kheru2006 (kheru2006) wrote,
kheru2006
kheru2006

KOLUM | Ganja dan ketum: Tumbuhan asli Tanah Melayu

KOLUM | Aku tidak akan menggunakan nama saintifik atau lebih tepat lagi nama kolonial terhadap dua tumbuhan asli milik bumi tropikal Tanah Melayu ini.

Nama-nama yang bunyinya pelik lagi asing dan susah nak dieja. Nama-nama pelik ini pada hemat aku ini sengaja disebarkan untuk menakut-nakutkan orang yang mendengar.

Malaysiakini

Dalam masa yang sama nama kolonial ini digunakan untuk nak menunjukkan betapa bijaknya sosok yang berupaya mengeja dan menyebut nama itu.

Dua tumbuhan asli dari bumi tropikal Tanah Melayu yang ialah ganja dan ketum.

Semua warga tahu apa itu ganja. Semua tahu apa itu ketum. Mustahil ada sosok yang mengada-ngada buat tidak tahu.

Aku yakin semua warga yang akil baligh pernah mendengar nama ganja dan ketum sekurang-kurangnya sekali. Aku juga yakin ramai belum melihat rupa dua tumbuhan ini. Mungkin juga ramai juga yang tidak tahu apa guna dan peranan dua tumbuhan ini.

Kalau masih ada lagi Mamat atau Minah yang kata  tak pernah mendengar ganja dan ketum – kalau aku ada kuasa - aku akan gantung status kerakyatan hingga mereka kenal apa itu ganja dan apa itu ketum.

Jangan risau dan jangan kecewa kalau tak pernah melihat ganja dan daun ketum. Tidak pernah melihat dua tumbuhan ini bukan satu jenayah.

Penggunaan nama Latin untuk ketum dan ganja adalah mengarut. Ketum dan ganja mustahil akan tumbuh segar di tepi Sungai Tiber Rom Itali – tempat asal usul bahasa Latin.

Satu Tanah Melayu tahu bahawa ganja dan ketum boleh hidup subur membiak di belakang kedai Pak Usin Batu Tujuh Bendang Raja Kuala Nerang.

Pasal itu ada daerah dan orang-orang kampung di Tanah Melayu ini panggil Daun Ketum sebagai Daun Biak. Kerana senang membiak dalam alam bumi tropikal.

Aku menulis tentang ketum dan ganja ini dengan tujuan yang amat jelas. Aku menulis bukan kerana aku diupah oleh tokan ganja atau tokan ketum. Tidak.

Aku menulis ini untuk membuka pencerahan kepada anak semua bangsa dan bangsa semua agama. Untuk membuka wacana baru tentang daun ketum dan daun ganja.

Untuk menjadikan ganja dan ketum perbualan harian. Membawang dan berlabun tentang ketum dan ganja dari sudut yang segar, cerah dan berpaksikan sejarah dan fakta.

Sentimen anti dari konstruk sosial

Akhirnya aku mahu meminta ahli-ahli parlimen kita menilai kembali sikap antiketum dan antiganja yang mereka anuti. Sikap antiketum dan antiganja ini telah melebar. Sikap anti pada dua tumbuhan asli Tanah Melayu ini muncul melalui apa yang dipanggil akta dan undang-undang yang diluluskan melalui apa yang dipanggil parlimen.

Ahli parlimen dan senator – para YB - bertanggungjawab membuat dan meluluskan rang undang-undang.

Undang-undang ini adalah konstruk sosial yang diwujudkan oleh daulah. Konstruk sosial bukan azali. Konstruk sosial ialah hasil perbuatan manusia. Ia tidak natural seperti petai dan kerdas atau pisang.

Konstruk sosial ini diwujudkan oleh manusia seperti rumah atau reban ayam.

Tetapi ia bukan macam reban ayam yang boleh dilihat dan dipegang. Konstruk sosial tidak dapat dilihat. Tetapi ia wujud. Konstruk sosial wujud dengan agenda dan tujuan masing-masing. Semua kontruk sosial memiliki agenda. Amin.

