May 7th, 2011

Tesis gagal

 Oleh Khairina Yasin kayrina@bharian.com.my 2011/05/05

Panduan beri impak positif

BERBANDING penulisan karya biasa yang ditulis mengikut selera dan perspektif penulis, tesis atau disertasi lebih kompleks kerana ia memerlukan perincian kritikal dan mendalam terhadap sesuatu bidang kajian yang ingin diketengahkan.

Bukan sesuatu yang mengejutkan jika ada berlaku kes kegagalan mahasiswa menyiapkan tesis berikutan kesukaran mengenal pasti aspek yang perlu difokuskan selain cetek dalam penggalian maklumat serta kurang pemahaman dalam bidang kajian yang dipilih.

Lebih membimbangkan, ada segelintir mahasiswa mengambil jalan mudah mengubah suai mana-mana kajian sebelum ini dan mengadaptasikannya sebagai satu hasil kajian baru. Perbuatan itu jelas tidak beretika dan menjejaskan kredibiliti dan integriti dunia akademik.

Berkongsi pengalaman dalam isu itu, penyelidik Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Prof Madya Dr Teoh Sian Hoon, mengakui antara kelemahan ketara yang membawa kepada kegagalan mahasiswa menyiapkan tesis ialah sukar menghasilkan kajian literasi dan kerangka konseptual yang bersifat komprehensif serta sintesis.

Katanya, ia berlaku akibat pemahaman cetek dan kurang bijak menganalisa data atau maklumat bagi merungkai skop kajian baru menyebabkan ada penulisan tesis mahasiswa tersangkut di tengah jalan.

“Kajian literasi ialah inti pati utama dalam penulisan tesis dan ia menuntut pembacaan dan pemahaman tinggi mahasiswa mengenai bidang atau topik yang ingin diterokai sebelum memulakan penulisan.

“Daya analitikal yang tinggi juga penting bagi meneliti dan menganalisa kajian sebelum ini sekali gus mengenal pasti skop kajian baru atau ‘lompang’ yang perlu diisi dalam sesuatu bidang kajian yang dipilih,” katanya.

Dr Teoh berkata, lebih menyukarkan ialah kelemahan itu turut sama membebankan kebanyakan penyelia kalangan tenaga akademik universiti apabila terpaksa mengambil masa lama membimbing mahasiswa menghasilkan kajian literasi terbaik.

Kesannya, kata Dr Teoh, tesis yang sepatutnya siap pada tempoh ditetapkan akan terus berlarutan dan dikhuatiri akan melemahkan semangat mahasiswa untuk terus menyiapkan tesis mereka.

“Sesuatu penulisan tesis tidak akan sempurna tanpa kajian literasi dan kerangka konseptual yang kukuh kerana idea akan berselerak dan tidak konkrit. Jangan samakan tesis dengan kerja penyelidikan di makmal yang dianggap sesetengah penyelidik sebagai ‘kacang’. Ia bukannya mudah dan jika gagal diatasi, dikhuatiri terus menjadi punca utama kenapa mahasiswa gagal menyiapkan tesis.

“Justeru itu, gambaran jelas apa yang perlu ada dalam bab kajian literasi amat penting kerana ia akan memandu mereka meneruskan bab kajian seterusnya,” katanya.

Pengalaman dan kepakaran tenaga pensyarah dalam menyelia mahasiswa pascasiswazah menyiapkan tesis atau disertasi juga amat penting bagi memastikan mereka dapat menjalankan tugas penyeliaan lebih berkesan.

Dalam konteks ini, peranan pensyarah dalam memastikan mahasiswa di bawah seliaannya benar-benar mengetahui bidang kajian tesisnya dituntut bagi membantu mereka menghasilkan tesis yang mampu memberi impak signifikan.

Dekan Penyelidikan dan Penyelidik Bersekutu Bahan dan Pembuatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata sesuatu tesis tidak akan dianggap sempurna dan baik jika ia sekadar menjadi hiasan almari atau rak buku dan hanya dibaca beberapa individu seperti penyelia, pemeriksa dalaman dan luaran universiti.

Tesis yang sempurna, katanya, mampu berfungsi sebagai sumber percambahan dan penyebaran ilmu, bukan saja kepada universiti, malah masyarakat sejagat.

“Justeru, kepakaran dan pengalaman pensyarah amat dituntut untuk sama-sama memandu mahasiswa seliaannya dalam menghasilkan tesis yang baik.

“Berdasarkan pengalaman menyelia menyelia kira-kira 30 pelajar PhD dan 20 sarjana, saya akui ramai mahasiswa berdepan kesukaran menyiapkan bab kajian literasi sehingga ada yang ‘angkat kaki’, enggan meneruskan kajian.

“Di sini, kewibawaan pensyarah pasacasiswazah menjadi faktor utama dalam penghasilan graduan berkualiti yang mana mereka perlu menjadi penyelia dan pembimbing bagi memastikan siswazah dapat menghasilkan tesis yang memenuhi tahap ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kepentingan faktor komitmen mahasiswa itu sendiri dalam menyiapkan sesuatu tesis kerana ia bukannya satu proses yang singkat.

“Untuk berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang telah ditetapkan contohnya, PhD antara tiga hingga empat tahun, mahasiswa perlu melakukan kerja penyelidikan secara konsisten termasuk pembacaan, penelitian, penulisan dan analisis data.

“Sikap rajin juga perlu ada pada calon jika ingin beroleh kejayaan. Calon perlu rajin membaca, rajin mencari bahan, rajin menganalisis dan menulis tesis, di samping rajin berbincang dan bertukar pandangan dengan penyelia, dengan rakan calon lain atau dengan ahli akademik yang pakar dalam bidang yang sama,” katanya.

Bangunkan perisian bantu penulisan lebih tersusun

Beliau yang mengakui berdepan masalah sama ketika menyiapkan tesis Ijazah Doktor Falsafah (PhD) sebelum ini akhirnya tampil dengan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah itu apabila berjaya membangunkan perisian Integrative Literature Review.

Katanya, perisian itu berfungsi membimbing mahasiswa merekodkan pembacaan kajian terdahulu secara lebih sistematik dan tersusun.

“Mahasiswa ada kalanya terlupa kajian atau artikel yang pernah dibaca sedangkan ia penting dan berkait rapat dengan skop kajian tesis yang akan dibuat. Biarpun ada yang bertindak menyalin semula input penting dalam sesuatu kajian itu, ada yang hilang akibat kecuaian mahasiswa itu sendiri dan ia merumitkan.

“Dengan perisian ini, setiap kajian atau artikel yang dibaca atau dirujuk boleh direkodkan dalam templat disediakan mencakupi maklumat berkaitan tajuk artikel, pengisian, penulis dan jurnal artikel itu diterbitkan.

“Ia boleh disamakan sebagai satu pangkalan data yang boleh dijadikan rujukan untuk menghasilkan satu kajian literasi yang sempurna selain memudahkan mahasiswa melakukan penelitian dan penganalisaan penyelidikan terdahulu bagi merungkaikan kerangka konseptual dan kajian literasi yang lebih kukuh,” katanya.

Perisian fasa pertama itu dibangunkan bersama rakan penyelidik, Dr Kor Liew Kee daripada Jabatan Komputer dan Sains Matematik, UiTM Kedah dan pembangunan fasa kedua dijangka akan diteruskan tidak lama lagi di bawah pembiayaan dana e-Sains.

Katanya, pembangunan perisian itu rentetan kejayaan penerbitan buku karya mereka sebelum ini bertajuk From Literature Review to Developing a Conceptual Framework and to Journal Writing.

“Kami mendapat maklum balas cukup baik dari pelbagai pihak termasuk universiti dan mahasiswa terhadap buku ini, malah ia dijadikan rujukan utama kebanyakan mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini sebelum memulakan penulisan tesis atau disertasi.

“Terdorong dengan perkembangan itu, kami memutuskan untuk membangunkan perisian Integrative Literature Review sebagai pelengkap kepada buku terbabit dan ternyata ia diterima baik banyak pihak,” katanya.

