berjaya mendapat pekerjaan.

Bagi yang berjaya tentunya sangat bersyukur kerana pastinya boleh membantu keluarga dan diri sendiri kerana memperolehi kerja dan pendapatan untuk dikongsikan bersama.

Pastinya juga semua orang yang menyertai tempat kerja baru menjangka dapat mencari persekitaran yang bahagia dan sihat.

Walau bagaimanapun, ini tidak selalu berlaku. Kadang-kadang,  pekerja mendapati diri mereka terjebak dalam persekitaran kerja toksik, atau di tengah-tengah hubungan kerja yang merosakkan.

Dalam beberapa kes, ketoksikan ini boleh menyebabkan mereka berhenti kerja atau meminta ditukarkan atau berpindah.

Walau bagaimanapun, janganlah berasa anda tidak berdaya. Anda boleh melakukan sesuatu untuk berjaya memilih cara anda menghadapi ketoksikan.

Anda mungkin merupakan sumber keracunan atau toksikan. Pastikan diri anda lurus, jujur, dan ikhlas dalam menilai tindakan dan tingkah laku anda, dan bagaimana ia mempengaruhi ahli pasukan lain.

Sebagai contoh, adakah anda sentiasa melemahkan atau mempersendakan kerja orang lain?

Adakah anda  menyedari bahawa rakan anda terbeban akibat dari kelemahan anda sendiri?

Kita sering diminta bersikap profesional.  Elakkan diri dari menjadi  pusat setiap gosip dan ‘sembang dosa kering’ pejabat yang tidak perlu.

Selesaikan kerja anda dan pulanglah apabila tiba masa tamat bekerja.

Elok juga untuk mengelak dari berhadapan dan berkonfrantasi dengan rakan kerja toksik.

Ingat, tingkah laku dan perlakuan anda di tempat kerja adalah satu gambaran tentang jenama majikan anda.

Konfrontasi dan gosip atau membawang yang berniat jahat akhirnya akan melantun keluar dari pejabat dan mencerminkan dengan teruk pada anda dan majikan anda.

Dan jangan lupa bahawa dinding pejabat mempunyai telinga!

Sekiranya ketoksikan itu diarahkan kepada anda, anda mesti bangun dan berhadapan dengan penghantarnya secara  bersemuka. Ini akan memberitahu mereka bahawa anda tidak selesa dengan tabiat yang tidak membawa makna.

Dengan cara ini, anda akan memaklumkan  dan menetapkan piawai bagaimana orang lain akan berurusan dan berinteraksi dengan anda.

Jangan menganggap bahawa ‘peracun toksik’ akan bangun suatu pagi dan tiba-tiba menyedari bahawa mereka memberi kesan negatif kepada kerja atau output anda.

Peracun toksik tidak akan mahu sedar, di sedar atau ingin sedar.

Sekiranya anda terjejas dengan keadaan tidak ketahuan dan kecelaruan , anda harus membuat satu permohonan untuk meminta maklum balas mengenai tingkah laku anda sendiri.

Anda seharusnya cuba mengelak pendekatan ‘pertengkaran panas dan berdendam’.

Sekiranya anda  telah mencuba segala-galanya tanpa kejayaan, pertimbangkan untuk membawa masalah ini kepada perhatian pengurus anda.

Cuma  ‘kronisme’  menebal akan mengagalkan usaha perbincangan.

Ini mungkin suatu usaha yang sangat tidak selesa kerana ahli pasukan lain mungkin salah menafsirkan tindakan anda sebagai ‘menikam belakang’.

Ia juga seolah menentang norma, terutama jika ketoksikan telah berterusan untuk jangka masa yang panjang dan jika tiada seorang pun di dalam pasukan itu cukup berani untuk menyuarakan permasalahan yang berlaku.

Kuncinya adalah untuk kekal berkecuali dalam cara anda menyuarakan kebimbangan anda.

Jangan menyalahkan atau membuat tuduhan terhadap  orang lain tanpa bukti ketara.

Pastikan dokumentasi lengkap mengenai semua yang telah berlaku, berpegang kepada fakta, dan jelas.

Jangan mengeluarkan ‘kata putus’ , sebaliknya, mintalah cadangan penyelesaian  bagi menjernihkan dan membersihkan keadaan.

Sungguh pun adalah bijak dengan meminta ketua Jabatan tempat anda untuk mempengerusikan  mesyuarat bagi menangani isu-isu, tetapi budaya kita yang sering berhadapan dengan ketua Jabatan yang tidak adil, ‘play-safe’ dan kronisme akan menggagalkan segala usaha.

Langkah proaktif sedemikian akan menyediakan forum di mana ahli pasukan lain dapat memperoleh pemahaman yang lebih baik mengenai perspektif masing-masing, menetapkan tingkah laku dan rangkaian, dan meningkatkan akauntabiliti di kalangan mereka.

Elakkan dari tersesat dalam ketoksikan. Kawalkan  kesejahteraan emosi dan psikologi anda dan teruskan fokus pada matlamat dan sasaran anda.

Ketoksikan dengan mudah boleh melemahkan kekuatan mental anda, terutamanya apabila di penuhi dengan tekanan dan kegagalan menghadapi tekanan.

Amalkan pemakanan yang baik, bersenam apabila anda boleh, dan berehat jika perlu.

Jangan berharap sangat dengan perkara yang anda tidak boleh ubah, dan jika semua usaha campur tangan anda tidak berfungsi, pertimbangkan untuk mencari ‘kawasan padang rumput yang lebih hijau’.

Anda juga di harap mempunyai mentor yang bijak dan berpengalaman, mungkin beliau boleh membantu anda atau menunjuk jalan yang akan diambil, dan apa pilihan untuk dijangkau.

Apabila menangani  rakan kerja toksik atau beracun, pastikan untuk menangani tingkah laku toksik, dan bukan keperibadian rakan sekerja.

Jangan cuba perbetulkan personaliti  atau keperibadian mereka, kerana ini boleh mengakibatkan kecederaan emosi dan psikologi yang berpanjangan.

Sebaliknya, fokus pada tingkah laku mereka dan jelaskan kepada mereka bagaimana tindakan mereka mempengaruhi kecekapan pasukan. Cari dan ketahui punca masalah.

Mungkin rakan kerja yang mengharu-birukan tempat kerja itu mengalami beberapa masalah rumahtangga , dan ketegangan itu secara tidak sengaja ditumpahkan ke tempat kerja.

Azizi Ahmad Bebas News Columnist Analisis 4 November 2019
Tags: minda, toksik, writing
Subscribe

Posts from This Journal “toksik” Tag

  • Tempat kerja bertoksik?

    Dalam keadaan ekonomi yang agak sukar di negara kita ini, ramai yang mungkin tidak menyedari dan sedar akan keadaan persekitaran tempat kerja yang…

  • Budaya kerja toksik

    Budaya kerja. Cuba anda gunakan enjin pencarian Google dan anda akan mendapat hasil keputusan carian sebanyak 1,71,00,00,000 (0.67 saat) mengenai…

  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments