April 14th, 2012

Murid dakwa ditampar, disepak guru

KUALA LUMPUR 4 April - Seorang murid tahun lima mendakwa cedera akibat ditampar dan disepak oleh guru Matematik di sekolahnya di Segambut di sini semalam disebabkan dia terlupa membawa buku latihan.

Bapa murid berkenaan, S. Saravanan, 40, berkata, anaknya Suryakaran, 11, telah dikasari oleh guru lelaki tersebut semasa berada dalam kelas pada pukul 9 pagi.

Dakwanya, guru tersebut berang apabila mendapat tahu anaknya terlupa membawa buku latihan dan bertindak menampar pipi muridnya itu hingga lebam.

"Selain ditampar di pipi, guru itu turut menyepak kaki kiri anak saya menyebabkan dia terjatuh dan kepalanya terhantuk pada kerusi.

"Insiden berlaku pukul 9 pagi itu turut disaksikan oleh rakan sekelas Suryakaran," dakwanya ketika ditemui selepas memberi keterangan di Balai polis Jinjang di sini hari ini.

Saravanan berkata, akibat insiden itu, anaknya mengalami muntah, sakit kepala dan trauma.

Katanya, Suryakaran juga enggan ke sekolah kerana bimbang diapa-apakan oleh guru berkenaan.

Tambahnya, dia sudah membuat laporan polis dan aduan kepada Pejabat Pelajaran Cawangan Sentul hari ini bagi meminta siasatan dilakukan terhadap insiden itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tentang kes tersebut dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan


   
R. Saravanan menunjukkkan kesan lebam pada pipi anaknya yang didakwa akibat ditampar seorang guru
selepas membuat laporan polis di Kuala Lumpur semalam.



Dong Zong: Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung

DONG ZONG nampaknya ingin menjadikan pendidikan Cina di Malaysia sebagai peras ugut politik. Ia cuba mengambil kesempatan Pilihan Raya Umum ke-13 sebagai agenda menekan Kementerian Pelajaran, melakukan provokasi kepada orang-orang Cina supaya memperjuangkan isu-isu melampau.

Ia jelas sekali perkauman dan tidak sensitif dengan perasaan kaum lain dan tidak faham dengan Dasar Pendidikan Negara apalagi semangat Perlembagaan Malaysia. Kalau isunya bersifat administratif penulis percaya boleh diatasi dengan perbincangan.

Kalau ia sengaja dibangkitkan dengan maksud yang seiring dengan dasar politik pembangkang Dong Zong sudah tidak rasional lagi. Menteri Pelajaran telah sekian kali menegaskan bahawa kerajaan tidak berhasrat menukar status Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil seperti yang dibimbangkan oleh setengah pihak atau didesak oleh banyak pihak mengenai sekolah satu aliran.

Penggunaan bahasa ibunda di SJK(C) dan di SJK(T) tetap dipelihara dan ia selari dengan Dasar Pendidikan Negara. Hal ini adalah sesuatu yang unik bagi Malaysia kerana sebuah negara yang merdeka tidak banyak menawarkan dasar sebegitu kepada kelompok minoritinya. Ia boleh menyebabkan dualisme dalam sistem dan dasar.

Dalam masa sama orang Melayu sedar dan Kementerian Pelajaran pun sedar puluhan ribu anak Melayu yang sedang belajar di SRJKC bagi memperkukuhkan sistem vernakular itu. Terdapat kebimbangan di kalangan pengkritik pendidikan orang Melayu terhadap orientasi kecinaan yang bakal berlaku kepada generasi Melayu nanti bukannya orientasi kebangsaan.

Keadaan begitu tidaklah menyebabkan orang Melayu bangun melakukan provokasi kerana ada manfaat berbanding dari sudut penguasaan Bahasa Cina dan subjek-subjek lain. Orang Melayu faham bahawa kebangkitan masa depan Tanah Besar China ada kaitannya dengan diaspora Cina di seberang laut dan psiki orang Cina mengalami perubahan kerana bangsa mereka bakal menjadi sebuah Kuasa Besar.

Oleh itu isu pendidikan dan dominasi ekonomi sering dijadikan rujukan oleh kelompok yang melampau dan ia memberi kesan terhadap usaha mengarus perdanakan pendidikan negara. Ada kebimbangan di kalangan banyak pihak bahawa desakan yang sedang berjalan tidak saja memperkukuhkan aliran vernakular Cina supaya menjadi dasar rujukan terhadap pendidikan kebangsaan tetapi juga isu Sekolah Menengah Cina juga.

Terdapat tuntutan yang melampau supaya Sekolah Cina Persendirian yang banyak terbina di Malaysia diberi pengiktirafan terhadap Sijil Unified Examination Certificate sama statusnya dengan Sijil Pelajaran Malaysia. Masalahnya, bahasa pengantar bagi aliran ini sepenuhnya Cina. Ia tidak selari dengan Dasar Pendidikan Negara. Kurikulumnya tidak mengikut urutan Kurikulum Malaysia dan bahan-bahan rujukannya pun banyak yang datang dari sumber luar.

Pihak yang mencabar Dasar Pendidikan Negara memberikan alasan bahawa Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf Bahasa Cina dan Pengajian Cina di negara China. Mengapa pula kerajaan bersifat 'double-standard' dengan tidak mengiktiraf Sekolah Menengah Persendirian itu.

Pengiktirafan kerajaan terhadap kursus-kursus di England, Jerman atau Amerika tidak semestinya menjadikan bahasa mereka sebagai bahasa pengantar dalam sistem kita. Status Sekolah Menengah Persendirian Cina di Malaysia sepenuhnya dikendalikan dalam Bahasa Cina. Apakah dengan pengiktirafan itu nanti menyebabkan lulusan sekolah vernakular tidak perlu masuk ke dalam Sekolah Menengah Kebangsaan.

Sekolah Menengah Kebangsaan adalah penting dalam konteks perpaduan di Malaysia. Dasar Pendidikan Negara yang ingin memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris harus dilihat sebagai usaha bijaksana memperkukuh Bahasa Kebangsaan dalam masa yang sama memperteguh Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Antarabangsa bagi maksud ilmu dan kepakaran. Hal ini tidak harus terjadi kalau pepatah mengatakan di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Kalau orang Melayu tinggal di negara China mereka akan akur dengan kepentingan bahasa Cina dan kepentingan pendidikan Cina.

Pengalaman yang baik berlaku terhadap kelompok Cina Peranakan di negeri-negeri Selat umpamanya, amat menarik untuk dijadikan teladan. Walaupun mereka datang dari negara "Tamadun Besar" atau "Great Civilization" tetapi keakuran mereka terhadap nilai-nilai dan budaya setempat memberi warna yang menarik terhadap corak perpaduan kaum di Malaysia.

Malaysia memerlukan Dasar Pendidikan yang menyatukan hubungan antara kaum. Di samping menghormati bahasa ibunda sesuatu kaum dan meraikan bidang-bidang keahlian dan kepakaran dari luar negara, pendidikan kebangsaan kita harus teguh dengan prinsip kelainan dihormati tetapi dasar utama ke arah perpaduan adalah sesuatu yang amat dituntut.

Kalau tidak faktor dominasi ekonomi atau kuasa beli akan akan menjadi faktor penentu kepada kelangsungan pendidikan negara dan ia adalah tidak sesuai bagi negara ini melainkan Dong Zong mempunyai agenda tersembunyi terhadap hari depan Malaysia.


Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 14/04/2012