Merancang untuk menerbitkan buku sama dalam edisi Bahasa Melayu, Dr Kor berkata, pengisian lebih mantap dan tersusun juga akan diketengahkan dalam penerbitan buku baru itu dengan sasaran dua aliran pengajian iaitu sains sosial dan sains tulen.


Sumber: Berita Harian Online Varsiti Tesis Gagal 2011/05/05

Tugas pentadbiran jejas fokus guru

 HASIL kajian daripada jawatankuasa mengkaji beban tugas guru telah ditanya banyak pihak. Sudah siapkah laporannya dan bila mahu diumumkan?

Kementerian Pelajaran wajar memberi penjelasan supaya kedudukan yang sebenarnya difahami dan diharap rumusan kajian dapat diterima guru dengan hati terbuka dan penuh rasa tanggungjawab.

Jadi tidaklah guru ternanti-nanti. Ini disebabkan penubuhan jawatankuasa itu sudah diumumkan sejak setahun lalu.

Ada pihak menganggap beban tugas ini seolah-olah memberi gambaran sikap guru yang kurang dedikasi menyebabkan tugas mereka dilihat begitu membebankan. Sebenarnya, kita perlu melihat perkara ini secara positif. Tidak wajar mengaitkan guru yang mempersoalkan beban tugas sebagai kurang komitmen. Malah, atas rasa tanggungjawab perkara ini dikemukakan agar tugas tambahan tidak terlalu banyak sehingga ke tahap yang boleh menjejaskan tugas hakiki.

Kebanyakan guru mendakwa mereka tetap mengutamakan tugas asalkan dapat menumpukan perhatian terhadap pengajaran dan pembelajaran (P&P) di bilik darjah. Jika ini tugas guru, mereka rela berkhidmat dengan lapang dada dan tidaklah dianggap sebagai beban.

Kita boleh berkata guru perlu dedikasi, serba boleh dan bijak mengurus masa agar dalam menjalankan tugas tambahan, tugas P&P tidak terabai. Adakah kita yakin seorang guru yang sibuk dan kepenatan menjalankan tugas pentadbiran, maka tugas P&P tidak terjejas?

Tugas hakiki bermaksud kemahiran mengurus kelas secara profesional agar proses P&P dapat dilaksanakan dengan berkesan. Tugas ini hendaklah dipastikan tidak terganggu dan dilaksanakan sepenuhnya mengikut perancangan kerana inilah faktor utama menentukan kualiti sesebuah sekolah.

Jika guru terlalu sibuk dengan tugas pentadbiran, dikhuatiri fokus dan minat terhadap P&P semakin merosot. Kita tidak mahu ada guru yang tidak sempat membuat persediaan, menyediakan alat bantu mengajar, memeriksa buku latihan dan terlambat masuk kelas kerana terlalu sibuk dengan kerja pentadbiran. Yang pasti guru tidak dapat masuk kelas kerana bertugas di luar sekolah.

Ada masanya pihak pentadbir meminta guru menyiapkan laporan segera kerana ini arahan pihak atasan walaupun ketika itu guru ada tugas P&P. Pandai-pandailah guru bertindak menghadapi tugas yang semakin banyak asalkan semuanya beres. Mungkinkah dengan keadaan begini kita dapat mencapai pendidikan berkualiti?

Persoalannya sejauh mana seseorang guru itu mampu melaksanakan semua tugas dengan berkesan? Elok dibuat kajian untuk melihat hubungan antara tahap keupayaan guru dan keberkesanan hasil kerja. Kajian juga perlu menjurus ke arah mewujudkan garis panduan untuk pentadbir dalam pengagihan tugas tambahan kepada guru supaya tidak melampaui had maksimum yang boleh menjejaskan tugas hakiki.

ZIN MARKAM,
Pontian, Johor.


Sumber: Berita Harian Online Surat Tugas pentadbiran jejas fokus guru 2011/05/07

Guru jalankan tugasan luar terpaksa tinggal di asrama

 BARU-BARU ini, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) melalui unit sukan mengadakan pelbagai pertandingan sukan peringkat negeri di seluruh negeri ini dan ramai guru terbabit sama ada menjadi jurulatih, pengurus pasukan, pengadil dan pengiring kepada peserta atau pelajar yang mewakili daerah masing-masing.

