August 7th, 2010

Panduan umum untuk pentadbir sekolah

 

BERIKUT ialah gambaran senarai semak untuk menjadi rujukan kepada pihak sekolah menilai aspek pelaksanaan dan pencapaian sekolah masing-masing.

1.Prestasi pelajar ditanda aras dengan penilaian dan piawaian antarabangsa.

Sudahkah sekolah anda mencapai tahap antarabangsa atau masih di takuk lama? Atau anda sebenarnya tidak peduli?

2.Sistem pendidikan negara akan terus menekankan penerapan nilai dan etika yang menjadi asas penting kepada pencapaian Wawasan 2020.

Adakah masalah disiplin di sekolah anda menjadi-jadi? Atau semakin baik?

3. Dianggarkan 10 peratus guru besar dan pengetua berprestasi rendah akan diberi latihan kemahiran pengurusan sebagai usaha untuk meningkat prestasi mereka.

Bagaimana dengan prestasi anda? Anda perlu ke Institut Aminuddin Baki (IAB)?

4. Kaedah penyampaian latihan di IAB akan berubah daripada berasaskan syarahan kepada penekanan terhadap pembelajaran berdasarkan pengalaman. Kursus pendidikan dan pengurusan akan dijalankan di kampus dan secara atas talian menggunakan platform e-learning, serta dilengkapi repositori pengetahuan digital.

Adakah anda mengikuti perkembangan baru ini?

5. Setiap tahun, kementerian menerima lebih 175,000 permohonan untuk menyertai profesion keguruan dan 20,000 orang ditempatkan di sekolah. Ramai pemohon tidak mempunyai sikap dan aptitud yang sesuai untuk menjadi guru.

Bagaimana dengan prestasi guru lepasan maktab yang ditempatkan di sekolah anda? Adakah beliau perlu latihan susulan?

6. Bagi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pula, hanya 3 peratus pemohon mempunyai purata gred terkumpul 3.5 dan ke atas daripada 4.0. Ini menunjukkan profesion keguruan bukanlah pilihan calon cemerlang.

Apakah anda merasakan layak untuk lepasan guru seperti ini mengajar di sekolah anda?

7. Menarik siswazah cemerlang menyertai profesion keguruan adalah kritikal dan kerajaan akan melancarkan kempen profil tinggi untuk meningkatkan kesedaran tentang keguruan sebagai profesion yang berprestij.

Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?

8. Kerajaan akan mengambil langkah untuk meningkatkan kualiti dan ketekalan latihan praktikum kepada guru pelatih, seperti memanjangkan tempoh latihan praktikum dan meningkatkan kerjasama guru berpengalaman yang mempunyai kemahiran membimbing yang tinggi untuk menyelia guru pelatih.

Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?

9. Dalam tempoh rancangan, latihan praktikum kepada guru pelatih akan ditingkatkan - KPLI akan dilanjutkan daripada satu tahun kepada satu tahun setengah untuk meningkatkan pengalaman praktikum guru pelatih.

Apakah sumbangan anda kepada guru praktikum yang ditempatkan di sekolah anda?

10. Program praktikum akan menjadi sebahagian daripada penilaian prestasi sekolah dan guru pembimbing.

Adakah anda mahu mengambil kesempatan daripada peluang ini dengan memastikan sekolah benar-benar menyumbang kepada program praktikum ini?

11. Pada masa ini, guru pelatih daripada IPG dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dijamin pelantikan sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka. Jaminan pelantikan ini akan dihapuskan dalam tempoh rancangan. Dengan ini, hanya guru pelatih yang memperoleh pencapaian terbaik dan berkelayakan akan ditawarkan jawatan guru.

Apakah peranan anda membantu melahirkan guru berkualiti?

12. Pelaksanaan latihan perguruan akan diperluaskan kepada universiti swasta berbanding hanya daripada IPG dan IPTA.

Bagaimana anda boleh membantu meningkatkan program keguruan di sekolah anda? Adakah anda bersedia melepaskan guru melanjutkan pelajaran di bawah sistem terbuka ini?

13. Guru berijazah di sekolah menengah daripada 89.4% dalam tahun 2009 kepada 90.0% menjelang tahun 2015. Bagi sekolah rendah pula, kadar ini akan ditingkatkan daripada 28% dalam tahun 2009 kepada 60% menjelang tahun 2015.