Pada hemat saya para YB ahli Parlimen yang meluluskan akta dan undang-undang ini boleh juga mengubahnya sekali lagi.

Undang–undang bukan macam air H2O – dua  bahagian hydrogen dan satu bahagian oxygen apabila bercampur akan jadi air. Kombinasi H2O ini tidak boleh diubah-ubah.

Akta antiganja dan antiketum bukan begitu. Hakikatnya apa sahaja yang dibuat oleh manusia boleh juga diubah atau dilupuskan oleh manusia.

Opss... awas... betul ke para YB kita yang membuat akta antiketum dan antiganja ini?

Opps... gua silap. Aku silap besar. Bila aku tanya Lebai Google tentang akta ini baru aku sedar apa yang sebenarnya telah berlaku. Bila aku selidiki lagi maka aku mendapat melihat dengan jelas lagi terang. Terang macam tengah hari jam 12.

Jeng jeng jeng. Pencerahan sampai pada aku. Biar aku terangkan dan berkongsi apa pencerahan ini telah sampai ke dalam kepala aku.

Undang-undang kolonial

Awal wahid - selesai membaca tulisan aku ini para pembaca yang budiman sila beri perhatian teliti. Baca dengan teliti apabila membaca berita tangkapan ganja atau ketum yang dilaporkan oleh media.

Pada hari Isnin, 1 Feb 2021, portal My Metro ada melaporkan sebuah lori dengan muatan 4.5 tan daun ketum ditahan dalam perjalanan dari Baling Grik Kedah ke Serambi Mekah.

Polis berkata : Suspek di reman sehingga 4 Februari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Pada 10 Jun 2020 portal Berita Harian telah melaporkan tentang sosok bernama Mat Tarzan dari Jalan Datuk Kumbar Alor Star telah ditahan kerana menanam ganja di halaman rumahnya.

Polis berkata : Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menanam pokok ganja dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.

Setelah membaca dua berita ini adakah pembaca nampak sesuatu?

Bukan nampak daun ganja atau daun ketum. Tetapi sesuatu yang amat menonjol. Selama ini ia tenggelam dalam laporan berita. Selama ini mata kita hanya memerhati berapa kilo ganja dirampas atau berapa guni daun ketum ditemui dalam lori.

Gambar polis berhadapan dengan daun ketum atau air ketum mengalihkan pandangan kita untuk menjadi teliti.

Angka 1952 - perhatikan betul -betul – angka 1-9-5-2 - Akta Racun 1952. Akta Dadah 1952. Kuncinya di sini ialah angka 1-9-5-2.

Kenapa aku mengatakan angka 1-9-5-2 sebagai kunci ?

Elementri, bro.... 1952 ialah angka tahun akta itu dibuat. Sedarlah bahawa pada tahun 1952 kita belum ada Parlimen. Kita masih lagi dijajah oleh Inggeris. Maknanya undang-undang dan akta ini adalah hukuman dari kuasa kolonial Inggeris. Betul atau tidak?

Ini bukan undang-undang dari parlimen Tengku. Bukan parlimen Tun Razak. Tapi kuasa kolonial Inggeris dan Baginda Queen yang membuat udang undang ini.

Lu ada faham? Lu faham atau tidak faham?

Undang-undang anti ganja dan ketum ini dibuat oleh kuasa kolonial Inggeris. Sesudah fakta ini difahami maka aku akan masuk ke satu bab yang baru.

Fakta baru ini ialah di negara yang di jajah seperti Tanah Melayu - anak buah suku sakat kaum kerabat baginda Queen dari London awalnya datang dengan syarikat bernama East India Company. Ini sebenarnya lanun laut yang dipayung oleh baginda Queen. Datang untuk menjarah harta kekayaan Tanah Melayu.

Lanun ini diberi taraf ‘perniagaan’ oleh baginda Queen. Mereka melanun atas nama baginda Queen. Dapat senjata dan bantuan laut dari baginda Queen. Ini sama macam Najib mencuri duit 1MDB atas nama United Malays National Organisation – dibantu oleh segala kemudahan negara – atas alasan untuk menolong Melayu. Amin.

