kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

Cabaran mendidik semasa wabak Covid-19

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih 1.4 bilion kanak-kanak di 136 negara telah terjejas akibat penutupan sekolah dan universiti untuk mencegah penyebaran COVID-19.

Peningkatan ini dijangka beterusan dan membawa kepada gangguan dalam PDP di sekolah, kolej dan universiti di seluruh dunia.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi bertindak bijak dan awal dengan menutup sekolah-sekolah dan universiti sebelum negara-negara seperti Itali dan UK (yang kini muncul sebagai tumpuan penyebaran virus global yang baru).

Ketika UK dan Itali teragak-agak, Malaysia sudah pun mengambil tindakan tegas dengan menambah cuti sekolah sehingga 14 April 2020.

Berhadapan dengan realiti baru ini, institusi pendidikan di seluruh dunia kini berebut untuk mencari amalan terbaik dalam pembelajaran diatas talian.

Kementerian Pendidikan Malaysia melalui kenyataan Garis Panduan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Semasa Perintah Kawalan Pergerakan telah disediakan oleh KPM (27 Mac 2020) memperincikan peranan dan tanggungjawab pentadbir, guru, ibu bapa dan murid untuk memastikan penyampaian PdP yang berkesan.

Pendidik diberi fleksibiliti dari segi masa PdP, kaedah membimbing murid, menyemak dan memeriksa latihan/tugasan/kerja rumah murid.

Penghantaran dan pengambilan bahan cetak yang melibatkan pergerakan dalam tempoh PKP adalah dilarang sama sekali.

Berkat kerjasama pentadbir, guru, ibu bapa dan murid, KPM yakin pembelajaran murid dapat dilaksanakan dengan berkesan walaupun dalam keadaan yang mencabar ini.

Bagi pendidik pula, mereka perlu mempertimbangkan untuk membuat pelarasan dasar dalam penyampaian dan pentaksiran akademik.

Walaupun tidak menyeluruh, tindakan dasar seperti itu boleh termasuk:

Mengurangkan beban mengajar bersemuka

• Mengkaji semula nilai pentaksiran dalaman dan luaran

• Menganjak tarikh penyerahan tugasan ke hadapan

• Mencari pentaksiran alternatif

• Menawarkan komunikasi dan sokongan yang jelas kepada yang terlibat

• Menawarkan konsesi dan sokongan untuk pelajar yang tidak mempunyai akses kepada sumber

Kewajipan dan tanggungjawab bukan hanya di sekolah dan universiti. Ia jelas lebih kritikal kepada pengawal selia dan kementerian pendidikan di seluruh dunia.

Ahli politik, penggubal dasar, gergasi teknologi, pengeluar peranti dan penyedia perkhidmatan internet (ISP) juga perlu bersama untuk memerangi gangguan perjalanan bilik darjah dan berusaha ke arah pelan yang boleh menjaga kontingensi semasa.

Peningkatan dalam ‘penjarakkan sosial’ (social distancing) dan belajar dari rumah boleh diterjemahkan sebagai permohonan untuk mendapatkan akses internet percuma adalah dianggap sebagai hak asasi manusia.

Kerajaan juga melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berkata, beberapa pakej khas akan ditawarkan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, antaranya internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta, mulai 1 April ini sehingga tempoh pelaksanaan PKP ditamatkan. (27 Mac 2020)

Perkara ini dijelaskan menerusi satu kenyataan media bersama oleh enam syarikat telekomunikasi dimana semua pelanggan Pascabayar dan Prabayar Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile akan menerima internet percuma berkelajuan tinggi sebanyak 1GB setiap hari, untuk digunakan antara pukul 8 pagi dan 6 petang. Ini akan bermula pada 1 April 2020 dan berkuatkuasa sepanjang tempoh PKP.

Bagi mereka yang sudah terdedah kepada pembelajaran diatas talian, meneroka platform baru lebih mudah dan cepat , sama ada mencipta bilik darjah maya di Google Classroom , Moodle atau lain-lain platform pembelajaran maya yang di cadangkan.

Tetapi ini adalah bahagian yang lebih mudah. Bahagian yang sukar adalah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku.

Cabaran pengajaran, pengasingan diri dan penutupan sekolah turut hadir seiring peningkatan besar dalam beban kerja untuk pendidik di rumah. Persekitaran bilik darjah telah berubah secara tiba-tiba.

Menyedia dan menghantar nota suara, rakaman ceramah, merenung di depan skrin untuk jangka masa panjang, menyediakan dan menilai tugasan dan memantau kemajuan setiap pelajar apabila semua orang diasingkan  adalah tugas setinggi pergunungan Himalaya.

Kemudian terdapat cabaran pengajaran mata pelajaran seperti aspek kejuruteraan, reka bentuk dan animasi tertentu.
Digabungkan dengan semua ini adalah pengasingan fizikal; tanpa gelak ketawa, gurau senda , perbincangan dan kehangatan bersama dalam kelas.

Perubahan dalam dasar mengenai penyampaian akademik juga perlu dilihat dari sudut kekurangan pendidik sendiri (ada pendidik yang perlu belajar semula dan agak sukar dengan penggunaan komunikasi teknologi maklumat) keadaan rumah kerana ia mungkin akan menjadi lebih teruk dari apa yang dihasratkan.

Walaupun kebanyakan guru akan memberitahu anda bahawa ia adalah satu cabaran untuk mendapatkan perhatian pelajar di dalam bilik darjah; perkongsian ‘memes’  dan lawak jenaka di media sosial yang memberi kesaksian betapa sukarnya pendidik dan ibu bapa untuk memastikan PDP berlangsung di rumah.

Azizi Ahmad Malaysia Dateline Rencana 31 Mac 2020
Tags: mendidik, pandemik, virus, wabak, writings
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments