July 2nd, 2012

Memerang, sotong dan Super Mario

PENULIS bukan peminat bola. Sebab itu sepanjang Euro 2012 yang berlangsung tak pernah sekali pun penulis bersengkang mata untuk menyaksikan mana-mana perlawanan (bukan macam kebanyakan staf lelaki di pejabat penulis).

Penulis tidak faham kenapa peminat bola sanggup korbankan tidur semata-mata hendak menonton secara live perlawanan yang berlangsung antara negara-negara Eropah itu.

Bukannya melibatkan negara kita pun. Tak bolehkah mereka rakam saja perlawanan itu dan tonton pada siang hari esok atau awal malam? Yang pasti tak payah berjaga sampai awal pagi.

Tetapi menurut rakan penulis yang cukup fanatik dengan pasukan bola dari Portugal (sebab ada Christiano Ronaldo yang kacak), tengok live lain debarannya. Betul juga. Mana ada suspennya menonton rakaman sebab keputusan perlawanan sudah pun diketahui.


MEMERANg yang dikenali sebagai Ferret yang diangkat sebagai penilik nasib pasukan yang bertanding dalam kejohanan Euro 2012

Kalau itulah hujahnya penulis boleh fahamlah kenapa peminat bola perlu berjaga dan bersengkang mata sampai awal pagi.

Penulis juga boleh faham orang sanggup berkorban apa sahaja kalau sudah minat dan jadi hobi.

Macam seorang kawan penulis si Frangie yang cukup minat dengan drama Korea.

Tahan dia bersengkang mata menghabiskan set kotak 16 siri sampai dinihari.

Penulis percaya ramai lagi yang macam itu.

Jadi penulis boleh terimalah ketaksuban peminat bola Euro ini.

Cuma satu yang penulis tidak boleh terima adalah ketaksuban peminat bola mencari benda-benda karut untuk menghangatkan suasana atau kata lain bertaruh meramalkan keputusan perlawanan.

Kalau semasa Piala Dunia, si sotong Paul menjadi perhatian, kini si memerang pula jadi taruhan dan hendak dipopularkan.

Hanya kerana si memerang memeluk replika kereta Jerman, rata-rata bersetuju dan seia-sekata yang Jerman bakal menundukkan Itali. Memang tak masuk akal.

Namun malam Jumaat lalu tentu ramai yang tepuk dahi.

Keputusan perlawanan Jerman-Itali sudah pun diketahui - dan tidak seperti yang 'diramalkan' si memerang - Jerman tewas 2-1.

Mario Balotelli atau popular dengan gelaran Super Mario menidakkan ramalan si memerang apabila menjadi hero menyempurnakan kedua-dua gol kemenangan Itali.

Nampaknya memerang tak berjaya menandingi Paul si sotong.

Mujurlah Itali menang. Kalau tidak tentu sahaja peminat bola lebih percayakan ramalan si memerang daripada kehebatan Balotelli.

Penulis tak pasti sama ada si memerang masih diberi peluang meramalkan pemenang perlawanan akhir di antara Sepanyol dan Itali awal pagi Isnin.

Untuk Sukan Olimpik akhir bulan ini, binatang apalah pula agaknya yang menjadi 'mangsa'?


Coretan Marhaen Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 01/07/2012

Kisah mistikal buaya Sarawak

SEMINGGU ini cerita buaya Sarawak menjadi FAQ (Soalan Kerap Ditanya), menenggelamkan peristiwa kekalahan Jerman kepada tandukan Mario Balotelli, atau kes serangan 'pengganas upahan' ke atas bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta gara-gara berebut hak pemilikan tarian Tor Tor yang mereka sendiri tidak peduli pun selama ini.

Kisah buaya Bujang Seblak (nama diambil daripada sungai kejadian) menjadi tajuk utama muka depan, sekali gus menyemarakkan semula legenda buaya makan manusia yang menjadi Godfather Sungai Batang Lupar di bahagian Sri Aman sejak 1980-an lagi.

Sama seperti legenda Bujang Senang, kisah buaya Bujang Seblak ini diwarnai oleh kedua-dua elemen saintifik dan mistikal. Bujang Senang misalnya, walaupun telah diisytiharkan mati dan ada gambar mengiringi berita itu oleh Utusan Malaysia pada 22 Mei 1992, masih ada lagi yang mendakwa buaya raksasa itu sebenarnya, masih hidup dan dilihat berenang di sungai tersebut pada 2004. Jadi buaya mana yang ditumpaskan pada 1992?


Gambar buaya sepanjang 8.6 meter atau 28 kaki yang tumbang di tangan pemburu di Queensland, Australia pada 1957

Bujang Seblak pula, walau diumpan tetapi 'bijak' melepas diri dari jerat tetapi dua ekor buaya lain bersaiz sederhana telah sangkut. Dua ekor ini didakwa sebagai 'konco-konco'. Setakat ini, Bujang Seblak masih bebas dan penduduk percaya ia sememangnya wujud. Sekurang-kurangnya keluarga mangsa yang dibaham sudah melepaskan dendam mereka.

Pembabitan dukun buaya dalam pemburuan spesies reptilia ini meningkatkan elemen mistik dan pantas menarik imaginasi pembaca. Kes Bujang Seblak ini membabitkan penduduk kampung Iban dan dukun Indet anak Sanabong adalah berketurunan Iban yang semestinya membaca mantera dalam bahasa Iban.

Dalam setiap masyarakat, mesti ada seseorang yang memiliki kemahiran ini. Dukun seumpamanya ada di Semenanjung Malaysia malah di pulau Jawa dan Sumatera (tetapi tak perlulah 'klaim' profesion dukun buaya itu milik kita). Dukun ini menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri untuk berkomunikasi secara batin dengan buaya. Mereka seolah-olah memahami bahasa buaya atau apakah buaya itu mahir pelbagai bahasa?

Seorang zoologis tempatan ketika dihubungi berkata reptilia ini boleh hidup antara 50 tahun hingga 100 tahun. Dalam tempoh itu ia boleh membesar ke saiz luar biasa terutama spesies buaya air masin. Ia boleh membesar ke saiz 19 kaki (5.8 meter) hingga 23 kaki (7 meter) dan berat 1,100 hingga 1,360 kilogram. Satu catatan ditemui dalam Internet, buaya terbesar pernah dilihat pada 1920 sepanjang 33 kaki panjang (10 meter) dan dipercayai berusia 200 tahun.

Oleh itu, bila ada saksi mendakwa Bujang Senang dan Bujang Seblak bersaiz sebesar kereta Kancil, ia tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Masalahnya, buaya-buaya ini pandai menyorok tiap kali sesiapa membawa kamera. Zaman Twitter hari ini, akan pantas mencemuh jika tiada bukti Instagram. Maka berterusanlah ia sekadar menjadi mitos pada kebanyakan orang.

Hangat

Mengapakah cerita buaya ini menjadi topik yang hangat? Sementara kesugulan dan ketakutan yang dialami penduduk di Sungai Seblak berikutan kematian anggota keluarga akibat dibaham buaya, seharusnya dibaca dengan rasa simpati. Dan disebabkan elemen mistik membabitkan dukun buaya Indet yang menceritakan ia boleh 'memukau' buaya sebelum membunuh dua ekor, cerita ini dianggap mengagumkan dan berakhir dengan berita gembira. Hutang darah dibalas darah.

Ada juga yang mengulas caj perkhidmatan memburu buaya sebanyak RM3,000 oleh beliau itu sebagai mahal. Saya rasa ia berpatutan. Tuai rumah panjang pun sanggup membayar lebih lagi kerana puas hati dengan tangkapan dua ekor buaya oleh Indet. Anda yakin apakah anda atau sahabat anda sanggup mengambil alih tugasnya memburu buaya di sungai Seblak?

Mengikut logik, mana mungkin manusia boleh bertutur dengan buaya. Tetapi masyarakat kita tidak lekang daripada unsur mistik seumpamanya. Bagaimana lagi hendak menjelaskannya? Hujah seorang rakan semasa berbahas mengenai isu ini. Dia memberi contoh penyakit kayap yang 'terkena' padanya semasa menebas rumput di halaman rumah.

Semasa terkena katanya, ia seperti gigitan nyamuk tepat di bahagian dada ulu hati. Malam itu dia tidak dapat tidur disebabkan sakit yang mencubit-cubit dada dan didapati tiga bintik merah timbul. Selang beberapa jam ia menjalar ke kiri menuju ke ketiak kiri. Menjelang subuh, ibu mengesahkan ia kayap ular yang diyakini bila bertemu kembali ke titik permulaan boleh membawa maut. Awal pagi dia ke hospital dan diberi sejenis ubat semburan umpama gam yang mengekang kayap itu daripada merebak. Malam kedua kesakitan makin teruk. Ia mendorong ibunya meminta bantuan sepupu untuk membawa 'parang perang warisan keluarga'.

Hari kedua, sepupu membawa parang. Petuanya ialah mengalirkan air ke parang yang kemudian ditadah ke dalam mangkuk. Air itu dibaca dengan ayat al-Quran dan disapu ke tempat kayapnya. Setelah disapu beberapa kali dalam tempoh 12 jam, kayap ular itu mati.

Senarionya ialah penyakit ini yang secara saintifik dinamakan shingles adalah sejenis virus yang juga menyebabkan demam campak, menggunakan ubat hospital gagal segera menyembuhkan tetapi 'parang perang' berhasil. Ramai daripada kita percaya kayap ular adalah sejenis penyakit kulit yang boleh 'dikirim' melalui alam mistikal atau sihir. Dalam konteks rakan itu, dia percaya dia telah berada di laluan 'sihir kayap' semasa menebas rumput secara kebetulan. Lintasan kata orang. Oleh kerana ia datang secara ghaib, penawarnya hendaklah mengikut kriteria tersebut dan ubat semburan hospital tidak akan menjadi.

Lama juga hendak memikirkan kaitan antara mitos buaya ganas di Sarawak dengan kisah kayap ular ini. Terserah kepada anda untuk membuat rumusan masing-masing. Bagi saya, ia mudah. Berpegang pada prinsip segalanya dalam dunia ini adalah kerana Tuhan yang ad-din, kedua-dua kisah ini harus dibaca dengan hati terbuka dan sebagai bacaan ringan hari minggu anda.




Johardy Ibrahim Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 01/07/2012