Bagaimana anda boleh membantu meningkatkan program keguruan di sekolah anda? Adakah anda bersedia melepaskan guru melanjutkan pelajaran di bawah sistem terbuka ini?

14. Melalui inisiatif Tawaran Baru, pergerakan gred yang lebih cepat berasaskan kompetensi dan prestasi akan dilaksanakan. Laluan cepat untuk kenaikan pangkat secara automatik akan diberi kepada semua guru tanpa mengira tempoh perkhidmatan dan keperluan memajukan permohonan. Sistem laluan kerjaya baru dijangka bermula pada tahun 2011 dan dilaksana sepenuhnya menjelang tahun 2015.

Apakah sikap anda terhadap prestasi guru anda? Terbuka atau pilih kasih? Atau anda gentar untuk bersikap jujur?

15. Dalam tempoh rancangan, kurikulum baru untuk sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan. Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah akan diganti dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah pada 2011 dan ini akan diikuti dengan kurikulum baru untuk sekolah menengah. Kurikulum baru berbentuk modular ini akan memberi peluang kepada setiap pelajar melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri.

Adakah anda sudah bersedia menerima kurikulum baru dan mengadakan program perubahan sikap kepada guru anda?

16. Sebagai usaha untuk membentuk pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kesukanan, kurikulum baru ini akan menjadikan sukan sebagai satu subjek mata pelajaran bermula tahun 2011. Dasar '1Murid, 1Sukan' mewajibkan setiap pelajar mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan. Setiap pelajar dikehendaki mengikuti aktiviti sukan pilihan masing-masing selama 90 minit seminggu bagi sekolah menengah dan 60 minit bagi sekolah rendah.

Adakah anda sudah bersedia melaksanakan program yang penting ini?

Disediakan oleh Unit Penyelidikan Portal Pendidikan Utusan Malaysia



Sumber : Utusan Pendidikan : ARKIB : 26/07/2010

Falsafah di sebalik pemansuhan UPSR

Oleh WAHID HASHIM wahid.hashim@utusan.com.my

PENGGUBALAN apa juga sistem dan proses dalam pendidikan memang dibenarkan. Hal ini kerana Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) tidak mengehadkan seseorang pelajar untuk membuat apa, menjadi apa atau bersikap bagaimana ketika berada dalam sistem.

Asalkan pelajar boleh menyesuaikan diri mereka dengan pelbagai perubahan yang berlaku sepanjang hayat mereka, maka sistem dibenarkan untuk berubah.

Guru perlu tahu dan faham akan hal ini kerana kebanyakan yang kurang senang dengan cadangan itu, khabarnya ialah mereka - para guru sendiri.

Sebenarnya, kita tidak perlu bimbang akan keselesaan dan kesenangan yang kita kecapi selama ini akan tergugat kalau yang kita fikirkan ialah masa depan anak-anak kita dan negara.

Jadi, bila ada cadangan untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya tidak ada alasan untuk membuat bantahan kerana sistem pendidikan kita terbuka kepada perubahan yang dinyatakan dalam FPK.

Namakan apa sahaja - evolusi, revolusi, penambahbaikan - tujuannya adalah sama, menyediakan anak-anak kita dengan perubahan yang bersesuaian dengan zamannya nanti.

Memang tidak ada yang kekal di muka bumi Allah ini kecuali perubahan. UPSR bukan makalah wahyu yang tidak boleh diubah semata-mata ia telah dilaksanakan lebih daripada 15 tahun.

Secara asasnya, FPK - daripada dahulu sehingga sekarang - ialah pembangunan modal insan bermatlamat memperkembang potensi individu secara menyeluruh, untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi.

Hal ini bertujuan untuk melahirkan pekerja yang berilmu dan berketrampilan dan mampu berfikir secara kritis dan kreatif bagi memenuhi keperluan negara untuk mencapai kecemerlangan dalam ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau jargon semasa, k-ekonomi.

Oleh itu, asas kepada perubahan ini terletak kepada beberapa perkara dan semua orang perlu bersikap terbuka - bukan sahaja masyarakat, tetapi juga guru, para pegawai kementerian, penggubal dasar dan sebagainya.

Kita juga sering mendengar rungutan tentang sikap segelintir pegawai di dalam kementerian yang beria-ia benar hendak mempertahankan kurikulum sedia ada, kononnya yang terbaik - sehingga menutup pintu kepada cadangan oleh pihak luar yang mungkin lebih profesional dan semasa sifatnya.

Parameter pertama di bawah FPK yang perlu mengalami perubahan ialah penyediaan kurikulum yang lebih relevan. Kurikulum perlu diubah suai mengikut keperluan semasa supaya murid memperolehi pengetahuan terkini, mengikuti perkembangan sosial dan menguasai kemahiran yang bernilai dari segi ekonomi.

Kedua ialah penyediaan sistem penyampaian yang berkesan - Sistem penyampaian yang berkesan akan meluaskan pengalaman murid kerana mereka dapat maklumat daripada pelbagai punca maklumat di seluruh dunia dengan menggunakan teknologi yang canggih seperti ICT. Sistem ini juga membolehkan pembelajaran kendiri dilaksanakan.

Ketiga ialah penekanan kepada pendidikan agama dan moral. Peningkatan kepada salah laku dalam kalangan pelajar sekolah dan gejala sosial dalam masyarakat memerlukan penerapan nilai agama dan moral pada semua peringkat pendidikan diperkukuh dan memastikan nilai baik dapat dihayati dalam semua aspek kehidupan.

Sebagai tambahan, pemupukan semangat patriotik perlu dipupuk melalui semua mata pelajaran. Pemupukannya juga dapat dilakukan melalui aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat.

Pemupukan semangat patriotisme bertujuan untuk melahirkan murid yang mempunyai semangat cinta- kan negara dan berbangga sebagai rakyat Malaysia. Selain pembangunan insan, pendekatan strategik juga seharusnya berfokus kepada pembangunan sumber pendidikan serta penyelidikan dan pembangunan.

Setelah memahami kandungan FPK, marilah kita bertanya, sama ada UPSR - juga peperiksaan awam lain - telah mencapai gagasan membangunkan modal insan yang kita impikan itu.

Kalau belum, mengapa tidak kita ganti sahaja dengan yang lain. Mungkin perubahan dalam sistem pendidikan kelak umpama banjir besar - menghanyutkan terus sistem lapuk dan orang yang enggan berubah di dalam laluannya




Sumber :UTUSAN Pendidikan ARKIB : 26/07/2010

Aduan pelanggan berkesan tingkat mutu pengurusan

 Oleh Hasliza Hassan hasliza@bharian.com.my 2010/08/06

Penjawat awam perlu kikis sindrom menolak realiti dengan bersikap terbuka terima kritikan masyarakat

BANYAK aduan yang diterima bukan bermakna organisasi atau jabatan tidak memberi perkhidmatan bagus dan kurang aduan juga bukan petanda jabatan sudah melaksanakan tugas dengan cemerlang. Justeru, jumlah aduan bukan penanda aras dan tidak sepatutnya menjadi asas penilaian kecemerlangan organisasi atau jabatan, sebaliknya aduan yang diterima perlu diberi perhatian serta diurus dengan berkesan.

Ketua Jabatan Siasah Syariah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail, berkata aduan bukan sesuatu yang negatif dan perlu dilihat sebagai pendorong kepada usaha penambahbaikan bagi mantapkan pengurusan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Katanya, cara mudah mengetahui prestasi pengurusan atau pentadbiran ialah daripada penerima perkhidmatan atau pelanggan kerana matlamat akhir pengurusan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Pengurusan yang baik adalah pentadbiran yang memahami hala tuju untuk mencapai matlamat menjaga kepentingan asas masyarakat serta organisasi. Pengurusan yang baik boleh mencegah kepincangan yang menyebabkan timbulnya aduan,” katanya.

Beliau yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Teras Pengurusan Islam’ pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Aduan Menurut Perspektif Islam berkata, matlamat pengurusan juga untuk menghilangkan kesusahan kepada masyarakat.

Matlamat lain untuk menjaga kepentingan awam dengan membawa perkara baik, boleh diterima, membabitkan kepentingan semua lapisan masyarakat serta tidak melanggar prinsip syariah bersandarkan al-Quran dan sunnah.

Persidangan Kebangsaan Pengurusan Aduan Menurut Perspektif Islam dianjurkan Institut Perkembangan Minda (INMIND) dengan kerjasama Jabatan Siasah Syariah dan Jabatan Syariah dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam UM.

Sharifah Hayaati berkata, dalam pengurusan atau memberi perkhidmatan, hakikat dipersetujui semua ialah pelanggan selalunya betul dan oleh itu, aduan atau kehendak kumpulan berkenaan perlu dipenuhi dengan apa cara sekalipun.