Malangnya, kami guru turut tinggal di asrama sekolah dengan tilam yang berkerak, tidak bercadar, berbantalkan lengan atau beg baju sendiri serta mandi di bilik mandi bersama pelajar.

Antara guru yang terbabit bersama peserta atau pelajar berada pada gred jawatan DG41, DG44, malah ada Guru Penolong Kanan DGA32 atau guru besar DGA34.

Saya kira tiada pegawai atau penjawat awam yang berada di gred 41 atau 44 akan tinggal di asrama, malah kumpulan ini akan berada di hotel.

Malang sungguh nasib guru, malah orang awam tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Lebih mendukacitakan, kami guru yang menggunakan kenderaan sendiri untuk membawa pelajar ke tempat kejohanan sama ada di dalam daerah atau luar daerah tidak dibenarkan membuat tuntutan perjalanan dengan menggunakan jarak perjalanan sebaliknya menuntut kadar satu tempat duduk teksi pergi dan balik saja, walhal kami mengangkut pelajar setiap hari pagi atau petang.

Kami juga dilarang menuntut sekurang-kurangnya lojing menggantikan tinggal di asrama sekolah, terdapat guru yang sudah tidak mahu tinggal di asrama kerana pada zaman persekolahan mereka sudah berlalu tetapi masih bersama pelajar tidur di tilam berkerak dan bantal busuk.

Baru-baru ini, sahabat saya yang mengiringi pelajar ke Karnival Muzik Sekolah Pahang turut mengalami perkara yang sama dan lebih malang bertugas mengawasi muridnya dalam tempoh yang panjang termasuk pada cuti umum sedangkan kakitangan awam lain seronok bersama keluarga masing-masing.

Diharap pihak Kementerian Pelajaran dan jabatan negeri masing-masing memikirkan bagaimana menjaga kebajikan guru yang menjalankan tugas di luar waktu pejabat dan di luar kawasan serta keselamatan mereka.

GURU SEDIH,
Temerloh, Pahang.


Sumber: Berita Harian Online Surat Guru jalankan tugasan luar terpaksa tinggal di asrama 2011/05/07

Tugas Guru Cemerlang di sekolah amat dihargai

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca ‘Guru Cemerlang, Putrajaya, dalam ruangan ini bertarikh 15 April 2011 – Prestasi Guru Cemerlang dipertikai, tenaga diperah.

Tujuan utama kerajaan meluluskan kaedah kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) yang dikenali dengan Guru Cemerlang adalah untuk mengiktiraf khidmat guru yang cemerlang di bilik darjah dan mewujudkan peluang kenaikan pangkat secara laluan pantas (fast track) kepada mereka tanpa perlu ditukarkan ke jawatan pentadbiran secara hakiki.

Guru yang dilantik sebagai Guru Cemerlang adalah guru yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang tinggi dalam mata pelajaran, khususnya dari aspek perancangan, pengurusan dan pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah.

Sebagai role model kepada guru lain, sewajarnya Guru Cemerlang menguasai kandungan mata pelajaran kepakarannya, bijak mengurus masa, mampu mengenal pasti masalah pembelajaran murid dan berupaya merangka program pendidikan yang boleh membangunkan potensi murid.

Selaras dengan pengiktirafan dan insentif yang diberikan, Guru Cemerlang yang dilantik berupaya menyumbang tenaga dan kepakaran sebagai pakar rujuk dalam bidang atau mata pelajaran masing-masing pada peringkat sekolah, daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Guru Cemerlang berupaya menjadi sumber inspirasi dan pakar rujuk kepada guru lain untuk mempertingkatkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran pada masa depan.

Walaupun tiada halangan bagi Guru Cemerlang untuk memberi sumbangan profesionalisme dalam bentuk perkongsian kepakaran dan pengalaman dengan warga pendidik yang lain, keutamaan tugas Guru Cemerlang hendaklah diberikan kepada program pembangunan dan peningkatan prestasi murid di sekolah masing-masing kerana ia lebih bermakna.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT, Kementerian Pelajaran Malaysia.


Sumber: Berita Harian Online Surat Tugas Guru Cemerlang di sekolah amat dihargai 2011/04/30