Lanun penjajah ini telah mendirikan kilang Tiger Beer di Singapura pada tahun 1932. Pada tahun 1933 kilang Anchor beer didirikan juga di Singapura. Dua beer ini amat terkenal dalam dunia ini. Dua-dua beer ini berasal dari air Kallang di Singapura.

Anak-anak muda jangan silap faham dan bertanya - ada apa tersangkut dengan Singapura.

Singapura ini adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Pulau ini kita boleh nampak dari Johor Baharu. Kalau kita menonggeng beramai-ramai dan terkentut di Johor Baru mengarah ke Singapura mungkin ada bangunan yang akan runtuh di Woodland.

Bagaimana parti ketuanan Melayu - United Malays National Organisation belot hingga Singapura cabut lari – satu cerita lain. Bukan dalam surah ganja dan ketum. Amin.

Apa yang hendak aku sampaikan disini ialah bagaimana kuasa kolonial Inggeris mahu memunculkan satu akta dan udang undang untuk melarang ketum dan ganja. Undang- undang ini di buat pada tahun 1952. Akta anti ketum dan anti hanja ini muncul 20 satelah Tiger dan Anchor bertapak di Singapura.

Nampak atau tak nampak?

Tujuan undang-undang antiganja dan antiketum dibuat agar orang ramai lari dari menghisap ganja dan meninggal meninum air ketum untuk membeli bir buatan syarikat kolonial Inggeris.

Satu habuk pun aku tak percaya bahawa baginda Queen yang meluluskan akta antiganja dan antiketum ada niat untuk menjaga kesihatan anak-anak tanah jajahan. Poorah.

Niat kesihatan ini tak timbul. Kuasa kolonial Inggeris datang untuk menjarah Tanah Melayu. Apa boleh dirembat akan dirembat. Apa boleh dilanun akan dilanun. Gali, tebang dan jual. Ini rukun iman kuasa kolonial Inggeris.

Jangan lupa - rokok dan tembakau telah diperkenalkan ke Tanah Melayu seawal tahun 1912 – lebih awal dari Tiger dan Anchor. Di Kelantan walau pun klim sebagai Serambi Mekah menjadi wilayah penting untuk kaum tani menanam tembakau. Tidak ada undang-undang anti rokok yang bersabit dengan kesihatan sehingga tahun 1977.

Para perancang syarikat beer pasti sedar bahawa ganja dan ketum adalah dua tanaman asli Tanah Melayu. Ini memberi persaingan yang maha hebat kepada Anchor dan Tiger. Voila! Maka undang-undang yang berselindung di sebalik kesihatan dibuat.

Konon untuk mengawal dan menjaga kesehatan anak tanah jajahan dari makan racun. Maka dimunculkan Akta Racun 1952. Pukrak mukrak apa ? Ganja dan ketum tidak penah menjadi racun dalam alam Melayu. Tak ada siapa kena racun. Ganja dan ketum wujud selari dalam budaya kehidupan kaum tani, nelayan dan buruh cucu cicit anak Bani Melayu.

Tetiba Mat Salleh para penjajah ini mengatakan ganja dan ketum ini racun. Ganja dan ketum tidak baik untuk kesihatan. Untuk berehat dan bersantai salepas memburuh di bendang atau pulang dari menangkap ikan buka sebotol Harimau atau sebotol Sauh.

Apakah para pembaca budiaman tidak melihat kenapa harimau dari hutan dan sauh dari laut telah dijadikan logo?

Ini taktik kuasa kolonial Inggeris di belakang Akta Racun 1952. Tak percaya ? Tunggu minggu hadapan aku akan sambung.

Hishamuddin Rais Malaysia Kini Kolum 7 Februari 2021
Tags: ganja, ketum, tumbuhan
Subscribe
  • Post a new comment

    Error

    default userpic

    Your reply will be screened

    Your IP address will be recorded 

    When you submit the form an invisible reCAPTCHA check will be performed.
    You must follow the Privacy Policy and Google Terms of use.
  • 0 comments