Katanya, konsep itu juga menepati teras pengurusan dalam Islam yang menekankan kebajikan masyarakat dalam memelihara agama, akal, jiwa, keturunan dan harta yang terangkum dalam penyediaan perkhidmatan berkualiti.

“Sebab itu aduan tidak boleh dilihat sebagai perkara negatif. Jika ada aduan, tindakan seterusnya ialah menguruskan aduan itu dengan baik. Apabila aduan diuruskan dengan baik, sudah pasti organisasi turut bertambah baik dari aspek pengurusannya.

“Apabila nilai baik diterapkan dalam diri, ia mampu melahirkan individu berintegriti yang melakukan tugas dengan baik walaupun bos tiada, memberi perkhidmatan tanpa mengharapkan imbuhan dan membuat penambahbaikan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata, bagi mencapai tahap pengurusan yang baik, penekanan perlu diberi kepada nilai atau akhlak kerana Imam Al-Ghazali menyatakan nilai yang tertanam dalam jiwa seseorang melahirkan tindakan baik secara spontan.

Menurut Al-Ghazali, nilai utama dalam akhlak yang membentuk kecemerlangan terbahagi kepada empat iaitu kesesuaian ilmu dengan tindakan, keadilan, keberanian mempertahankan kebenaran dan kemuliaan diri yang mencegah daripada perbuatan di larang Allah.

Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam UM, Dr Bharudin Che Pa, berkata penubuhan unit pengaduan awam adalah satu kaedah memenuhi tujuan dan matlamat syariah kerana tanpa kaedah itu kesejahteraan umum sukar dicapai dalam pentadbiran negara ini.

Katanya, usaha melakukan sesuatu yang baik seperti menubuhkan sistem pengaduan awam berasaskan konsep Islam untuk mencapai maksud baik juga dapat mendekatkan diri kepada keredaan Allah.

“Pentadbiran negara Islam hendaklah berusaha mencari keredaan Allah dengan menunaikan tanggungjawab termasuk mendengar rintihan rakyat. Biro Pengaduan Awam (BPA) cara baik memenuhi tujuan itu.

“Penubuhan sistem pengaduan awam bagi sesuatu agensi juga akan memudahkan agensi berkenaan memperbaiki kesilapan masing-masing,” katanya yang membentangkan kertas kerja ‘Pengaduan Awam: Analisis dari Perspektif Islam dan Amalannya di Malaysia.’

Beliau berkata, aduan awam adalah sistem pemantauan berkesan membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan yang jika berjaya dicapai meningkatkan kepuasan pelanggan seterusnya menaikkan imej agensi awam.

Oleh itu, aduan bukan perkara negatif atau menyusahkan tetapi petunjuk sama ada kakitangan agensi awam sudah melaksanakan tanggungjawab diamanahkan mengikut ketetapan serta memenuhi keperluan pelanggan.

Dr Bharudin berkata, pelaksanaan sistem pengaduan awam juga bukti kerajaan bersikap terbuka menerima teguran rakyat mengenai pelaksanaan dasar, program atau projek kerajaan dan memungkinkan jalinan dua hala dengan mereka. Dari perspektif pelanggan pula, aduan yang diterima dan diuruskan dengan berkesan secara tidak langsung membolehkan agensi berkaitan mempertingkatkan mutu penyampaian yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan kerajaan.

Namun katanya, tidak dinafikan berlaku aduan tidak dilayan, kelewatan memberi maklum balas dan aduan gagal diselesaikan disebabkan sikap pegawai tidak melaksanakan tugas serta pelanggan yang tidak arif mengenai prosedur membuat aduan.

Pensyarah Jabatan Siasah Syariah Akademi Pengajian Islam UM, Dr Siti Arni Basir, berkata penjawat awam perlu membuang sindrom menolak realiti dan bersikap terbuka menerima kritikan daripada rakyat.

Beliau menyarankan penjawat awam dan pemimpin mencontohi Saidina Umar al-Khattab yang sentiasa bersedia menerima kritikan daripada orang ramai yang ditujukan kepadanya serta pegawainya.

“Pengurus organisasi dan ketua jabatan hendaklah bersikap terbuka apabila menerima aduan. Sikap menuding jari antara ketua dan pekerja atau sesama pekerja perlu dielakkan kerana yang penting ialah mengambil langkah menangani aduan diterima,” katanya



Sumber : Berita Harian On-line : Rencana 2010/08/06